Bagi sesiapa yang pernah mendengar kisah Nabi
Zakariya, pasti kagum dengan apa yang berlaku. Pertamanya, semasa baginda mula
menjaga Maryam anaknya Imran, dan mendapati di sana, terdapat keajaiban yang
ditakdir oleh Allah s.w.t. Setiap kali Nabi Zakariya menziarahi Maryam, baginda
mendapati buah-buahan yang berlainan daripada musim yang sepatutnya.
Buah-buahan musim sejuk semasa musim panas dan buah-buahan musim panas ketika
musim sejuk. Inilah keajaiban yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hambaNya yang
soleh.
Atas dasar inilah, Nabi Zakariya
bersungguh-sungguh berdoa untuk dikurniakan seorang anak yang bakal menjadi
waris menyambung perjuangan dakwah yang digalas oleh baginda alaihi salam.
Ajaibnya juga, kerana umur Nabi Zakariya sudahpun lanjut dan isterinya pula
seorang yang mandul. Tetapi, pemahaman yang sangat kuat terhadap perlunya
lanjutan kepada tugasan dakwah ini memaksa Baginda meminta sesuatu yang agak
tidak masuk akal. Sesetengah Salaf menceritakan, Baginda bangun pada tengah
malam, dan berdoa secara khusyuk dan perlahan-lahan supaya tiada yang mendengari
selain Allah ta’ala. Lalu Allah mengurniakan Nabi Zakariya, anaknya Yahya yang
sangat hebat dan patuh kepada orang tua.
Dan ingatlah kisah Zakaria, tatkala ia menyeru
Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri
dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.”
Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami
anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung..” (Surah Al Anbiyak: 89, 90)
Begitu juga Maryam ketika sarat mengandung dan
mengadu pada Tuhannya, lalu dijadikan anak sungai di bawahnya. Juga, dengan
menggoyangkan sahaja akar pokok kurma, maka terjatuhlah buah kurma yang ranum
untuk dimakan khasiat buat diri dan kandungannya. Menariknya, terdapat 3
keajaiban yang berlaku, keajaiban Maryam seorang wanita, keajaiban seorang yang
sedang mengandung dan ketiganya, keajaiban seorang yang sedang sarat mengandung
9 bulan berupaya menggoncangkan akar pokok kurma dan berhasil mendapatkan
makanan buat diri dan kandungannya.
Sabda Rasulullah s.a.w., “Berilah
makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita
hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi
anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya”
Lihatlah kesungguhan Nabi Zakariya berdoa,
memohon hajat kepada Allah s.w.t dan bagaimana Maryam mengadukan rintihannya
kepada Tuhannya. Kemudian mereka diajar untuk mengambil sebab syarat doa itu
diterima. Nabi Zakariya disuruh untuk tidak bercakap dengan sesiapa selama tiga
hari kecuali dengan isyarat manakala Maryam pula disuruh untuk menggoyangkan
akar pokok kurma dan tidak perlu bimbang akan mereka berdua yang dijaga rapi
oleh Tuhan.
Sungguh, bagi mereka yang betul-betul
bersungguh, dan memikirkan tentang Tuhan, pastinya akan dipermudahkan segala
jalan untuk menuju Tuhannya. Firman Allah ta’ala dalam surah al-Ankabut; “Dan
orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan
Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah
benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
Isunya adalah kesungguhan itu, yang kedua
mengambil syarat-syarat yang memenuhi kesungguhan itu, dan yang ketiga berdoa,
menginsafi diri bahawa tiadalah yang dapat melengkapkan segala tuntutan itu,
selain Allah s.w.t. Menangis, merintih dan mengadu kepada Allah ta’ala adalah
suatu simbolik bagi mereka yang benar-benar melalui jalan Allah s.w.t. Tepatlah
lirik sebuah nasyid;
“Air mata keinsafan, yang mengalir, di malam sepi,
Inilah dia pelembut jiwa, bagi mendapat Kasih ilahi.
Deraian air mata ini, titisannya paling berharga,
Buat menyimbang api neraka, moga selamat di titian sirat,
Bahagia menuju Syurga Abadi.
Setiap kekasih Allah, menempuhi jalan ini,
Untuk mereka memiliki kejayaan,
Ayuh bersama kita susuli, perjalanan kekasih Allah,
Agar kita tiada rugi di dalam meniti hidup ini.”
Sebuah Pembukaan
Sepertimana Allah s.w.t memberikan kemenangan
kepada kaum Muslimin dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah.
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu
kemenangan yang nyata..”
(Surah Al Fath: 1)
Sepertimana juga hebatnya doa Nabi Zakariya
untuk mendapat zuriat;
“Di sanalah Zakariya mendoa kepada
Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang
anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa." (Surah ali Imran: 38)
Seseorang Muslim itu perlu bersungguh-sungguh
untuk membuka keluarganya, dengan pembukaan yang jelas. Membina keluarganya,
agar menjadi suatu sel daripada sel-sel masyarakat yang memberikan impak yang
baik. Mengisi taman perumahannya sebagai qudwah kepada tetangga yang lain.
Menghasilkan natijah diri, isteri dan anak yang soleh. Semua ini, perlulah
bermula dengan kesungguhan yang hebat untuk memperoleh anak-anak yang hebat
sepertimana yang diidamkan oleh Nabi Zakariya alaihi salam. Kemudiannya
mengambil segala syarat-syarat yang baik untuk melengkapkan keluarganya.
Berlakunya
keajaiban dalam penaklukan Kota Mekah, seakan-akan musuh sudahpun tertewas
sebelum memulakan serangan lagi. Hal ini, disebabkan kesungguhan dan kepaduan
umat Islam yang telah diterapkan oleh Nabi s.a.w. kepada kaum muslimin sejak
pertemuan awal di Madinah lagi. Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar serta
ayat-ayat Madaniyyah, yang diturunkan semasa di Madinah berjaya membentuk
penduduk Madinah sebuah masyarakat yang menonjolkan kehidupan Islamik dari pelbagai
segi. Akhirnya, terbentuklah sebuah umat yang sangat mendokong perjuangan Nabi
s.a.w. dan membantu Baginda ke mana sahaja Baginda berada.
Ingatlah
ketika Perang Badar Kubra hendak tercetus, maka Nabi s.a.w. mengadakan
mesyuarat dengan majlis tertinggi tentera, di mana Rasulullah melaporkan kedudukan
terkini. Di dalam sidang ini, masing-masing mengemukakan pandangan dan
sumbangan pendapat masing-masing. Kemudian
Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran bagi menenangkan sesetengah hati yang
bergoncang dan ketakutan untuk menghadapi perang.
Kemudian,
Rasulullah bertanyakan; “berikanlah pandangan kalian wahai kamu semua?” Abu
Bakar menyahut. Rasulullah s.a.w. menanyakan soalan yang sama untuk kali kedua
dan ketiga seterusnya disahut oleh Umar dan Miqdad. Kemudian, Rasulullah sekali
lagi menanyakan pertanyaan yang sama “berikanlah pandangan kalian wahai kamu
semua?” Pada pertanyaan inilah, baru semua memahami bahawa sesungguhnya
pertanyaan itu ditujukan untuk kaum Ansar yang mana Baiah Aqabah sebenarnya
tidak menuntut untuk mereka berperang di luar Madinah.
Lalu
Sa’ad bin Muaz pantas menyahut, “.. Demi Tuhan yang mengutuskan tuan
hamba dengan kebenaran, seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan
nescaya akan kami harungi, tak seorangpun akan terkecuali, kami bersenang hati
engkau membawa kami untuk menemui musuh pada esok hari…”
Dimanakah
lagi boleh dijumpai kesungguhan seperti ini? Dimanakah lagi boleh dicari
jiwa-jiwa yang hebat seperti ini? Sanggup mendokong perjuangan Rasulullah
s.a.w. walau dimana sahaja, mereka inilah yang membawa panji Muhammadiyah,
panji perjuangan Baginda s.a.w.
Memori Ustaz Fathi Yakan
Dengan
mengambil kesungguhan tersebut, dan juga dengan memperingati seorang tokoh
perjuangan harakah Islam, Ustaz Fathi Yakan, kami menamakan anak sulong kami,
Fathi Mukmin, insya allah – mohon doa
mustajab kalian semua.
Juga
kerana merujuk kepada ayat-ayat daripada Surah al Fath, yang berulang-ulang
memperingatkan tentang ketenangan yang diturunkan ke atas orang-orang beriman
untuk menambahkan lagi keimanan mereka. Di situ, adanya doa Ummu Fathi dan Abu
Fathi kepada anakandanya, dan seluruh umat Islam amnya.
“..Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke
dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping
keimanan mereka..” (Surah al Fath; ayat 3-ulangan maksud yang sama ayat 18 dan
26)
Kembali
kepada Ustaz Fathi Yakan. Siapa yang tidak pernah mendengar buku ‘Mengapa
Saya Menganut Agama Islam’ yang ditulis oleh beliau. Buku ini
mengandungi banyak panduan dan penerangan kepada seorang muslim tentang hakikat dirinya bergelar seorang
Muslim. Tambahan, buku ini juga dijadikan silibus-silibus bulatan kecil di
sekolah-sekolah.
Sheikh Fathi Yakan rahmatullah ‘alaih pernah menulis dalam buku “Bahtera
Penyelamat”:
“… Para pendakwah Islam patut insaf bahawa pendokong-pendokong dakwah
ialah para mujahid dan para syuhada’. Mereka bukan sekadar sebagai seorang ahli
falsafah atau tukang pidato penggegar pentas semata-mata!!
… Keimanan
bukan sekadar omong kosong. Malah beriman bukan sekadar iman teori; menggembur-gemburkan
tentang Tarbiyyah Rabbaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak
kedengarannya di lidah sahaja.
… Sesungguhnya berjihad dengan lisan memang mudah.
Ramai yang melakukannya tanpa mengenal lelah. Malah jihad seperti ini mungkin
disertai oleh ramai di kalangan orang yang tamakkan populariti serta
kemahsyuran di kalangan orang ramai. Akan tetapi jihad dengan harta amat sukar
bagi jiwa yang berpaut kepada dunia, takut miskin dan bimbang untuk
menderma.”
Moga-moga,
perginya Ustaz Fathi Yakan, Jun 2009 akan melahirkan lagi lebih ramai anak-anak
pejuang Islam yang meletakkan cita-cita tertinggi mereka untuk menjadi Mujahid
dan Syuhada’ atas jalan ini.
Keberhasilan
Kisah
Nabi Zakariya tadi tidaklah berakhir di situ sahaja. Kerana seadilnya kita
memerhatikan hasil didikan baginda sejak mula meminta daripada Allah s.w.t
untuk dikurniakan zuriat sehinggalah lahirnya Yahya a.s. di atas muka bumi ini.
Suatu
perkara yang boleh kita hayati bersama iaitu, Nabi Yahya alahi salam diangkat
menjadi rasul sejak usia kanak-kanak lagi. Baginda seorang yang sangat cerdik
meskipun masih di usia budak. Abdullah ibn Mubarak menceritakan Ma’mar berkata;
“beberapa kanak-kanak berkata kepada Yahya ibn Zakariya, “marilah bermain
bersama kami.” Lalu Yahya menjawab, “ Tidaklah kita ini diciptakan untuk
bermain-main!”
Ma’mar mengatakan, inilah yang dimaksudkan, “..Dan kami
berikan kepadanya hikmah(kecerdikan) sewaktu ia masih kanak-kanak.” (surah
Maryam: 12). Kecerdasannya sejak usia kanak-kanak lagi terpancar dengan fikirannya jauh lebih
matang dan cerdik berbanding kanak-kanak kebiasaannya.
Tiga
kali, janji Allah s.w.t. untuk melindungi Nabi Yahya alahi salam dalam
sepanjang hayatnya. Perlindungan ketika dilahirkan, perlindungan pada hari ia
meninggal dunia dan perlindungan ketika ia dibangkitkan kembali.
Pernah
suatu hari, Nabi Zakariya tidak menjumpai anaknya Yahya selama 3 hari. Jadi,
Baginda pergi ke padang pasir untuk mencarinya. Alangkah terkejutnya Baginda
kerana menjumpai Yahya di dalam kubur yang digalinya untuk diri sendiri, dan
sedang bersedih ketika duduk di dalamnya.
Kata Nabi Zakariya,”Wahai
anakku, aku telah mencari engkau selama 3 hari, rupa-rupanya di sini, di dalam
kubur yang kau galinya sendiri? Lalu Yahya menjawab, “Wahai bapaku, bukankah
engkau memberitahuku bahawa di antara Syurga dan Neraka ada satu titian yang
tidak dapat dilepasi kecuali bagi mereka yang mengalirkan air mata keinsafan.”
Nabi Zakariya pun berkata, “Nangislah anakku.” Kemudian mereka berdua pun
menangis bersama, mendambarkan ampunan daripada Tuhannya. Allah s.w.t
berfirman;
“Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami
anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung.
Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan
perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan
cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.”
Mereka
selalu bersegera melakukan perbuatan baik, bersegera dalam melakukan dakwah,
berdoa dengan penuh pengharapan dan menyeru manusia menuju Allah ta’ala. Itulah
anak-anak yang kita impikan. Itulah dia keluarga yang kita idamkan. Itulah dia
para pejuang yang kita harapkan untuk menyambung mata rantai perjuangan supaya
Islam tetap menjadi landasan rujukan masyarakat hari ini.
0 comments:
Post a Comment