Henti tindas Muslim Uighur!


URUMQI: Masyarakat Islam di beberapa negara menggesa China supaya menghentikan tindakan kejam ke atas kaum etnik Muslim Uighur sehingga menyebabkan mereka menderita dan menghadapi ancaman keselamatan di negara berkenaan.

Di TEHERAN, seorang ulama kanan Iran, Ayatollah Naser Makarem Shirazi berkata China tidak boleh melakukan tindakan kejam ke atas umat Islam di wilayah itu.

"Kami mengutuk kekejaman ini dan menggesa umat Islam di seluruh dunia mendesak China menamatkannya dan menghukum mereka yang bersalah," kata Shirazi.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, kira-kira 1,680 orang cedera dan 184 maut dalam pertempuran di antara kaum etnik Uighur dengan pihak keselamatan dan masyarakat China Han.


Keadaan di Urumqi terus tegang dan penduduknya dilarang mengadakan perhimpunan di tempat awam semalam sempena upacara tradisi berkabung oleh masyarakat China Han.

Anggota polis antirusuhan juga turut mempertingkatkan langkah keselamatan di bandar ini terutama di kawasan sensitif.


Sementara itu di JAKARTA, kira-kira 100 penduduk Islam Indonesia menunaikan solat hajat di ibu negara Indonesia itu bagi membantah tindakan kejam ke atas puak Uighur.

"Kami umat Islam di Indonesia turut merasai kepedihan yang dialami saudara seagama di wilayah itu dan mendoakan kesejahteraan mereka. Kami juga mendesak kerajaan China segera menghentikan kekejaman yang dilakukannya," kata penyelaras perhimpunan itu, Jamal Aldin.

"Semua umat Islam mesti menunjukkan perpaduan bagi etnik Uighur dan mendoakan keselamatan mereka," kata ketua Forum Umat Islam, Muhammad Al Khaththath, dalam satu kenyataan.

Di ISTANBUL, beribu-ribu umat Islam Turki menunaikan solat ghaib diketuai ahli teologi, Dr Nedim Urhan di Masjid Fatih untuk etnik Uighur yang terbunuh dalam rusuhan di Xinjiang.

Mereka turut mengadakan tunjuk perasaan membantah kekejaman kerajaan China kepada penduduk Muslim di wilayah itu dan turut membakar bendera China.

Di TOKYO, sebuah kumpulan aktivis mengadakan tunjuk perasaan menggesa China mengakhiri keganasan etnik di Xinjiang.

Persatuan Uighur Jepun berkata, kira-kira 1,000 orang termasuk beberapa kaum etnik Uighur menyertai tunjuk perasaan itu.

Polis Jepun tidak memberi anggaran sebenar jumlah penunjuk perasaan itu.

Dalam pada itu, letupan tangki minyak di sebuah kilang kimia di Urumqi bukan disebabkan serangan pengganas, kata timbalan pengurus kilang.


"Kami menolak serangan pengganas," kata Liu Jiyuan di kilang milik China National Petroleum Corporation, pengeluar tenaga terbesar negara itu. – AP/AFP

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template