Peristiwa bersejarah ini direkodkan didalam al-Quran mengandungi hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah swt mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad saw. Ianya peristiwa yang sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian pancaindera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap teguh keyakinannya kerana ia menjadi bukti kekuasaan Allah swt.
Pengajaran yang boleh digarap;
1. Kekuatan Iman Saidina Abu Bakar As-Siddiq, seorang yang membenarkan segala kata yang keluar daripada mulut Rasulullah saw. Tiada satu kata yang tidak diyakininya menjadi bukti keteguhan Iman beliau mengatasi sahabat-sahabat lain. Kisah-kisah sahabat yang kita dengari dan pelajari bukanlah hanya untuk disimpan dalam kotak maklumat sahaja, bahkan ia seharusnya dipancarkan dalam bentuk amalan dan perbuatan supaya wujudnya masyarakat yang bergerak, dan bukan masyarakat yag statik dengan omong-omongan kosong.
Begitu ramai antara kita yang terkesan dengan ayat-ayat alQuran, kita merintih, kita menangis membacanya. Tapi, sifat As Sidqu seperti kepudaran dalam jiwa kita. Cukup sekadar terkesan, tetapi tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan harian. Yang mengata terus mengata, yang menipu terus menipu, yang sombong, terus menyombong.
Kita lihat contohnya syarat-syarat taubat. Mungkin ramai yang melepasi tahap penyesalan yang sesesal-sesalnya dan berazam tidak mengulangi lagi. Yang kurangnya ialah mereka yang membenarkan taubatnya dengan meninggalkan maksiat tersebut dan melakuakan amal soleh sebagai kafarah kepada dosanya itu.
2. Kalimah al-Abd digunakan didalam surah al-Israk ayat pertama menunjukkan martabat Hamba yang sebenar di sisi Islam. Tidaklah digunakan kalimah Rasul, Nabi atau lelaki sebagai kata ganti diri kepada Muhammad saw, sebaliknya Hamba.
Hamba yang sebenar bukanlah mereka yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu atau harta benda, hamba yang sebetulnya seseorang yang menyerahkan segala sesuatu hatta jiwanya sendiri kepada Allah swt. Ubudiyyah(pengabdian) kepada Allah swt semata-mata. Tiada yang standing dengannya. Itulah semulia-mulia hamba, yang telah bebas dari perhambaan selain kepada Allah swt.
Sabda Rasul saw; “Sesungguhnya kami diutuskan untuk membawa keluar sesiapa sahaja yang berkehendak daripada peribadatan sesama hamba kepada peribadatan hanya kepada Allah swt semata-mata, mengeluarkan sesiapa sahaja dari kezaliman agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada kelapangan dunia dan akhirat.”(hadith)
3. Kepentingan Masjidil Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam dan masjid suci yang ketiga. Bagaimana Allah swt memuliakan masjid ini yang hanya berjaya dijejaki oleh sebahagian kecil umat Islam dan masih dicengkam kuat Zionis laknatullah.
Semangat peristiwa Israk wal Mikraj ini seharusnya menjadi pemangkin dan penguat jiwa untuk berusaha kearah pembebasan Masjidil Aqsa dan Negara Palestin keseluruhannya. Biar kita tanya diri kembali, muhasabah kembali, usaha yang kita telah dan akan lakukan untuk tujuan tersebut. Usaha yang istiqamah dan berpanjangan.
Oleh itu, isu Palestin sepatutnya menjadi isu utama dan teras dalam perjuangan dakwah.
Kemenangan umat Islam di bumi Israk Mikraj, Palestin mengalahkan Yahudi yang menjajah dan Kristian yang mendokong mereka adalah pasti dan dijanjikan oleh Allah swt dan RasulNya. Syaratnya ialah umat Islam kembali menghayati Islam dan mencapai semula taraf “hamba Allah” seperti dalam hadis di atas “…Wahai orang Islam, wahai hamba Allah…” yang diiktiraf bukan sahaja manusia yang lain tetapi diiktiraf pokok dan batu.
Sebaliknya jika ramai umat hari ini dan kerajaan di negara mereka belum mencapai taraf “hamba Allah”, hanya sekadar “hamba nafsu”, “hamba kerusi”, “hamba duit dan harta”, “hamba iblis dan godaannya” dan apa sahaja hamba kepada selain Allah, maka tiada gunanya slogan dan persidangan isu Palestin di hotel dan dewan yang mewah, oleh mereka yang memiliki pangkat dan gelaran yang kosong, kertas dan ucapan yang tidak membawa kepada amal yang serius. Jika sikap dan keadaan ini berterusan, Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang tidak seperti mereka.
“Sekiranya kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain. Kemudian mereka tidak seperti (perangai dan prestasi) kamu” (Surah Muhammad:38).
Ust Abd Halim Abdullah
1 comments:
Alhamdulillah,
best artikel ni
Post a Comment