Makan Suap

Merujuk tajuk di atas, post kali ini bukanlah untuk membicarakan tentang simpulan bahasa ‘Makan Suap’. Bukanlah untuk mengetengahkan tentang Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini yang hangat memperkatakan tentang isu politik wang, makan suap, suap menyuap, rasuah dan sebagainya. Bukan jua untuk mendedahkan statistik tangga rasuah Malaysia di mata dunia.



Tetapi post ini hanyalah untuk mengajak kita mengimbau kembali di kala kita masih kecil, dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibu yang tercinta. Kita dibelai, dan dimanja sehinggakan tika kita kelaparan, ibulah yag menyuap makanan dengan tangan lembutnya terus ke mulut kecil kita. Hal ini jelas, ketika kita tak punyai kebolehan untuk menyuapkan makanan ke mulut sendiri. Ketika kita masih lemah. Hanya mampu untuk merengek meminta sesuap nasi, cereal, biskut,susu dsb.

Firman Allah swt;
"Allah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban..."(Ar Rum)


Kemudian, jika kita perhatikan, bezanya ketika di sekolah dahulu. Segala ilmu yang disuap tiap-tiap satunya oleh guru yang mulia.Keadaan ini sehinggakan segala latih tubi, gerak gempur, perkampungan ilmu dan penekanan yang cikgu berikan pada setiap bab dan topik menjadi penyebab atau faktor kejayaan kita pada hari ini(kecuali mereka yang benar-benar berjaya 100% atas usaha mereka sendiri).Jasa guru memang besar, hanya Allah swt yang mampu membalasnya kembali.


Berbalik pada bumi yang nyata ini. Secara peribadinya, saya rasakan Pelajar Perubatan MOU di mesir turut mendapat layanan suapan yang sama. Kami diajar satu persatu, diberikan nota-nota yang masuk di dalam peperiksaan dsb. Mungkin, berlainan di kebanyakan Universiti lain(Negara lain atau di al Azhar sendiri), situasi menyuap ilmu ini kurang ketara. Impaknya, ramai pelajar yang mula belajar untuk menyuap sendiri.

Dalam erti kata lain, mereka mula belajar berdikari dan berusaha sendiri untuk memperoleh ilmu tersebut. Konsep selalu bertanya, selalu berfikir, selalu menilai dll dapat merangsang sel-sel otak kita untuk berubah daripada mod disuap kepada mod menyuap.

Dan jika kita dapat perhatikan, ramai tokoh yang masyhur dan cukup terkenal melonjak jauh mengatasi pemuda-pemuda pada zamannya dengan mod ini dan dengan berfikiran yang kritis. Pada akhirnya, lahirlah individu-individu seperti as-Syafiee, ibnu Sina, ibn Rusy, al-Khawarizmi dan banyak lagi.

Jadi, marilah sama-sama kita memaksimakan kekuatan akal yang merupakan nikmat yang cukup besar kurniaan ilahi. Mana tahu, jika kita perah sedikit sahaja lagi, kita mungin, akan temui pelbagai jawapan yang tak terjawab selama ini...Ws

1 comments:

Mukmin bin Mohd Khairi said...

Terima kasih kepada yang telah menegur ttg tajuk itu... saya sudah betulkan

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template