Tazkirah Moji

Hari itu, suasana di dalam kelas sangat hiruk pikuk dengan gelagat gen7(code untuk batch kami di University Cairo) yang pelbagai, ada yang membaca alQuran, ada yang sedang khusyuk menelaah pelajaran, ada yang berbual-bual bagaikan nak beri khutbah kepada satu kelas, dan macam-macam lagi.



Dalam kekabutan itu, bangkit Moji memberi sedikit peringatan. Satu demi satu kalam dilontarkan.. Kemudian beliau tercari-cari sesuatu sambil meraba poket baju melayunya, lalu mengeluarkan sehelai dua kertas terlipat menandakan tazkirah kali ini bukanlah yang pendek-pendek sahaja. Dan apa yang lebih bermakna apabila melihat raut wajahnya yang begitu bersungguh-sungguh menyampaikan kalimah satu per satu bukan sekadar supaya ianya menyinggah sebentar di telinga-telinga kami, tapi beliau lebih mendambarkan kesedaran yang memuncak terbit dari hati yang ikhlas memahaminya.

Antara isi yang penting berkaitan pentingnya menjaga solat Subuh. Kerana jika solat Subuh tidak terjaga, apakah nilai keislaman seseorang itu? Lagi-lagi, kita bukan sekadar mengimpikan diri kita untuk menjadi manusia kebiasaan yang bersolat di atas sejadahnya sendiri dan pada waktu yang hampir-hampir terbit matahari. Malahan, kita mahukan diri kita termasuk dalam soff yang terkehadapan dalam solat Subuh dan semestinya berjemaah di masjid. Apatahlagi, solat-solat yang lain, tahajjud, qiamulail dan sebagainya…

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda Sultan Muhammad al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.




Lihatlah pemuda-pemuda Islam kini, peribadinya rosak, matlamatnya tak jelas. Paling hebatpun, dia nak mendapat kebaikan untuk dirinya sahaja. Adapun yang menjadi ketua pasukan sorak yang menonton dari bangku orang ramai, tidaklah termasuk dikalangan pemain simpanan pun.

Kita berdoa semoga Allah menjadikan kita dikalangan hambaNya yang soleh, dan menjadikan idola teladan kita di kalangan orang-orang Soleh pembawa profesion dakwah dan para ulama’. Dan bukan di kalangan artis-artis atau pemain-pemain bola yang tak tentu lagi mana hala tujunya.Ws.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template