Realitinya, kehidupan kita ini dapat
digambarkan seperti sebuah Garisan Kehidupan, ada permulaannya dan ada
pengakhirannya. Ianya bermula daripada Alam Roh lagi, di mana kewujudan kita
telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kemudian, kita masuk ke Alam Rahim selama
sembilan bulan dikandung perut ibu.
Setelah itu, kita dilahirkan memasuki Alam Dunia, meniarap, merangkak, seterusnya berjalan, berlari dan mula menerokai dunia ini. Di dunialah kita melakukan segala rutin harian, bekerja, bercucuk tanam, berniaga, bersenda gurau, berkeluarga, mengumpul harta dan sebagainya. Hinggalah tibanya saat tubuh mulai lemah longlai, kulit semakin kendur, nafas semakin lemah, dan uban kian menutupi kepala. Pada waktu ini, kita telah berada di penghujung kehidupan di dunia. Firman Allah ta’ala:
“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari
keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi
kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban.
Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi
Maha Kuasa.” (Ar Ruum: 54)
Muncul pula selepas itu,
detik yang sangat mencemaskan, Malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Lalu,
terpisahlah ruh daripada badan dan kita memasuki Alam Barzakh, suatu alam ghaib
yang cukup mengerikan bagi mereka yang melakukan banyak dosa di dunia, juga
alam yang sangat mengembirakan bagi mereka yang melakukan amal soleh.
Terakhirnya, semua manusia
akan dibangkitkan kembali ke Alam Akhirat yang kekal abadi. Di sana, adanya
Hari Pembalasan yang menentukan kesudahan kita, sama ada Syurga ataupun
nauzubillah min zalik, Neraka yang sangat menakutkan. Adapun, bagi mereka yang
soleh sangat merindui detik bertemu dengan Tuhannya yang selamanya ini
diidam-idamkan. Dan tiadalah nikmat yang paling besar selain memalingkan wajah
memandang tepat pada wajah Allah aza wajalla.
Hakikat Hidup Muslim
Apabila
diamati kembali Garisan Kehidupan tadi, sebenarnya, satu-satunya waktu untuk
kita membuat kebaikan ialah ketika mana kita berada di Alam Dunia. Pada waktu
yang sangat singkat inilah, manusia perlu berusaha meningkatkan amal yang akan menjadi
penentu antara kesudahannya di Syurga mahupun di Neraka.
Hakikatnya,
di Alam Dunia ini, terdapat 2 persoalan utama yang berlegar-legar dalam
kehidupan manusia. Persoalan pertama ialah berkaitan dengan Keperluan seorang
Manusia untuk hidup. Inilah satu-satunya persoalan yang sering difikirkan
oleh manusia secara keseluruhannya, tidak kiralah dalam bentuk perlukan kepada
makanan, tempat tinggal, udara, pakaian, air dan sebagainya. Dan rata-rata
kesemua keperluan ini berhajat kepada wang ringgit. Justeru, manusia
berlumba-lumba untuk mencari pekerjaan yang terbaik, dan berusaha untuk
mengumpul harta bagi memperoleh kesenangan hidup. Boleh jadi, kitar hidup
seseorang manusia itu hanyalah untuk memenuhi persoalan ini sahaja sepanjang
hayatnya.
Adapun
persoalan yang kedua adalah berkaitan dengan Bekalan seorang Muslim dalam
kehidupan. Apabila mengetahui hakikat ini, barulah seorang Muslim itu akan
mengenal matlamat dia dihidupkan di atas dunia ini iaitu untuk mencari
Mardhatillah atau pun Redha Allah s.w.t. Dengan kesedaran terhadap hakikat
inilah, seorang Muslim akan menjadikan dunianya ini sebagai tempat untuk
membuat amal, dan bukan semata-mata untuk bersenang lenang. Hidup seorang
Muslim tidak sepatutnya mengejar apa yang dikejar oleh seorang Kafir kerana dia
jelas dengan tujuan disebalik penciptaannya.
Sabda Rasulullah s.a.w.; “ Dunia itu
adalah penjara bagi orang Mukmin, dan syurga bagi orang Kafir… Dan Akhirat itu
adalah syurga orang Mukmin, dan penjara bagi orang Kafir.”
Inilah yang membezakan
antara seorang Muslim dan seorang Kafir. Inilah juga yang menjadi persoalan
penting dalam hidup mereka melebihi daripada persoalan yang pertama tadi. Malangnya,
hakikat ini hanyalah disedari oleh sejumlah kecil sahaja di kalangan umat Islam
itu sendiri.
Tujuan Hidup 1: Mengabdikan diri
kepada Allah
Berbalik kepada persoalan Bekalan
Muslim tadi, kita akan dapati bahawa tujuan penciptaan manusia di atas bumi ini
ialah berdasarkan 2 ayat al Quran. Ayat yang pertama berbunyi;
“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)
Iaitu untuk u’budiyyah ilallah, mengabdikan
diri hanyasanya kerana Allah ta’ala dalam erti kata lain Tarbiyah. Dan ayat
yang kedua pula;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para
Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka
bumi…" (Al-Baqarah: 30)
Tujuan penciptaan yang kedua pula,
iaitu untuk menjadi Khilafah di atas bumi ini, memakmurkan bumi agar mengikut
segala yang ditentukan oleh Syariat Islam, dalam erti kata lain Dakwah. Tujuan
hidup yang kedua ini akan kita huraikan pada masa yang akan datang.
Jadi,
kembali kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t atau dalam definisi lainnya
Tarbiyah. Pengabdian kepada Allah s.w.t ini mestilah difahami bahawa kita
meletakkan diri ini hanyalah diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada
Allah ta’ala dengan cara mengenal makrifatullah, tanda-tanda kebesaran Allah
s.w.t. Ini boleh dicapai sama ada dengan menerokai ayatollah al Maqra’
(kehebatan Allah yang dibaca) dan ayatollah al Mandzur (kehebatan Allah yang
dilihat) iaitu melalui mukjizat al Quran dan mentadabbur alam buana. Akhirnya,
akan timbul dalam diri betapa hebatnya kekuasaan Allah s.w.t. yang berupaya
menjadikan apa sahaja yang diinginkanNya.
Ciri-ciri u’budiyyah yang
perlu difahami juga perlulah menyeluruh (syumul) dan secara sempurna, bukan
dengan menjuzuk-juzukkan kepada beberapa sudut sahaja. Maksud saya, tidaklah menganggap ibadah itu tempatnya hanya
di mihrab semata-mata, bahkan setiap tutur kata, pergaulan, muamalat, berjalan,
berdiri dan duduk, kehidupan sejak mula mengangkat kelopak mata sehingga
tertutupnya kembali adalah ibadah ataupun pengabdian diri kepada Allah ta’ala.
Bahkan, saat tertutupnya mata kita juga adalah seharusnya ibadah kepada Allah
s.w.t. FirmanNya;
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu
ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti jejak langkah
syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang kamu yang nyata.” (Surah al
Baqarah: 208)
Kita
dituntut untuk masuk ke dalam Islam itu secara keseluruhan, dituntut untuk
sentiasa mengingati dan beramal untuk Allah s.w.t. Melaksanakan segala tuntutan
yang terkandung di dalam al Quran dan meninggalkan hayat semata-mata untuk
kepentingan peribadi, kesenangan nafsu dan berfoya-foya, kepentingan memenuhi
periuk nasi, dan melancong mengelilingi dunia bersuka-suka sahaja.
Tarbiyah yang tersusun
Memahami
keperluan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. secara keseluruhan juga
bermaksud keperluan untuk menjadi Muslim Total, bukan sekadar muslim
separuh-separuh. Malangnya, Allah s.w.t. juga telah mengingatkan bahawa di sana
terdapat suatu makhluk yang akan bekerja keras untuk menghasut manusia supaya
tidak menjadi Muslim keseluruhannya, dengan amaran janganlah mengikut jejak
langkah Syaitan. Selain itu juga, keinginan hawa nafsu, orang-orang Kafir, dan
munafiq juga menjadikan misi seorang Muslim itu menjadi Muslim Total
hampir-hampir mustahil.
Di
sanalah perlunya orang-orang yang beriman kepada kekuatan sistem sokongan yang
mampu menangkis semua serangan, hasutan dan godaan itu. Hidup berjemaah, dalam
bi’ah yang solehah itu akan menjadikan misi akhir untuk menjadi hamba yang
benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. lebih mudah dan sempurna.
Seseorang
yang mempunyai pertemuan mingguan di dalam bulatan kecilnya, mabit bulanan
dalam katibah besarnya, bedah buku atau pembentangan ilmiyyah dalam daurahnya,
riadah dan mukhayyam bagi keperluan jasadnya, serta muktamar atau nadwah yang
mengasah kepimpinannya mampu membentuk seorang muslim yang kuat segala aspeknya
bukan sudut-sudut tertentu sahaja. Malahan, manhaj al Quran dan as Sunnah,
sirah Nabi s.a.w, para sahabat dan salafussoleh serta ulamak muktabar mampu
membangkitkan kembali ruh semangat dengan kegemilangan Islam pada suatu masa
dahulu. Selain bi’ah murabbi, mutarabbi dan sokongan ikhwah-ikhwah lain untuk
kita menjadi Muslim hakiki melengkapkan sepuluh sifat yang sepatutnya ada pada
seseorang individu Muslim itu.
Kesedaran juga ada Maqamnya
“Tuhan
dulu pernah, aku menangih simpati,
Kepada
manusia, yang alpa juga buta,
Lalu
terheretlah, aku di lorong gelisah,
Luka
hati yang berdarah, kini jadi kian parah.”
Apabila kita mula memahami
hakikat kehidupan di dunia ini, seharusnya kesedaran itu timbul, dan
cepat-cepat bertaubat memohon keampunan pada Allah ta’ala atas dosa silam.
“Semalam
sudah sampai ke penghujungnya,
Kisah
seribu duka, ku harap sudah berlalu,
Tak
ingin lagi, ku ulangi kembali,
Gerak
dosa yang menghiris hati.”
Tiadalah
maqam yang lebih bermakna bagi seseorang yang culas itu selain munculnya
kembali kesedaran jauh dari lubuk hati. Lalu disahut kesedaran itu dengan
sahutan amal soleh.
“Tuhan
dosaku menggunung tinggi,
Tapi
rahmatmu melangit luas,
Harga
selautan syukurku,
Hanyalah
setitis nikmatMu di bumi.”
Kemudian
hati itu kembali bercahaya, sinarannya mengalahkan kegelapan maksiat. Hatinya
tunduk berzikir, langkahnya penuh yakin untuk kembali ke barisan perjuangan.
“Tuhan,
walau taubat seringku mungkir,
Namun
pengampunanmu tak pernah bertepi,
Bila
selangkah kurapat padaMu,
Seribu
langkah kau rapat padaku.”
Perasaan
dan semangat langkah-langkahnya yang bersama dengan Allah ta’ala menjadi bekal
sepanjang perjalanan umur dakwah ini...
0 comments:
Post a Comment