Puasa Hati ini..

Assalamualaykum..

El ham dulillah, el ham dulillah, el hamdulillah..
Tercapai juga hajat nak merasa ibadah puasa di bumi anbiyak buat kali ketiga. Sebab suasana di sini jauh berbeza berbanding suasana Ramadan di tanah air. Menariknya di Mesir, lebih mudah mendidik jiwa, membentuk nafsu yang selalu nak kesenangan dan kemewahan yang ada di sana.



Sabda Rasul s.a.w;
“Apabila tiba bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu syurga, tertutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu kesemua syaitan.”(riwayah Bukhari wa Muslim)


Apakah makna hadis ini?

Pintu syurga dibuka seluas-luasnya, dan pintu Neraka ditutup serapat-rapatnya menandakan betapa kasihnya Allah swt kepada hambaNya. Seboleh-boleh, Allah menginginkan kesemua penduduk bumi ini masuk ke dalam syurga dan memperoleh kenikmatan yang luar biasa yang tak terbayang dek akal yang cetek.

Malahan, syaitan juga dibelenggu memberikan laluan mudah buat diri menangkap sinar-sinar hidayah yang membekas di jiwa. Jadilah kita sama ada syukur ataupun kufur akan nikmatNya..

“Inna hadainahus sabila imma syakirau waimma kafura..”(dan telah kami berikan petunjuk jalan kebenaran, sama ada kamu bersyukur atau kufur..)

Subhan Allah, agungnya Rahmat Allah taala, yang selain menciptakan, dan menaikkan darjat manusia, Allah juga menunjukkan jalan lurus itu kepada manusia, walaupun sedikit sahaja yang bersyukur. Agungnya kasih sayang dan belai mesra buat hambaNya yang sangat zalim dan tak terkesan langsung untuk menegakkan agamaNya, sedangkan segala sesuatu itu hanyalah milikNya. Subhan allah.. subhan allah.. subha nallah..

Nak kongsi isi khutbah Jumaat tadi, Khatib menyebut darjat-darjat orang yang berpuasa…

Ada yang benar-benar menjaga dirinya daripada makan dan minum sehinggakan memperoleh pahala berpuasa. Setidak-tidaknya, bukanlah seperti golongan yang dinyatakan dalam hadis, golongan yang tidak mendapat apa-apa daripada ibadah ini selain lapar dan dahaga..




Adapun mereka yang bukan sekadar menjaga makan minum, malahan anggota badan mereka turut ber’puasa’ dengan melakukan segala pekerjaan ikhlas mengharap Redha Allah taala. Mereka ini memahami, puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada kudapan dan santapan, malahan segala perkara yang boleh membatalkan puasa, tak kiralah dengan menjaga kalam, ataupun menundukkan pandangan. Tahniah buat golongan ini!

Namun, sungguh tidak sangka, para Salafu Soleh masih lagi tidak berpuas hati dengan sekadar menjaga lisan, dan jawarih(anggota badan) dalam menunaikan ibadah puasa, malahan mereka juga menetapkan hati mereka untuk menjauhi ghibah(mengumpat), mengejek dan berdusta. Segala penyakit hati ini cuba dikikis, disental sesentalnya supaya hati senantiasa berada dalam keadaan suci dan bersih. Seterusnya, hati yang bersih menjadi tolakan untuk beramal mengajak manusia di sekeliling untuk bersama mengimarahkan madrasah Ramadan ini, dan lebih jauh lagi untuk memastikan agama Allah tertatbiq(aplikasi) di bumi mereka.





Berdoa kepada Allah semoga memperoleh hati yang bersih. Tulus mulus semata-mata mengharap Redha Allah yang Maha Agung. Doa juga moga Allah menerima segala amalan dan taubat dalam Bulan Barakah ini. Dan moga-moga kita tidak tergolong mereka yang membiarkan Ramadan kali ini berlalu begitu sahaja tanpa diampunkan setiap kesalahan dan kekurangan kita.. Wallahu alam…

"Rugilah orang yang didatangi Ramadan , kemudian bulan itu berlalu tetapi dosanya tidak diampunkan." [Hadis Riwayah Ahmad]

Oh Maha Suci Allah, hanya padaNya cinta hakiki.. (qoute Aman Ramdzan)

1 comments:

. said...
This comment has been removed by the author.
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template