Mengapa Hati Mati?

Pernah atau tidak kita merasakan hati ini tidak tenteram, resah gelisah, bad mood dan tak tenang. Hari itu semua yang kita lakukan serba tak kena. Yang itu tak jadi.. yang ini tak jadi.. Masa itu kalau ada sesiapa yang datang hendak mengusik, habislah dia kita kerjakan. Kalau tidak pun selama beberapa hari tak bertegur sapa. Rasa malas nak layan orang lain. Biarlah mereka dengan agenda mereka yang tersendiri, asalkan aku bahagia di sini(sedang jiwa masih tak tenang).


Firman Allah s.w.t.:
“..ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Ar-Ra’d)


Serius, ayat al-Quran yang agung asalnya daripada Allah Aza Wajalla, Tuhan Yang Maha Agung, tiada kata-kata yang maha besar melainkanNya.

Tapi, diri yang resah masih menolaknya. Sudah berkali-kali dibelek-belek mukasurat dalam al-Quran, cuma zouqnya sahaja yang masih tak sampai. Masih resah, tak tenteram, panas baran, ego. Asyik nak gaduh dan bertengkar. Atau berdiam seribu bicara tanpa rasa peduli akan perkara di sekelilingnya.

Masa itulah datangnya suara seorang sahabat yang mulia, “ ada apa-apa masalahkah, mad?” Hati pilu meluahkan, “ Aku risau sangat. Err.. Aku rasa aku tak terkesan dengan ayat-ayat Tuhan. Dahulu aku belajar, ayat-ayatnya hebat. Ada ruh.”

Hah, tengoklah, berapa ramai orang yang menunaikan solat di muka bumi ini, tapi hati masih tak tenang. Berapa ramai yang membaca kalamullah, tapi ayat-ayat bacaan mereka itu tak membentuknya untuk menjadi lebih baik. Orang yang suka menggelar-gelar, mengumpat, mengintip-intip kesalahan, berkhalwat, ber'couple' masih berleluasa.

Imam Syafie pernah sekali mengadu pada gurunya, Imam Waqi’ akan buruknya hafazannya (itupun telah banyak menghafal himpunan ayat-ayat Quran dan Hadith). Maka Imam Waqi’ berkata, sesungguhnya ilmu Allah itu adalah ibarat cahaya. Dan cahaya Allah tidak akan sampai kepada mereka yang melakukan maksiat.

Oh, rupanya maksiatlah punca hati menjadi keras tak terima ayat-ayat Quran. Punca orang salat beramal seperti orang yang tidak solat. Dan virus maksiat ini sangat suka (high affinity) menjangkiti organ “Hati Manusia” hingga lalai dari tanggungjawab asalnya. Lupa dalam keadaan diri masih lagi sedar. Atau buat-buat lupa. Tahap ini hati sungguh keras sampai yang benarpun tidak dilaksanakan. Malah yang batil disanjung tinggi.

Kata Ulama’ hati mati melalui 4 cara:
1.Banyak bercakap
2.Banyak makan
3.Banyak melihat (yang tidak elok)
4.Banyak bergaul (yang tidak elok)


Allah berfirman:
“ maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan Ketakwaan, sungguh beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa) nya, dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syams: 8-10)


Marilah sama-sama kita berdoa agar tergolong antara mereka yang senantiasa menyucikan hatinya.

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template