Oleh: Ust Fauzi Asmuni
Naib Presiden II, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Isu salafi sekali lagi menjadi buah mulut sebahagian dari pendakwah sejak kebelakangan ini. Ini mungkin disebabkan perbincangan semula terhadap kesahihan beberapa amalan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang berlaku pada peringkat nasional pada tahun lepas. Mungkin juga disebabkan beberapa pertikaian yang ditimbulkan oleh sebahagian pihak terhadap kaedah, pendekatan dan uslub dakwah Ikhwan yang mula mendapat tempat di dalam hati sebahagian aktivis dakwah dan beberapa gerakan Islam di tanahair. Perbincangan tentang isu salafi ini banyak berkisar di sekitar dua isu ini; amalan masyarakat Melayu Islam yang merupakan khilaf fiqhi dan manhaj dakwah.
Persoalan akidah yang sebenarnya salah satu dari asas isu salafi ini kita dapati tidak begitu ketara dibincangkan di Malaysia. Sebaliknya isu yang ditimbulkan adalah isu tahlil, talqin, bacaan Yasin di malam Jumaat, bacaan Qunut di dalam solat Subuh, penyelewengan Sayyid Qutb, bid’ah usrah, kesalahan-kesalahan di dalam tafsir fi Zilal al-Quran, bid’ah ta’wil nas dan lain-lain isu seumpamanya.
Takrif Salafi Yang Kurang Tepat
Banyak pihak mendakwa mereka adalah salafi. Sebahagian kecil sahaja dari kalangan mereka yang memahami apakah yang dimaksudkan dari kalimah salafi tersebut. Manakala bakinya melakukan dakwaan tanpa sandaran ilmu. Dengan berpandukan ilmu yang sedikit itu mereka mula menuduh pihak lain ‘tidak salafi’ atau ‘kurang salafi’ berbanding mereka.
Sebahagian dari mereka mengatakan salafi adalah pengikut ‘madrasah an-nas’, iaitu satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum secara langsung dari zahir nas tanpa banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas). Dengan itu mereka berpegang kepada zahir nas dari al-Quran atau hadis dan menolak methodologi yang digunakan oleh ulama’ yang lain. Mereka mengambil jalan mudah dengan mempraktikkan Islam terus dari al-Quran dan Sunnah tanpa merujuk kepada tafsiran dan pendapat ulama’-ulama’ berkenaan tafsiran nas tersebut, satu amalan yang sebenarnya bertentangan dengan praktik pelopor madrasah an-nas itu sendiri.
Sebahagian yang lain mengatakan salafi adalah sesiapa yang mempraktikkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan itu mereka memaksakan beberapa pendapat mazhab Hanbali kepada umat Islam di Malaysia yang majoritinya adalah bermazhab Syafie. Hujah mereka kerana fiqh mazhab Hanbali ‘lebih salafi’ dari mazhab-mazhab yang lain.
Sebahagian yang lain pula mengatakan salafi adalah pendekatan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab, pelopor gerakan Wahabi di Arab Saudi. Malangnya apa yang mereka fahami dari gerakan Wahabi ini hanyalah sebahagian dari perjuangannya sahaja. Mereka tidak mengkaji keseluruhan gerakan tersebut. Dengan itu mereka menyimpulkan bahawa gerakan Wahabi adalah gerakan membenteras bid’ah yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab satu kurun yang lepas. Itulah yang cuba mereka lakukan di Malaysia. Alangkah baiknya jika mereka mengkaji jihad Muhammad bin Abdul Wahab dan usaha-usaha pembaikan sistem khilafah yang dilakukan oleh beliau ketika itu. Moga-moga kajian itu dapat menyingkap hakikat salafi yang sebenarnya kepada mereka dan menjelaskan perbezaan di antara gerakan Muhammad bin Abdul Wahab dengan apa yang disebut sebagai Wahabi pada hari ini.
Takrif Salafi Mengikut Manhaj Salafi Kami
Kami meminta maaf kerana menggunakan istilah ‘salafi kami’. Ini bukan dengan tujuan untuk memperkecilkan sebahagian yang mendakwa mereka salafi atau untuk menidakkan ‘salafi’ mereka. Kami juga berusaha seperti mereka untuk menjadi salafi. Jadi penggunaan istilah ini lebih bertujuan untuk menjelaskan beberapa perbezaan di antara kami dan mereka di dalam beberapa isu berkaitan salafi. Istilah ini sudah tentulah lebih baik dan lebih lembut dari istilah sebahagian penulis di dalam blog-blog yang menggunakan istilah ‘salafi lapok’ dan sebagainya.
Mereka yang mengaku salafi sering mengajak kita semua untuk kembali kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan merujuk segala masalah kepada nasnya. Ini adalah pendekatan yang kami persetujui dan kami juga mengajak semua orang Islam ke arah yang sama; kembali kepada nas.
Dengan itu di dalam mentakrifkan ‘salafi’ kami ingin mengajak mereka dan semua pembaca untuk mengembalikan istilah ini kepada nasnya. Dari manakah datangnya istilah ‘salafi’ ini?
Ia adalah hasil kefahaman yang digabungkan dari beberapa buah hadis. Di antaranya sabda Rasulullah s.a.w.:
“Telah terpecah orang-orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasrani menjadi tujuh puluh dua golongan. Akan terpecah umatku menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam neraka, kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang yang berdiri di atas apa yang aku dan para sahabatku berdiri di atasnya.” (Riwayat Abu Daud)
Satu lagi hadis mutawatir menyempurnakan makna ini: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian generasi sesudahnya dan kemudian generasi sesudahnya.”
Daripada hadis-hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan salafi adalah satu kelompok yang dikenali di dalam sejarah perundangan Islam sebagai salafussoleh. Mereka adalah kelompok terbaik di dalam sepanjang sejarah Islam. Mereka adalah tiga generasi Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. dan berakhir di pemerintahan al-Makmun di zaman Abbasiah. Itu adalah pendapat sebahagian ulama’ hari ini termasuklah seorang ulama’ Mesir, Dr. Jum’ah Amin Abdul Aziz.
Apa yang ada pada mereka sehingga mereka digelar golongan salafussoleh?
Mereka adalah generasi manusia yang hidup di tiga generasi pertama Islam. Mereka mempunyai manhaj tertentu di dalam akidah. Dengan manhaj itu mereka menafsirkan alam, kehidupan dan manusia berpandukan sumber Islam yang asli iaitu al-Quran dan Sunnah, jauh dari pengaruh falsafah Yunan dan falsafah-falsafah tamadun lain. Mereka membangunkan sistem ibadah di atas manhaj yang syumul dan umum hasil dari aqidah yang sejahtera dan praktik sunnah yang tepat. Mereka hanya memberikan wala’ kepada Allah dan Rasul serta berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi dengan manhaj dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mempunyai manhaj haraki berpandukan manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. yang mampu mengumpulkan seluruh umat di dalam satu kesatuan.
Adakah istilah salafi merujuk kepada zaman atau manhaj?
Jika istilah salafi merujuk kepada zaman, maka ianya sudah berlalu. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka adalah salafi. Bahkan dakwaan bahawa mazhab Hanbali lebih salafi dari yang lainnya juga adalah tidak tepat. Sumbangan setiap pengasas mazhab yang hidup di zaman itu kepada umat adalah sama. Mereka saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Bahkan jika Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup sekarang, kami yakin dia juga bersetuju dengan kesalafian imam-imam yang lain.
Jika istilah salafi merujuk kepada manhaj, maka sesiapa yang mengikuti manhaj tiga generasi tersebut di dalam praktik Islam maka merekalah salafi sebenar. Manhaj itu merangkumi tasawwur di dalam akidah, ibadah dan harakah dakwah.
Jadi persoalan seterusnya adalah apakah manhaj yang dipraktikkan oleh generasi itu?
Madrasah an-Nas dan Salafi
Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada manhaj madrasah an-nas sahaja atau kepada mazhab Ahmad bin Hanbal sahaja. Sesiapa yang mengikuti manhaj tersebut maka merekalah salafi. Itu yang menjadi punca sebahagian dari pendakwah Islam hari ini berusaha dengan usaha yang sungguh-sungguh untuk mengembalikan umat Islam kepada manhaj ini dan mengajak umat untuk menolak manhaj selainnya. Dengan erti kata lain mereka mula menolak ta’wil, menolak untuk menafsirkan nas berdasarkan ilal nas, menolak untuk membuat imbangan antara ruh nas dan lafaz, menolak untuk membuat imbangan antara zahir nas dan maqasid, menolak untuk membuat imbangan antara wasilah yang berubah dan hadaf yang thabit daripada nas, tidak meraikan perbezaan di antara lafaz majazi dan lafaz hakiki, tidak mengambil kita perubahan madlul lafaz dengan perubahan zaman dan lain-lain methodologi istinbat hukum dari nas yang digunapakai oleh aliran-aliran lain di dalam fiqh Islami.
Kami tidak bermaksud untuk merumitkan pembaca dengan istilah-istilah usul yang memeningkan. Apa yang ingin kami terangkan di sini adalah madrasah an-nas adalah satu aliran dari pelbagai aliran di dalam fiqh. Apa yang menjadi methodologi madrasah an-nas ini juga tidaklah tepat seperti mana yang mereka fahami. Kalau sekiranya mereka mengikuti aliran madrasah an-nas ini dengan betul, mereka tidak akan menolak aliran-aliran yang lain kerana pelopor madrasah an-nas ini juga tidak pernah menolak methodologi aliran lain.
Dengan itu kami tegaskan di sini bahawa manhaj tiga generasi awal Islam itu tidak hanya terbatas kepada madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya ia merangkumi kesemua aliran di dalam fiqh Islami.
Di sini mungkin membantu pembaca untuk memahami aliran-aliran fiqh pada tiga generasi itu dengan membentangkan sedikit ringkasan sejarah aliran-aliran fiqh sehingga membawa ke pembentukan mazhab-mazhab.
Sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w., para fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. bertebaran di negara-negara Islam. Ibnu Abbas r.a. menetap di Mekah dan mempunyai murid-muridnya yang tersendiri. Abdullah bin Omar r.a. menetap di Madinah dan membentuk madrasahnya dan anak-anak muridnya. Ibnu Mas’ud r.a. tinggal menetap di Kufah dan mempunyai murid-muridnya sendiri. Setiap mereka mempunyai pendekatan yang tersendiri di dalam ijtihad dan istinbat hukum.
Fuqaha’ dua tanah haram, Mekah dan Madinah lebih berpegang kepada nas dan jarang melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) berbeza dengan fuqaha’ Iraq yang lebih melihat kepada maqasid. Mungkin disebabkan tidak banyak masalah baru yang timbul di dua tanah haram berbanding Iraq, bumi baru yang dibuka oleh orang Islam dengan majoriti masyarakatnya adalah orang-orang yang baru memeluk Islam, menjadikan mereka mengambil pendekatan sedemikian.
Dari situ muncullah madrasah an-nas yang dipelopori oleh fuqaha’ dua tanah haram dan madrasah ar-ra’yu (satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum tidak secara langsung dari zahir nas tetapi banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) yang dipelopori oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. di Kufah.
Selepas itu di zaman tabi’ien, muncul beberapa orang fuqaha’. Di antara mereka adalah Said bin al-Musayyib di Madinah, Ato’ bin Rabah di Mekah, al-Nakhaie dan as-Sya’bi di Kufah, Hasan al-Basri di Basrah, Makhul di Syam dan Towus bin Kaisan di Yaman. Setiap mereka dipengaruhi pendekatan fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. di tempat masing-masing. Said bin al-Musayyib misalnya lebih cenderung kepada fuqaha’ dua tanah haram. Manakala al-Nakhaie lebih cenderung kepada aliran ijtihad dan istinbat Abdullah bin Mas’ud di Iraq.
Fuqaha’ di zaman tabi’ tabi’ien pula membentuk ranting-ranting aliran fiqh dan mengembangkannya dari keadaannya di zaman tabi’ien. Lahirlah fuqaha’ di negara-negara Islam dalam bentuk yang lebih luas seperti al-Laith bin Saad di Mesir, al-Auza’ie di Syam, Imam Malik dan Ibnu al-Majisyun di Madinah, Ibnu Juraih di Mekah, Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Ibnu Abi Laili di Kufah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Syafie.
Di atas perbezaan methodologi seorang imam dengan seorang yang lain, lahirlah mazhab-mazhab Islam di dalam Islam. Ulama’ Islam tidak pernah menghadkan istilah golongan salafussoleh itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal atau mana-mana fuqaha’ dari madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya semua mereka mengiktiraf kesemua aliran di dalam fiqh tersebut.
Dengan itu adalah amat tidak tepat apabila seseorang melabelkan dirinya salafi hanya kerana dia berpegang dengan madrasah an-nas dan melabelkan orang lain tidak salafi hanya kerana orang itu berpegang dengan madrasah ar-ra’yu. Kedua-dua aliran ini adalah aliran yang diiktiraf di dalam Islam.
Pengikut Aliran Madrasah ar-Ra’yu Tidak Salafi?
Sememangnya terdapat satu syubhat yang ditimbulkan kepada aliran madrasah ar-ra’yu ini. Di antaranya adalah syubhat yang dilemparkan kepada Imam Abu Hanifah yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak 17 hadis sahaja dan Imam Malik yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak lebih kurang 300 hadis sahaja di dalam Muwatto’. Mereka membandingkannya dengan Imam Ahmad bin Hanbal yang meriwayatkan di dalam Musnad sebanyak 30,000 hadis. Dengan itu mereka mengatakan bahawa aliran madrasah ar-ra’yu tidak salafi kerana terlalu banyak bergantung kepada kajian maqasid dengan menggunakan akal dan tidak bersandar kepada hadis.
Dakwaan kelemahan Imam Abu Hanifah dan imam-imam lain di dalam ilmu hadis bukanlah dakwaan yang tepat. Apa yang mereka katakan adalah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukadimahnya. Riwayat itu kemudian disangkal sendiri oleh Ibnu Khaldun. Beliau mengatakan: “Imam Abu Hanifah tidak banyak meriwayatkan hadis kerana beliau ketat di dalam syarat riwayat dan tahammul. Beliau juga akan mentadhiefkan hadis apabila ianya bertentangan dengan akal secara qat’ie. Dengan itu beliau tidak banyak meriwayatkan hadis. Bukan kerana beliau sengaja tidak meriwayatkan hadis. Jauh sekali dari beliau melakukan demikian. Di antara bukti bahawa beliau adalah di antara mujtahid agung di dalam ilmu hadis adalah ulama’-ulama’ hadis bersandar kepada mazhabnya.”
Begitu juga jika sekiranya kita menyelusuri susur galur madrasah ar-ra’yu ini kita akan mendapati bahawa ianya lahir dari ulama’-ulama’ hadis juga.
Ketika Abdullah bin Mas’ud r.a. mengasaskan aliran ini di Kufah, menetap di Kufah bersama-sama dengan beliau beberapa orang sahabat r.a. yang lain seperti Saad bin Abi Waqqas r.a., Huzaifah r.a., Ammar r.a., Salman r.a. dan Abu Musa al-Asyari r.a. Bahkan ketika Saidina Ali r.a. berpindah ke Kufah, beliau gembira melihat keadaan Kufah yang dipenuhi oleh fuqaha’. Generasi sahabat seperti mana yang kita ketahui adalah generasi yang menerima hadis secara langsung dari Rasulullah s.a.w.
Generasi selepas itu adalah generasi yang menghimpunkan di antara aliran fuqaha’ Kufah dan aliran madrasah an-nas dari Abdullah bin Abbas r.a. di Mekah. Di antaranya adalah Said bin Jubair.
Daripada generasi inilah Ibrahim bin Yazid al-Nakhie, seorang tabi’ien menuntut ilmu. Beliau adalah seorang ulama’ hadis yang dikatakan oleh al-A’masy, seorang ulama’ hadis: “Setiap hadis yang aku bentangkan kepada Ibrahim aku akan dapati pada beliau sesuatu ilmu.” Al-Nakhie juga pernah berkata: “Tidak akan betul pendapat tanpa hadis dan tidak akan betul hadis tanpa pendapat.”
Anak murid al-Nakhie adalah Hammad. Beliau adalah anak murid yang diiktiraf oleh al-Nakhie sebagai pewaris ilmunya. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai: “Kepada siapakah kami akan bertanya selepas Tuan.” Beliau menjawab: “Tanyalah Hammad.”
Imam Abu Hanifah adalah anak murid Hammad. Dengan itu kita simpulkan bahawa ilmu Abu Hanifah adalah ilmu yang diwarisi dari Hammad, dari al-Nakhie dan dari fuqaha’ Kufah dari kalangan sahabat r.a.
Lalu dari manakah terletaknya kekuatan hujah mereka ketika mereka mendakwa bahawa pengikut aliran madrasah ar-ra’yu sebagai tidak salafi?
Memerangi Bid’ah dan Salafi
Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada praktik Islam dalam bentuknya yang asli tanpa sebarang campur aduk. Keaslian tersebut ditafsirkan sebagai praktik Islam sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa ada sebarang tambahan. Jadi mereka berusaha untuk mematikan sebarang amalan dan praktik umat Islam yang tidak pernah ada pada pandangan mereka di zaman Rasulullah s.a.w.
Kemungkinan ini mempunyai kaitan dengan sejarah hidup Imam Ahmad bin Hanbal yang terpaksa berhadapan dengan bid’ah golongan Muktazilah di zaman Khalifah al-Ma’mun. Golongan Muktazilah mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk dan Imam Ahmad bin Hanbal bermati-matian berusaha melawan bid’ah tersebut sehingga beliau dipenjarakan. Ia juga kemungkinan mempunyai kaitan dengan usaha mematikan bid’ah yang dilancarkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab di Semenanjung Tanah Arab.
Daripada kedua-dua mereka, difahami bahawa memerangi bid’ah dan menyucikan Islam dari sebarang campuran adalah salah satu unsur yang penting di dalam manhaj salafi.
Terdapat nas yang jelas di dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan kita menjauhkan diri dari bid’ah dan mempraktikkan Islam dalam bentuknya yang bersih dan tidak bercampur baur. Di antaranya adalah firman Allah: “…oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur: 63). Di antaranya lagi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: “Sesiapa yang melakukan amalan baru yang tidak ada dalam agama ini maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)
Bid’ah mula timbul di zaman Saidina Ali r.a. Dengan masalah yang menimpa umat Islam sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Osman r.a., berlakunya peristiwa Unta dan peristiwa Siffin lahirlah golongan Khawarij, Syiah dan Murjiah. Setiap golongan ini membawa bid’ah yang mewakili kumpulan masing-masing. Di akhir zaman Bani Umayyah, muncul Ma’bad al-Jahni dengan fahaman qadariah (segala yang berlaku dengan ketentuan manusia). Ini disambung pula oleh anak murinya, Jahm bin Sofwan yang mencipta bid’ah ta’til (menafikan nama dan sifat bagi Allah). Kemudian datang pula giliran Muktazilah yang membawa lebih banyak bid’ah kepada umat setelah mereka terkesan banyak dengan falsafah Yunan.
Selepas dari itu satu demi satu bid’ah muncul dengan bentuknya yang pelbagai. Sehinggalah pada hari ini, umat Islam mempraktikkan Islam yang sudah bercampur dengan pelbagai bid’ah. Di antaranya percampuran lelaki perempuan dengan batasan yang terlalu longgar, fesyen-fesyen yang mendedahkan aurat, berhukum dengan hukum lain dari syariat Islam dan takrifan semula terhadap jihad dengan satu takrifan yang mengelirukan. Semuanya sudah diterima sebagai budaya dan cara fikir. Ini semua adalah bid’ah.
Kami amat-amat bersetuju jika golongan yang mendakwa mereka salafi ini memerangi bid’ah-bid’ah di atas. Kami menyokong sepenuhnya usaha mereka. Bahkan kami juga sedang berusaha ke arah yang sama seperti mereka.
Apa yang mendukacitakan adalah apabila takrif bid’ah itu diluaskan sehingga dimasukkan sekali di dalam takrif tersebut beberapa amalan seperti sambutan maulid Nabi, bacaan Yasin di malam Jumaat dan lain-lain. Amalan-amalan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam kategori bid’ah yang sepatutnya diperangi. Ia mungkin bukan amalan yang afdhal, tetapi khilaf ulama’ di dalam membincangkan amalan-amalan ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Lahirnya pandangan yang mengatakan harus dan sebagainya mengajak kita untuk bersikap berlapang dada dan menghimpunkan umat Islam di dalam satu kesatuan bukannya melahirkan pemisahan di antara pengikut pandangan yang pelbagai.
Itu yang kita dapati berlaku di sepanjang sejarah Islam dalam usaha ulama’-ulama’ Islam memerangi bid’ah. Apa yang mereka perangi adalah bid’ah yang sudah disepakati hukum haramnya. Manakala mana-mana amalan yang masih khilaf mereka tidak memeranginya sebaliknya mereka mengambil sikap berlapang dada di dalam masalah itu.
Bid’ah di dalam Islam tidak dikategorikan kepada satu kategori sahaja. Ini adalah pendapat ulama’ salaf sendiri. Di antara mereka adalah Imam Syafie yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah saiyi’ah (buruk). Itu juga adalah pendapat Abdullah bin Omar r.a., di antara pelopor madrasah an-nas sebagaimana yang kami ceritakan sebelum ini. Di dalam satu athar yang diriwayatkan oleh Mujahid katanya: “Aku, Zubair dan Urwah memasuki masjid. Abdullah bin Omar r.a. ketika itu berada di tepi bilik Aisyah r.a. dan orang ramai sedang mengerjakan solat Dhuha secara berjemaah. Kami bertanya kepadanya tentang solat mereka lalu beliau r.a. menjawab: “Itu adalah bid’ah yang baik.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)(rujuk nota kaki)
Dengan tasawwur inilah kami melihat pemikiran salafi yang sebenarnya. Ramai lagi ulama’ lain yang mengambil pendekatan yang sama di dalam mengkategorkan bid’ah tetapi kami tidak kemukakan pandangan mereka di sini kerana mereka adalah ulama’-ulama’ yang kemungkinan tidak diterima oleh golongan yang mendakwa mereka salafi.
Tiada Taqlid: Praktik Islam Secara Langsung Dari Nas Tanpa Rujuk Kepada Fuqaha’
Ini juga kemungkinan adalah salah satu pendekatan yang difahami oleh golongan ini sebagai manhaj salafi yang sebenarnya. Sesiapa yang tidak mengambil pendekatan ini, mereka bukan salafi. Dengan itu mereka berusaha untuk menghapuskan budaya taqlid kepada mazhab tertentu yang menjadi amalan majoriti umat Islam pada hari ini. Mereka melaung-laungkan slogan tidak bermazhab dan mendesak umat untuk mengkaji al-Quran dan hadis secara langsung.
Kami menyetujui usaha mereka untuk meningkatkan kemampuan seseorang sehingga sampai ke peringkat ijtihad dan mampu mengeluarkan fatwa. Tetapi di masa yang sama kami tidak menolak keperluan taqlid kepada majoriti umat Islam pada hari ini.
Ingin kami kongsikan di sini, ijtihad dan fatwa bukanlah kemahiran yang boleh dicapai dalam sehari dua. Ia adalah proses yang panjang dan tidak mudah. Ibnu Solah, seorang ulama’ hadis yang terkenal pernah ditanya adakah Imam al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Imam Abu Ishak sampai ke peringkat ijtihad mutlak atau pun tidak? Beliau menjawab: “Mereka tidak sampai ke peringkat ijtihad mutlak. Sebaliknya mereka hanya sampai ke peringkat ijtihad muqayyad di dalam mazhab Syafie. Ijtihad mutlak adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mampu mengeluarkan hukum syarak dari dalilnya tanpa taqlid. Ijtihad muqayyad adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mahir di dalam mazhab mana-mana imam sehingga dia mampu untuk mengeluarkan hukum terhadap sesuatu yang tidak disebut oleh imam itu setelah dikiaskan dengan hukum yang disebut oleh imam itu berdasarkan kaedah dan usul mazhab imam tersebut.”
Dari kata-kata beliau kita dapat fahami kesukaran untuk menjadi seorang mujtahid. Itu juga adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal ketika beliau berkata: “Tidak seharusnya seseorang itu mengeluarkan fatwa sehinggalah dia memiliki lima perkara: Hendaklah dia mempunyai niat (ikhlas) kerana jika dia tidak berniat, dia tidak akan mendapat petunjuk dan kata-katanya juga tidak akan mendapat petunjuk. Dia hendaklah berilmu, lembut dan tenang. Dia hendaklah mempunyai kekuatan terhadap masalah fatwanya dan mempunyai ilmu terhadap masalah tersebut. Dia hendaklah mempunyai kemampuan jika tidak dia akan diperdaya oleh manusia. Dia hendaklah mengenali manusia.”
Kesukaran berfatwa dan ijtihad inilah sebenarnya yang membenarkan taqlid kepada mana-mana mazhab dipraktikkan di dalam umat hari ini. Bahkan amalan taqlid itu juga sebenarnya dipraktikkan oleh generasi umat sebelum ini.
Al-Amidi di dalam kitab al-Ihkam berkata: “Ada pun ijma’ terhadap masalah ini adalah kerana orang awam di zaman sahabat r.a. dan tabi’ien terus menerus bertanyakan fatwa dari kalangan mujtahid dan mengikut pendapat mereka di dalam permasalahan hukum syara’. Ulama’ di kalangan mereka bersegera menjawab segala pertanyaan tanpa mendatangkan dalil. Ini adalah ijma’ bahawa seorang awam harus bertaqlid kepada seorang mujtahid mutlak.”
Penduduk dua tanah haram mempraktikkan mazhab Abdullah bin Omar r.a. dan anak muridnya untuk satu tempoh yang panjang tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu. Seterusnya Ato’ bin Robah dan Mujahid memberi fatwa kepada penduduk Mekah untuk satu tempoh yang panjang. Wakil khalifah pada masa itu melaungkan: “Tidak ada seorang pun yang akan berfatwa kepada orang ramai selain dari dua orang imam ini.” Keadaan tersebut berjalan tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu.
Imam Ibnu al-Qayyim, anak murid Ibnu Taimiyah, seorang ulama’ yang menjadi rujukan golongan ini berkata: “Harus bertaqlid bagi seseorang yang belum sampai ke peringkat ijtihad. Dia hendaklah mengikuti seorang imam, meminta petunjuk darinya dan bertaqlid kepadanya di dalam masalah halal dan haram. Orang seperti ini tidak boleh mengeluarkan fatwa kepada manusia walau pun dia mempunyai banyak kitab hadis.”
Ini adalah pendapat yang tepat. Pendekatan memaksa umat Islam; yang cerdik dan tidak cerdik untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis adalah satu bebanan yang tidak perlu ditanggung oleh umat. Bagaimana mampu rakyat Malaysia mengeluarkan hukum untuk amalan dirinya sendiri secara langsung dari al-Quran dan hadis sedangkan dia masih lagi tidak mampu untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan membaca hadis dengan baris yang betul?
Kesimpulan
Banyak lagi isu berkaitan salafi ini yang boleh dibincangkan. Kami belum lagi menyentuh tentang salafi dan Ikhwan Muslimin. Ia juga merupakan satu topik yang panjang diperdebatkan di Saudi satu ketika dahulu dan baru-baru ini bahangnya sampai ke tanah air kita ini. Ia berkait dengan isu bai’ah, konsep amal jama’ie, fikrah haraki dan isu-isu lain yang terlalu banyak untuk ditulis di sini.
Apa yang dapat kami simpulkan di sini adalah istilah salafi sebenarnya telah disalah gunakan oleh sebahagian pihak. Penyalahgunaan istilah tersebut telah membawa kepada munculnya khilaf fiqhi yang panjang dan budaya salah menyalah di antara satu sama lain. Masing-masing akan mempertahankan kebenaran yang dilihatnya ada pada pihaknya dan tidak ada pada pihak lain.
Alangkah baiknya jika sekiranya kita semua mampu untuk berlapang dada di dalam masalah-masalah furu’ dan melakukan perbincangan ilmiah yang bersih dari sebarang sentimen dan emosi. Penyatuan dan penerimaan methodologi berfikir juga adalah jalan yang perlu kita rentasi bersama untuk mencapai kesatuan pemikiran dan umat. Berikanlah hak kepada semua pihak untuk mempraktikkan apa yang dilihatnya sebagai Islam selagi mana ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Amalkanlah Islam yang syumul dan umum yang mampu menyatukan bukannya Islam yang sempit yang hanya melahirkan kumpulan-kumpulan.
Wallahu al-Musta’an
Perjuangan Islam Akhir Zaman (Part II)
1 year ago
0 comments:
Post a Comment