This Video is dedicated to Akh Irfan and Ukhti Nafisah..

Israk wal Mikraj

Bulan Rejab sudah berlalu. Antara peristiwa yang cukup sinonim dengan Bulan ini ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Menurut sebahagian ulama’ atau mungkin sedikit daripada mereka mengatakan ia berlaku bukan didalam bulan ini. Wallahualam. Apa-apa pun yang pentingnya ialah pengajaran yang boleh digarap oleh umat Islam keseluruhannya daripada peristiwa yang sangat agung ini.

Peristiwa bersejarah ini direkodkan didalam al-Quran mengandungi hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah swt mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad saw. Ianya peristiwa yang sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian pancaindera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap teguh keyakinannya kerana ia menjadi bukti kekuasaan Allah swt.

Pengajaran yang boleh digarap;

1. Kekuatan Iman Saidina Abu Bakar As-Siddiq, seorang yang membenarkan segala kata yang keluar daripada mulut Rasulullah saw. Tiada satu kata yang tidak diyakininya menjadi bukti keteguhan Iman beliau mengatasi sahabat-sahabat lain. Kisah-kisah sahabat yang kita dengari dan pelajari bukanlah hanya untuk disimpan dalam kotak maklumat sahaja, bahkan ia seharusnya dipancarkan dalam bentuk amalan dan perbuatan supaya wujudnya masyarakat yang bergerak, dan bukan masyarakat yag statik dengan omong-omongan kosong.


Begitu ramai antara kita yang terkesan dengan ayat-ayat alQuran, kita merintih, kita menangis membacanya. Tapi, sifat As Sidqu seperti kepudaran dalam jiwa kita. Cukup sekadar terkesan, tetapi tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan harian. Yang mengata terus mengata, yang menipu terus menipu, yang sombong, terus menyombong.

Kita lihat contohnya syarat-syarat taubat. Mungkin ramai yang melepasi tahap penyesalan yang sesesal-sesalnya dan berazam tidak mengulangi lagi. Yang kurangnya ialah mereka yang membenarkan taubatnya dengan meninggalkan maksiat tersebut dan melakuakan amal soleh sebagai kafarah kepada dosanya itu.


2. Kalimah al-Abd digunakan didalam surah al-Israk ayat pertama menunjukkan martabat Hamba yang sebenar di sisi Islam. Tidaklah digunakan kalimah Rasul, Nabi atau lelaki sebagai kata ganti diri kepada Muhammad saw, sebaliknya Hamba.

Hamba yang sebenar bukanlah mereka yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu atau harta benda, hamba yang sebetulnya seseorang yang menyerahkan segala sesuatu hatta jiwanya sendiri kepada Allah swt. Ubudiyyah(pengabdian) kepada Allah swt semata-mata. Tiada yang standing dengannya. Itulah semulia-mulia hamba, yang telah bebas dari perhambaan selain kepada Allah swt.

Sabda Rasul saw; “Sesungguhnya kami diutuskan untuk membawa keluar sesiapa sahaja yang berkehendak daripada peribadatan sesama hamba kepada peribadatan hanya kepada Allah swt semata-mata, mengeluarkan sesiapa sahaja dari kezaliman agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada kelapangan dunia dan akhirat.”(hadith)

3. Kepentingan Masjidil Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam dan masjid suci yang ketiga. Bagaimana Allah swt memuliakan masjid ini yang hanya berjaya dijejaki oleh sebahagian kecil umat Islam dan masih dicengkam kuat Zionis laknatullah.


Semangat peristiwa Israk wal Mikraj ini seharusnya menjadi pemangkin dan penguat jiwa untuk berusaha kearah pembebasan Masjidil Aqsa dan Negara Palestin keseluruhannya. Biar kita tanya diri kembali, muhasabah kembali, usaha yang kita telah dan akan lakukan untuk tujuan tersebut. Usaha yang istiqamah dan berpanjangan.

Oleh itu, isu Palestin sepatutnya menjadi isu utama dan teras dalam perjuangan dakwah.

Kemenangan umat Islam di bumi Israk Mikraj, Palestin mengalahkan Yahudi yang menjajah dan Kristian yang mendokong mereka adalah pasti dan dijanjikan oleh Allah swt dan RasulNya. Syaratnya ialah umat Islam kembali menghayati Islam dan mencapai semula taraf “hamba Allah” seperti dalam hadis di atas “…Wahai orang Islam, wahai hamba Allah…” yang diiktiraf bukan sahaja manusia yang lain tetapi diiktiraf pokok dan batu.

Sebaliknya jika ramai umat hari ini dan kerajaan di negara mereka belum mencapai taraf “hamba Allah”, hanya sekadar “hamba nafsu”, “hamba kerusi”, “hamba duit dan harta”, “hamba iblis dan godaannya” dan apa sahaja hamba kepada selain Allah, maka tiada gunanya slogan dan persidangan isu Palestin di hotel dan dewan yang mewah, oleh mereka yang memiliki pangkat dan gelaran yang kosong, kertas dan ucapan yang tidak membawa kepada amal yang serius. Jika sikap dan keadaan ini berterusan, Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang tidak seperti mereka.

“Sekiranya kamu berpaling, Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain. Kemudian mereka tidak seperti (perangai dan prestasi) kamu” (Surah Muhammad:38).

Ust Abd Halim Abdullah

Fakta-fakta Saudara Semuslim Uighur


Fakta-fakta Muslim Uighur, moga bermanfaat buat semua;

1. Pada tahun 1949, lebih 95% penduduk Turkistan Timur beragama Islam. Menjelang tahun 1983, jumlah mereka merosot teruk hingga menjadi tidak sampai 55%. Bukan Islam keturunan Hans meningkat daripada 5% kepada 45%. Ke mana menghilangnya penduduk asal keturunan Uighur, Kazakh, Turki dan Dugans?

2. Republik Rakyat China di bawah pimpinan Mao Tse Tung mencabul bumi Islam ini lalu mengubah namanya kepada Xinjiang. Penukaran nama ini cukup berkesan untuk menghilangkan identiti Islam wilayah ini hinggakan majoriti umat Islam tidak tahu pun kewujudan Turkistan Timur.


3. Bangsa Hans yang bukan Muslim dibawa masuk beramai-ramai oleh pemerintah. Jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran diberikan kepada bangsa Hans yang sebati dengan ideologi komunis. Para pemimpin agama dan politik Turkistan Timur ditangkap, dibunuh, dimasukkan ke kem-kem buruh paksa ataupun hilang begitu sahaja. Tanah-tanah penduduk dirampas dan pasar-pasar ditutup untuk menjahanamkan ekonomi penduduk Muslim.

4. Usaha-usaha untuk melenyapkan Islam di Turkistan Timur berjalan dengan sistematik hinggakan umat Islam sedunia tidak menyedarinya. Kemuncak kekejaman China boleh dilihat pada masa Revolusi Kebudayaan dalam tahun-tahun 1966-67. Ketika itu masjid-masjid ditutup. Sebahagiannya diambil alih dan dijadikan pejabat, asrama ataupun pusat-pusat penyembelihan (pemotongan) haiwan. Kitab Al-Quran dan buku-buku agama dibakar. Pendidikan agama tidak dibenarkan. Huruf rasmi Turkistan Timur iaitu huruf Arab digantikan dengan huruf Cyriclic dan Latin.


5. Dianggarkan lebih 360,000 orang Islam dibunuh, 100,000 dihalau ke Turkistan Barat dan 500,000 lagi dijadikan hamba abdi di kem-kem buruh paksa. Semua maklumat ini diperolehi daripada buku ‘Gerakan Jihad Fisabilillah & Cabarannya’ oleh Abdul Qadir Djaelani terbitan Pustaka Dini tahun 2001.

6. Wilayah ini juga sudah puluhan kali menjadi tapak percubaan senjata nuklear yang dijalankan oleh pemerintah China. Sisa-sisa ujian tentunya dibiarkan merebak ke kawasan-kawasan pedalaman yang dihuni oleh penduduk beragama Islam.



p/s; lihat wajah saudara-saudara kita, moga dibekalkan kekuatan luar biasa yang mampu membangkitkan segala semangat untuk terus berjihad di medan dakwah..

http://satuumat.blogspot.com/

Sebaran Umum; Aktiviti Cuti Musim Panas



Ukhuwah Islamiah di PMPI



Mungkin sudah beberapa hari selepas berjaulah ke Matrouh, tetapi bahang kehangatannya masih dirasai. Mana tidaknya, tiap-tiap peserta bukan sekadar berukhuwah di Matrouh sahaja, tapi tautan itu bersambungan dengan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Kadang-kadang agak sukar untuk diterima akal, bagaimana seseorang itu boleh bersusah-susah bermusafir dari satu tempat yang jauh, dengan tambang pengangkutan yang terpaksa dibayar semata-mata kerana ingin bertemu sahabat yang dia rindui.

Ukhuwah yang kita selalu laung-laungkan semestinya Ukhuwah Islamiah. Ukhuwah yang sejati. Namun, jangan disalahfaham dengan ‘Ukhuwah yang ghair Islam’(Ukhuwah bukan Islam).

Kita lihat pada zaman sebelum datangnya Islam membawa sinar perubahan, masyarakat Arab Jahiliah mengamalkan kehidupan berpuak-puak. Mereka duduk dalam satu kelompok dan melakukan aktiviti monopoli perdagangan, merompak atau menyamun secara bersama. Mereka merasakan ‘Ukhuwah’ antara mereka begitu rapat hinggakan jika ada salah seorang ahli mereka yang dianiayai, maka seluruh puak tersebut akan berpakat dan mengisytiharkan perang terhadap puak yang menganiaya itu.

Seringkali kita disibukkan dengan ukhuwah atau tautan yang lalai. Tautan dalam bentuk ini selalu menyebabkan kita berasa amat akrab dan rapat antara satu sama lain. Malangnya, apa yang dilakukan bersama adalah dalam bentuk lagho(sia-sia) dan lebih teruk lagi jika ianya maksiat!

Firman Allah swt; "..dan bertolong-tolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketaqwaan, dan jangan bertolongan dalam mengerjakan keji dan kemungkaran..." (al-maidah:2)

Pada pendapat saya, Ukhuwah Islamiah yang tertaut sesama umat Islamlah yang menjadi kayu ukur kekuatan umat. Sejauh mana teguhnya umat itu dengan kukuhnya Ukhuwah antara mereka. Lebih mudah, semakin terjalin ukhuwah sesama muslim, semakin kuat umat.


Dan kesatuan umat yang difahami ialah atas dasar kekuatan ukhuwah yang terjalin antara mereka. Bukan terletak pada slogan ‘Ukhuwah’ semata-mata atau bilangan umat Islam yang mampu dikumpulkan dalam satu-satu masa. Ukhuwah, inilah kesatuan yang hakiki!

Ops.. ada komen? Tunggu dulu, tutup mulut, henti taip, laksanakan hak-hak kita terhadap muslimin yang lain dulu.

Jom, mari sama-sama kita hidupkan Ukhuwah Islamiah antara kita.. Moga diganjari oleh Allah swt di akhirat kelak.. W'alam bissawab..

Henti tindas Muslim Uighur!


URUMQI: Masyarakat Islam di beberapa negara menggesa China supaya menghentikan tindakan kejam ke atas kaum etnik Muslim Uighur sehingga menyebabkan mereka menderita dan menghadapi ancaman keselamatan di negara berkenaan.

Di TEHERAN, seorang ulama kanan Iran, Ayatollah Naser Makarem Shirazi berkata China tidak boleh melakukan tindakan kejam ke atas umat Islam di wilayah itu.

"Kami mengutuk kekejaman ini dan menggesa umat Islam di seluruh dunia mendesak China menamatkannya dan menghukum mereka yang bersalah," kata Shirazi.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, kira-kira 1,680 orang cedera dan 184 maut dalam pertempuran di antara kaum etnik Uighur dengan pihak keselamatan dan masyarakat China Han.


Keadaan di Urumqi terus tegang dan penduduknya dilarang mengadakan perhimpunan di tempat awam semalam sempena upacara tradisi berkabung oleh masyarakat China Han.

Anggota polis antirusuhan juga turut mempertingkatkan langkah keselamatan di bandar ini terutama di kawasan sensitif.


Sementara itu di JAKARTA, kira-kira 100 penduduk Islam Indonesia menunaikan solat hajat di ibu negara Indonesia itu bagi membantah tindakan kejam ke atas puak Uighur.

"Kami umat Islam di Indonesia turut merasai kepedihan yang dialami saudara seagama di wilayah itu dan mendoakan kesejahteraan mereka. Kami juga mendesak kerajaan China segera menghentikan kekejaman yang dilakukannya," kata penyelaras perhimpunan itu, Jamal Aldin.

"Semua umat Islam mesti menunjukkan perpaduan bagi etnik Uighur dan mendoakan keselamatan mereka," kata ketua Forum Umat Islam, Muhammad Al Khaththath, dalam satu kenyataan.

Di ISTANBUL, beribu-ribu umat Islam Turki menunaikan solat ghaib diketuai ahli teologi, Dr Nedim Urhan di Masjid Fatih untuk etnik Uighur yang terbunuh dalam rusuhan di Xinjiang.

Mereka turut mengadakan tunjuk perasaan membantah kekejaman kerajaan China kepada penduduk Muslim di wilayah itu dan turut membakar bendera China.

Di TOKYO, sebuah kumpulan aktivis mengadakan tunjuk perasaan menggesa China mengakhiri keganasan etnik di Xinjiang.

Persatuan Uighur Jepun berkata, kira-kira 1,000 orang termasuk beberapa kaum etnik Uighur menyertai tunjuk perasaan itu.

Polis Jepun tidak memberi anggaran sebenar jumlah penunjuk perasaan itu.

Dalam pada itu, letupan tangki minyak di sebuah kilang kimia di Urumqi bukan disebabkan serangan pengganas, kata timbalan pengurus kilang.


"Kami menolak serangan pengganas," kata Liu Jiyuan di kilang milik China National Petroleum Corporation, pengeluar tenaga terbesar negara itu. – AP/AFP

Dikejar Anjing!




Termasuk hari itu, sudah tiga orang daripada ahli-ahli beit(rumah) kami yang telah dikejar anjing. Sebenarnya terasa agak janggal juga sebab anjing-anjing di mesir biasanya tidaklah seaktif anjing-anjing di tanah air. Tidak tahu sebab yang betul-betul persis tapi mungkin juga kerana sikap orang Arab yang agak aggresif, menyebabkan anjing-anjing itu menjadi agak pasif dan kelihatan lemah. Tapi mungkin juga kerana ia berlaku pada waktu subuh, dikatakan waktu anjing-anjing meliar merayap-rayap mencari sesuatu untuk santapan.

“enta bolehlah cakap, belum kena lagi. Mahu kencang nafas dibuatnya,” seorang sahabat kata padaku.

“ish.. enta jangan doa ana kena pula sudahlah.”

“ana doa enta tak kena.. insyaallah, hehe”

Subuh itu seperti biasa, aku turun untuk ke jami’ tanpa kaca mata. Selepas mengambil wuduk, memasang selipar pada kakiku lalu terus bergegas ke masjid sedikit terlewat dibelakang si mangsa yang ketiga. Dia yang berada kira-kira 50 meter dihadapanku berjalan agak pantas ke Masjid Abu al-Ala’ yang tidak jauh dari beit kami.

Suasana agak kelam, cuma diterangi sinar cahaya malap yang datang entah dari mana. Di situ, dari jauh lagi, kedengaran nyalakan anjing yang semakin kuat kedengaran. Aku menganggarkan tak kurang dari 5-6 ekor anjing yang menggila. Agaknya kerana kuasa kanta cembungku yang boleh dikatakan agak tinggi menyebabkan penglihatanku agak kabur. Kemudian, dalam keadaan yang mencemaskan, aku terdengar jeritan lelaki yang kuyakini itulah sahabatku tadi. Dia berlari kencang menuju ke arahku. Tanpa berfikir panjang aku terus menggerakkan tubuhku menyelit di sebalik deretan kereta yang berada di sepanjang tepian jalan. Sahabat tadi bersama-sama anjing-anjing itu terus melepasiku. Aku menarik nafas lega sebentar.

“enta ini memang bernasib baik sajalah.. Allah nak tolong.”

“Alhamdulillah..” syukurku.

Petang itu aku berbual dengan seorang sahabat dari Indonesia melalui ruang maya chit chat. Aku meluahkan, apabila mengenangkan kembali, bukan sekali dua, tapi sudah tiga orang yang kena kejar, nak pecah perut juga tergelak. Habis menggeliat seluruh usus perut bila bercerita kembali kisah subuh itu. Aku tertawa sendirian.

Tapi, lain pula perasaan sahabatku itu. Beliau begitu tersentuh sehingga menitiskan air mata. Katanya, besar sungguh pahala antum(kalian). Diuji dengan pelbagai ujian untuk menunaikan ibadah pada Allah. Jika di tahap permulaan Islam dahulu, betapa ramai sahabat yang dihalangi akidah mereka untuk mentauhidkan Allah. Iman mereka di uji dengan pelbagai cobaan dan seksaan dari pihak Kafir Quraisy. Kita lihat bagaimana Bilal r.a. dihempap dengan batu besar di atas tubuhnya kerana mengesakan Allah swt. Khabbab r.a. disalai di atas api hingga menitik cair lemak dari tubuhnya kerana Islam. Ammar bin Yassir pula kehilangan kedua orang tuanya dengan seksaan yang begitu dahsyat sekali.

Dikenang sejarah Zainab al-Ghazali pula, seorang wanita aktivis dakwah yang ditangkap oleh pemerintah yang terlampau zalim kerana kerja-kerja dakwahnya lalu dihumbankan ke dalam penjara. Kemudian, dilepaskan ke dalam penjara itu anjing-anjing meliar yang teramat garang dan kelaparan, menyerbu ke arah srikandi Islam tersebut. Tetapi, dengan kuasa Allah swt, anjing-anjing itu dengan tiba-tiba menjadi pasif, dan tidak menyentuh apatahlagi menggigit tubuh Zainab. Subhanallah!



Berbalik pada ceritera anjing tadi, beliau menambah, cukup beruntunglah kita. Kita yang mana telah melepasi selimut berkulit khinzir, kita yang telah melepasi lingkaran rantaian syaitan yang berlingkar-lingkar panjangnya untuk bangun bersolat subuh dan bersegera menunaikannya berjemaah di masjid. Dan juga, apabila diduga dengan anjing-anjing untuk melemahkan kita dari menunaikan ibadah yang sempurna kepada Allah swt.

Rasulullah saw bersabda;
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim)
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template