Pasar Ramadhan 1430H: Dataran Kompleks Hayyu 'Asyir

Ramadan yang Terbaik buatku..

“Ya Allah, jadikanlah Ramadan kali ini, Ramadan yang Terbaik buatku.. ”


Impinya kita pada keampunan Allah swt.

Jika kita renungkan, tak dapat bayangkan betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan selama ini. Boleh jadi, kalau dosa itu berbentuk gumpalan batu-batu, dan kita pikul atas kepala kita, tak tahulah besar mana gunungan batu yang bakal menghempap atas kepala kita.Begitulah bagaimana orang yang beriman melihat maksiat atau dosa yang dilakukan setiap hari.

Sebaliknya, golongan fasiq memandang maksiat yang dilakukan seperti lalat yang hinggap di hidung mereka, kemudian ditepis lalat itu dengan tangan mereka, lalu terbanglah ia ke udara. Beberapa ketika kemudian, hinggap kembali ke hidung. Sepertinya maksiat itu suatu yang remeh dan bukan menjadi perkiraan atau tumpuan golongan tersebut.


Para Salafussoleh dahulu sentiasa menghitung maksiat yang telah mereka lakukan. Mereka berusaha untuk berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka dan bersegera untuk bertaubat dan mengharapkan maghfirah dari ilahi.

Maksiat dalam erti kata para alim ulama’ bukanlah seperti yang kita rasai. Hatta melewatkan solat berjemaah di masjid pun termasuk dalam maksiat bagi mereka. Maksiat yag difahami ialah sebarang ketidaktaatan yang dilakukan kepada Allah swt. Masakan tidak, seorang Sheikh Besar, Dr Yusoff al Qardawi mengatakan dihadapan himpunan ramai ulama’; “jikalau dosa itu punyai bau, pasti kalian semuanya akan menjauhi aku.”

Dan Imam Syafiee yang mengadu buruknya hafalnya hanya kerana terlihat bahagian tumit seorang perempuan ajnabiah di pasar. Bayangkan apa yang dilihat oleh remaja-remaja kini? Bayangkan teruknya maksiat membunuh syabab(pemuda) muslim bak kegelapan yang menutupi cahaya.

Betul, kita sangat dahagakan keampunan ilahi. Kita perlu pada rahmatNya untuk melangkah ke Syurga abadi. Kita perlukan redhaNya setiap detik setiap hari.

Sabda Rasulullah saw ; "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketulusan, Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Jadi, dalam melangkah ke bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita merebut segala ganjaran dan pahala yang bertaburan sambil menghirup udara segar Ramadan. Kita hidupkan malam dengan solat Qiam dan Tahajjud. Kita perbanyakkan bacaan ayat suci alQuran. Kita banyakkan sedekah dan amal jariah.

Semoga kita tak termasuk seperti yang disabdakan oleh Rasul saw; "Rugilah orang yang didatangi Ramadan , kemudian bulan itu berlalu tetapi dosanya tidak diampunkan." [Hadis Riwayah Ahmad]

Kita berdoa semoga Ramadan kali ini, Ramadan yang terbaik buat kita semua.. insyaallah!

Iklan

This Video is dedicated to Akh Irfan and Ukhti Nafisah..

Israk wal Mikraj

Bulan Rejab sudah berlalu. Antara peristiwa yang cukup sinonim dengan Bulan ini ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Menurut sebahagian ulama’ atau mungkin sedikit daripada mereka mengatakan ia berlaku bukan didalam bulan ini. Wallahualam. Apa-apa pun yang pentingnya ialah pengajaran yang boleh digarap oleh umat Islam keseluruhannya daripada peristiwa yang sangat agung ini.

Peristiwa bersejarah ini direkodkan didalam al-Quran mengandungi hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah swt mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad saw. Ianya peristiwa yang sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian pancaindera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap teguh keyakinannya kerana ia menjadi bukti kekuasaan Allah swt.

Pengajaran yang boleh digarap;

1. Kekuatan Iman Saidina Abu Bakar As-Siddiq, seorang yang membenarkan segala kata yang keluar daripada mulut Rasulullah saw. Tiada satu kata yang tidak diyakininya menjadi bukti keteguhan Iman beliau mengatasi sahabat-sahabat lain. Kisah-kisah sahabat yang kita dengari dan pelajari bukanlah hanya untuk disimpan dalam kotak maklumat sahaja, bahkan ia seharusnya dipancarkan dalam bentuk amalan dan perbuatan supaya wujudnya masyarakat yang bergerak, dan bukan masyarakat yag statik dengan omong-omongan kosong.


Begitu ramai antara kita yang terkesan dengan ayat-ayat alQuran, kita merintih, kita menangis membacanya. Tapi, sifat As Sidqu seperti kepudaran dalam jiwa kita. Cukup sekadar terkesan, tetapi tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan harian. Yang mengata terus mengata, yang menipu terus menipu, yang sombong, terus menyombong.

Kita lihat contohnya syarat-syarat taubat. Mungkin ramai yang melepasi tahap penyesalan yang sesesal-sesalnya dan berazam tidak mengulangi lagi. Yang kurangnya ialah mereka yang membenarkan taubatnya dengan meninggalkan maksiat tersebut dan melakuakan amal soleh sebagai kafarah kepada dosanya itu.


2. Kalimah al-Abd digunakan didalam surah al-Israk ayat pertama menunjukkan martabat Hamba yang sebenar di sisi Islam. Tidaklah digunakan kalimah Rasul, Nabi atau lelaki sebagai kata ganti diri kepada Muhammad saw, sebaliknya Hamba.

Hamba yang sebenar bukanlah mereka yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu atau harta benda, hamba yang sebetulnya seseorang yang menyerahkan segala sesuatu hatta jiwanya sendiri kepada Allah swt. Ubudiyyah(pengabdian) kepada Allah swt semata-mata. Tiada yang standing dengannya. Itulah semulia-mulia hamba, yang telah bebas dari perhambaan selain kepada Allah swt.

Sabda Rasul saw; “Sesungguhnya kami diutuskan untuk membawa keluar sesiapa sahaja yang berkehendak daripada peribadatan sesama hamba kepada peribadatan hanya kepada Allah swt semata-mata, mengeluarkan sesiapa sahaja dari kezaliman agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada kelapangan dunia dan akhirat.”(hadith)

3. Kepentingan Masjidil Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam dan masjid suci yang ketiga. Bagaimana Allah swt memuliakan masjid ini yang hanya berjaya dijejaki oleh sebahagian kecil umat Islam dan masih dicengkam kuat Zionis laknatullah.


Semangat peristiwa Israk wal Mikraj ini seharusnya menjadi pemangkin dan penguat jiwa untuk berusaha kearah pembebasan Masjidil Aqsa dan Negara Palestin keseluruhannya. Biar kita tanya diri kembali, muhasabah kembali, usaha yang kita telah dan akan lakukan untuk tujuan tersebut. Usaha yang istiqamah dan berpanjangan.

Oleh itu, isu Palestin sepatutnya menjadi isu utama dan teras dalam perjuangan dakwah.

Kemenangan umat Islam di bumi Israk Mikraj, Palestin mengalahkan Yahudi yang menjajah dan Kristian yang mendokong mereka adalah pasti dan dijanjikan oleh Allah swt dan RasulNya. Syaratnya ialah umat Islam kembali menghayati Islam dan mencapai semula taraf “hamba Allah” seperti dalam hadis di atas “…Wahai orang Islam, wahai hamba Allah…” yang diiktiraf bukan sahaja manusia yang lain tetapi diiktiraf pokok dan batu.

Sebaliknya jika ramai umat hari ini dan kerajaan di negara mereka belum mencapai taraf “hamba Allah”, hanya sekadar “hamba nafsu”, “hamba kerusi”, “hamba duit dan harta”, “hamba iblis dan godaannya” dan apa sahaja hamba kepada selain Allah, maka tiada gunanya slogan dan persidangan isu Palestin di hotel dan dewan yang mewah, oleh mereka yang memiliki pangkat dan gelaran yang kosong, kertas dan ucapan yang tidak membawa kepada amal yang serius. Jika sikap dan keadaan ini berterusan, Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang tidak seperti mereka.

“Sekiranya kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain. Kemudian mereka tidak seperti (perangai dan prestasi) kamu” (Surah Muhammad:38).

Ust Abd Halim Abdullah

Fakta-fakta Saudara Semuslim Uighur


Fakta-fakta Muslim Uighur, moga bermanfaat buat semua;

1. Pada tahun 1949, lebih 95% penduduk Turkistan Timur beragama Islam. Menjelang tahun 1983, jumlah mereka merosot teruk hingga menjadi tidak sampai 55%. Bukan Islam keturunan Hans meningkat daripada 5% kepada 45%. Ke mana menghilangnya penduduk asal keturunan Uighur, Kazakh, Turki dan Dugans?

2. Republik Rakyat China di bawah pimpinan Mao Tse Tung mencabul bumi Islam ini lalu mengubah namanya kepada Xinjiang. Penukaran nama ini cukup berkesan untuk menghilangkan identiti Islam wilayah ini hinggakan majoriti umat Islam tidak tahu pun kewujudan Turkistan Timur.


3. Bangsa Hans yang bukan Muslim dibawa masuk beramai-ramai oleh pemerintah. Jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran diberikan kepada bangsa Hans yang sebati dengan ideologi komunis. Para pemimpin agama dan politik Turkistan Timur ditangkap, dibunuh, dimasukkan ke kem-kem buruh paksa ataupun hilang begitu sahaja. Tanah-tanah penduduk dirampas dan pasar-pasar ditutup untuk menjahanamkan ekonomi penduduk Muslim.

4. Usaha-usaha untuk melenyapkan Islam di Turkistan Timur berjalan dengan sistematik hinggakan umat Islam sedunia tidak menyedarinya. Kemuncak kekejaman China boleh dilihat pada masa Revolusi Kebudayaan dalam tahun-tahun 1966-67. Ketika itu masjid-masjid ditutup. Sebahagiannya diambil alih dan dijadikan pejabat, asrama ataupun pusat-pusat penyembelihan (pemotongan) haiwan. Kitab Al-Quran dan buku-buku agama dibakar. Pendidikan agama tidak dibenarkan. Huruf rasmi Turkistan Timur iaitu huruf Arab digantikan dengan huruf Cyriclic dan Latin.


5. Dianggarkan lebih 360,000 orang Islam dibunuh, 100,000 dihalau ke Turkistan Barat dan 500,000 lagi dijadikan hamba abdi di kem-kem buruh paksa. Semua maklumat ini diperolehi daripada buku ‘Gerakan Jihad Fisabilillah & Cabarannya’ oleh Abdul Qadir Djaelani terbitan Pustaka Dini tahun 2001.

6. Wilayah ini juga sudah puluhan kali menjadi tapak percubaan senjata nuklear yang dijalankan oleh pemerintah China. Sisa-sisa ujian tentunya dibiarkan merebak ke kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni oleh penduduk beragama Islam.



p/s; lihat wajah saudara-saudara kita, moga dibekalkan kekuatan luar biasa yang mampu membangkitkan segala semangat untuk terus berjihad di medan dakwah..

http://satuumat.blogspot.com/

Sebaran Umum; Aktiviti Cuti Musim Panas



Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template