Saya Juga Salafi Seperti Anda

Oleh: Ust Fauzi Asmuni
Naib Presiden II, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Isu salafi sekali lagi menjadi buah mulut sebahagian dari pendakwah sejak kebelakangan ini. Ini mungkin disebabkan perbincangan semula terhadap kesahihan beberapa amalan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang berlaku pada peringkat nasional pada tahun lepas. Mungkin juga disebabkan beberapa pertikaian yang ditimbulkan oleh sebahagian pihak terhadap kaedah, pendekatan dan uslub dakwah Ikhwan yang mula mendapat tempat di dalam hati sebahagian aktivis dakwah dan beberapa gerakan Islam di tanahair. Perbincangan tentang isu salafi ini banyak berkisar di sekitar dua isu ini; amalan masyarakat Melayu Islam yang merupakan khilaf fiqhi dan manhaj dakwah.

Persoalan akidah yang sebenarnya salah satu dari asas isu salafi ini kita dapati tidak begitu ketara dibincangkan di Malaysia. Sebaliknya isu yang ditimbulkan adalah isu tahlil, talqin, bacaan Yasin di malam Jumaat, bacaan Qunut di dalam solat Subuh, penyelewengan Sayyid Qutb, bid’ah usrah, kesalahan-kesalahan di dalam tafsir fi Zilal al-Quran, bid’ah ta’wil nas dan lain-lain isu seumpamanya.

Takrif Salafi Yang Kurang Tepat

Banyak pihak mendakwa mereka adalah salafi. Sebahagian kecil sahaja dari kalangan mereka yang memahami apakah yang dimaksudkan dari kalimah salafi tersebut. Manakala bakinya melakukan dakwaan tanpa sandaran ilmu. Dengan berpandukan ilmu yang sedikit itu mereka mula menuduh pihak lain ‘tidak salafi’ atau ‘kurang salafi’ berbanding mereka.

Sebahagian dari mereka mengatakan salafi adalah pengikut ‘madrasah an-nas’, iaitu satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum secara langsung dari zahir nas tanpa banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas). Dengan itu mereka berpegang kepada zahir nas dari al-Quran atau hadis dan menolak methodologi yang digunakan oleh ulama’ yang lain. Mereka mengambil jalan mudah dengan mempraktikkan Islam terus dari al-Quran dan Sunnah tanpa merujuk kepada tafsiran dan pendapat ulama’-ulama’ berkenaan tafsiran nas tersebut, satu amalan yang sebenarnya bertentangan dengan praktik pelopor madrasah an-nas itu sendiri.

Sebahagian yang lain mengatakan salafi adalah sesiapa yang mempraktikkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan itu mereka memaksakan beberapa pendapat mazhab Hanbali kepada umat Islam di Malaysia yang majoritinya adalah bermazhab Syafie. Hujah mereka kerana fiqh mazhab Hanbali ‘lebih salafi’ dari mazhab-mazhab yang lain.

Sebahagian yang lain pula mengatakan salafi adalah pendekatan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab, pelopor gerakan Wahabi di Arab Saudi. Malangnya apa yang mereka fahami dari gerakan Wahabi ini hanyalah sebahagian dari perjuangannya sahaja. Mereka tidak mengkaji keseluruhan gerakan tersebut. Dengan itu mereka menyimpulkan bahawa gerakan Wahabi adalah gerakan membenteras bid’ah yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab satu kurun yang lepas. Itulah yang cuba mereka lakukan di Malaysia. Alangkah baiknya jika mereka mengkaji jihad Muhammad bin Abdul Wahab dan usaha-usaha pembaikan sistem khilafah yang dilakukan oleh beliau ketika itu. Moga-moga kajian itu dapat menyingkap hakikat salafi yang sebenarnya kepada mereka dan menjelaskan perbezaan di antara gerakan Muhammad bin Abdul Wahab dengan apa yang disebut sebagai Wahabi pada hari ini.

Takrif Salafi Mengikut Manhaj Salafi Kami

Kami meminta maaf kerana menggunakan istilah ‘salafi kami’. Ini bukan dengan tujuan untuk memperkecilkan sebahagian yang mendakwa mereka salafi atau untuk menidakkan ‘salafi’ mereka. Kami juga berusaha seperti mereka untuk menjadi salafi. Jadi penggunaan istilah ini lebih bertujuan untuk menjelaskan beberapa perbezaan di antara kami dan mereka di dalam beberapa isu berkaitan salafi. Istilah ini sudah tentulah lebih baik dan lebih lembut dari istilah sebahagian penulis di dalam blog-blog yang menggunakan istilah ‘salafi lapok’ dan sebagainya.

Mereka yang mengaku salafi sering mengajak kita semua untuk kembali kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan merujuk segala masalah kepada nasnya. Ini adalah pendekatan yang kami persetujui dan kami juga mengajak semua orang Islam ke arah yang sama; kembali kepada nas.

Dengan itu di dalam mentakrifkan ‘salafi’ kami ingin mengajak mereka dan semua pembaca untuk mengembalikan istilah ini kepada nasnya. Dari manakah datangnya istilah ‘salafi’ ini?

Ia adalah hasil kefahaman yang digabungkan dari beberapa buah hadis. Di antaranya sabda Rasulullah s.a.w.:

“Telah terpecah orang-orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasrani menjadi tujuh puluh dua golongan. Akan terpecah umatku menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam neraka, kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang yang berdiri di atas apa yang aku dan para sahabatku berdiri di atasnya.” (Riwayat Abu Daud)

Satu lagi hadis mutawatir menyempurnakan makna ini: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian generasi sesudahnya dan kemudian generasi sesudahnya.”

Daripada hadis-hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan salafi adalah satu kelompok yang dikenali di dalam sejarah perundangan Islam sebagai salafussoleh. Mereka adalah kelompok terbaik di dalam sepanjang sejarah Islam. Mereka adalah tiga generasi Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. dan berakhir di pemerintahan al-Makmun di zaman Abbasiah. Itu adalah pendapat sebahagian ulama’ hari ini termasuklah seorang ulama’ Mesir, Dr. Jum’ah Amin Abdul Aziz.

Apa yang ada pada mereka sehingga mereka digelar golongan salafussoleh?

Mereka adalah generasi manusia yang hidup di tiga generasi pertama Islam. Mereka mempunyai manhaj tertentu di dalam akidah. Dengan manhaj itu mereka menafsirkan alam, kehidupan dan manusia berpandukan sumber Islam yang asli iaitu al-Quran dan Sunnah, jauh dari pengaruh falsafah Yunan dan falsafah-falsafah tamadun lain. Mereka membangunkan sistem ibadah di atas manhaj yang syumul dan umum hasil dari aqidah yang sejahtera dan praktik sunnah yang tepat. Mereka hanya memberikan wala’ kepada Allah dan Rasul serta berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi dengan manhaj dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mempunyai manhaj haraki berpandukan manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. yang mampu mengumpulkan seluruh umat di dalam satu kesatuan.

Adakah istilah salafi merujuk kepada zaman atau manhaj?

Jika istilah salafi merujuk kepada zaman, maka ianya sudah berlalu. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka adalah salafi. Bahkan dakwaan bahawa mazhab Hanbali lebih salafi dari yang lainnya juga adalah tidak tepat. Sumbangan setiap pengasas mazhab yang hidup di zaman itu kepada umat adalah sama. Mereka saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Bahkan jika Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup sekarang, kami yakin dia juga bersetuju dengan kesalafian imam-imam yang lain.

Jika istilah salafi merujuk kepada manhaj, maka sesiapa yang mengikuti manhaj tiga generasi tersebut di dalam praktik Islam maka merekalah salafi sebenar. Manhaj itu merangkumi tasawwur di dalam akidah, ibadah dan harakah dakwah.

Jadi persoalan seterusnya adalah apakah manhaj yang dipraktikkan oleh generasi itu?

Madrasah an-Nas dan Salafi

Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada manhaj madrasah an-nas sahaja atau kepada mazhab Ahmad bin Hanbal sahaja. Sesiapa yang mengikuti manhaj tersebut maka merekalah salafi. Itu yang menjadi punca sebahagian dari pendakwah Islam hari ini berusaha dengan usaha yang sungguh-sungguh untuk mengembalikan umat Islam kepada manhaj ini dan mengajak umat untuk menolak manhaj selainnya. Dengan erti kata lain mereka mula menolak ta’wil, menolak untuk menafsirkan nas berdasarkan ilal nas, menolak untuk membuat imbangan antara ruh nas dan lafaz, menolak untuk membuat imbangan antara zahir nas dan maqasid, menolak untuk membuat imbangan antara wasilah yang berubah dan hadaf yang thabit daripada nas, tidak meraikan perbezaan di antara lafaz majazi dan lafaz hakiki, tidak mengambil kita perubahan madlul lafaz dengan perubahan zaman dan lain-lain methodologi istinbat hukum dari nas yang digunapakai oleh aliran-aliran lain di dalam fiqh Islami.

Kami tidak bermaksud untuk merumitkan pembaca dengan istilah-istilah usul yang memeningkan. Apa yang ingin kami terangkan di sini adalah madrasah an-nas adalah satu aliran dari pelbagai aliran di dalam fiqh. Apa yang menjadi methodologi madrasah an-nas ini juga tidaklah tepat seperti mana yang mereka fahami. Kalau sekiranya mereka mengikuti aliran madrasah an-nas ini dengan betul, mereka tidak akan menolak aliran-aliran yang lain kerana pelopor madrasah an-nas ini juga tidak pernah menolak methodologi aliran lain.

Dengan itu kami tegaskan di sini bahawa manhaj tiga generasi awal Islam itu tidak hanya terbatas kepada madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya ia merangkumi kesemua aliran di dalam fiqh Islami.

Di sini mungkin membantu pembaca untuk memahami aliran-aliran fiqh pada tiga generasi itu dengan membentangkan sedikit ringkasan sejarah aliran-aliran fiqh sehingga membawa ke pembentukan mazhab-mazhab.

Sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w., para fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. bertebaran di negara-negara Islam. Ibnu Abbas r.a. menetap di Mekah dan mempunyai murid-muridnya yang tersendiri. Abdullah bin Omar r.a. menetap di Madinah dan membentuk madrasahnya dan anak-anak muridnya. Ibnu Mas’ud r.a. tinggal menetap di Kufah dan mempunyai murid-muridnya sendiri. Setiap mereka mempunyai pendekatan yang tersendiri di dalam ijtihad dan istinbat hukum.

Fuqaha’ dua tanah haram, Mekah dan Madinah lebih berpegang kepada nas dan jarang melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) berbeza dengan fuqaha’ Iraq yang lebih melihat kepada maqasid. Mungkin disebabkan tidak banyak masalah baru yang timbul di dua tanah haram berbanding Iraq, bumi baru yang dibuka oleh orang Islam dengan majoriti masyarakatnya adalah orang-orang yang baru memeluk Islam, menjadikan mereka mengambil pendekatan sedemikian.

Dari situ muncullah madrasah an-nas yang dipelopori oleh fuqaha’ dua tanah haram dan madrasah ar-ra’yu (satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum tidak secara langsung dari zahir nas tetapi banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) yang dipelopori oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. di Kufah.

Selepas itu di zaman tabi’ien, muncul beberapa orang fuqaha’. Di antara mereka adalah Said bin al-Musayyib di Madinah, Ato’ bin Rabah di Mekah, al-Nakhaie dan as-Sya’bi di Kufah, Hasan al-Basri di Basrah, Makhul di Syam dan Towus bin Kaisan di Yaman. Setiap mereka dipengaruhi pendekatan fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. di tempat masing-masing. Said bin al-Musayyib misalnya lebih cenderung kepada fuqaha’ dua tanah haram. Manakala al-Nakhaie lebih cenderung kepada aliran ijtihad dan istinbat Abdullah bin Mas’ud di Iraq.

Fuqaha’ di zaman tabi’ tabi’ien pula membentuk ranting-ranting aliran fiqh dan mengembangkannya dari keadaannya di zaman tabi’ien. Lahirlah fuqaha’ di negara-negara Islam dalam bentuk yang lebih luas seperti al-Laith bin Saad di Mesir, al-Auza’ie di Syam, Imam Malik dan Ibnu al-Majisyun di Madinah, Ibnu Juraih di Mekah, Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Ibnu Abi Laili di Kufah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Syafie.

Di atas perbezaan methodologi seorang imam dengan seorang yang lain, lahirlah mazhab-mazhab Islam di dalam Islam. Ulama’ Islam tidak pernah menghadkan istilah golongan salafussoleh itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal atau mana-mana fuqaha’ dari madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya semua mereka mengiktiraf kesemua aliran di dalam fiqh tersebut.

Dengan itu adalah amat tidak tepat apabila seseorang melabelkan dirinya salafi hanya kerana dia berpegang dengan madrasah an-nas dan melabelkan orang lain tidak salafi hanya kerana orang itu berpegang dengan madrasah ar-ra’yu. Kedua-dua aliran ini adalah aliran yang diiktiraf di dalam Islam.

Pengikut Aliran Madrasah ar-Ra’yu Tidak Salafi?

Sememangnya terdapat satu syubhat yang ditimbulkan kepada aliran madrasah ar-ra’yu ini. Di antaranya adalah syubhat yang dilemparkan kepada Imam Abu Hanifah yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak 17 hadis sahaja dan Imam Malik yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak lebih kurang 300 hadis sahaja di dalam Muwatto’. Mereka membandingkannya dengan Imam Ahmad bin Hanbal yang meriwayatkan di dalam Musnad sebanyak 30,000 hadis. Dengan itu mereka mengatakan bahawa aliran madrasah ar-ra’yu tidak salafi kerana terlalu banyak bergantung kepada kajian maqasid dengan menggunakan akal dan tidak bersandar kepada hadis.

Dakwaan kelemahan Imam Abu Hanifah dan imam-imam lain di dalam ilmu hadis bukanlah dakwaan yang tepat. Apa yang mereka katakan adalah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukadimahnya. Riwayat itu kemudian disangkal sendiri oleh Ibnu Khaldun. Beliau mengatakan: “Imam Abu Hanifah tidak banyak meriwayatkan hadis kerana beliau ketat di dalam syarat riwayat dan tahammul. Beliau juga akan mentadhiefkan hadis apabila ianya bertentangan dengan akal secara qat’ie. Dengan itu beliau tidak banyak meriwayatkan hadis. Bukan kerana beliau sengaja tidak meriwayatkan hadis. Jauh sekali dari beliau melakukan demikian. Di antara bukti bahawa beliau adalah di antara mujtahid agung di dalam ilmu hadis adalah ulama’-ulama’ hadis bersandar kepada mazhabnya.”

Begitu juga jika sekiranya kita menyelusuri susur galur madrasah ar-ra’yu ini kita akan mendapati bahawa ianya lahir dari ulama’-ulama’ hadis juga.

Ketika Abdullah bin Mas’ud r.a. mengasaskan aliran ini di Kufah, menetap di Kufah bersama-sama dengan beliau beberapa orang sahabat r.a. yang lain seperti Saad bin Abi Waqqas r.a., Huzaifah r.a., Ammar r.a., Salman r.a. dan Abu Musa al-Asyari r.a. Bahkan ketika Saidina Ali r.a. berpindah ke Kufah, beliau gembira melihat keadaan Kufah yang dipenuhi oleh fuqaha’. Generasi sahabat seperti mana yang kita ketahui adalah generasi yang menerima hadis secara langsung dari Rasulullah s.a.w.

Generasi selepas itu adalah generasi yang menghimpunkan di antara aliran fuqaha’ Kufah dan aliran madrasah an-nas dari Abdullah bin Abbas r.a. di Mekah. Di antaranya adalah Said bin Jubair.

Daripada generasi inilah Ibrahim bin Yazid al-Nakhie, seorang tabi’ien menuntut ilmu. Beliau adalah seorang ulama’ hadis yang dikatakan oleh al-A’masy, seorang ulama’ hadis: “Setiap hadis yang aku bentangkan kepada Ibrahim aku akan dapati pada beliau sesuatu ilmu.” Al-Nakhie juga pernah berkata: “Tidak akan betul pendapat tanpa hadis dan tidak akan betul hadis tanpa pendapat.”

Anak murid al-Nakhie adalah Hammad. Beliau adalah anak murid yang diiktiraf oleh al-Nakhie sebagai pewaris ilmunya. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai: “Kepada siapakah kami akan bertanya selepas Tuan.” Beliau menjawab: “Tanyalah Hammad.”

Imam Abu Hanifah adalah anak murid Hammad. Dengan itu kita simpulkan bahawa ilmu Abu Hanifah adalah ilmu yang diwarisi dari Hammad, dari al-Nakhie dan dari fuqaha’ Kufah dari kalangan sahabat r.a.

Lalu dari manakah terletaknya kekuatan hujah mereka ketika mereka mendakwa bahawa pengikut aliran madrasah ar-ra’yu sebagai tidak salafi?

Memerangi Bid’ah dan Salafi

Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada praktik Islam dalam bentuknya yang asli tanpa sebarang campur aduk. Keaslian tersebut ditafsirkan sebagai praktik Islam sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa ada sebarang tambahan. Jadi mereka berusaha untuk mematikan sebarang amalan dan praktik umat Islam yang tidak pernah ada pada pandangan mereka di zaman Rasulullah s.a.w.

Kemungkinan ini mempunyai kaitan dengan sejarah hidup Imam Ahmad bin Hanbal yang terpaksa berhadapan dengan bid’ah golongan Muktazilah di zaman Khalifah al-Ma’mun. Golongan Muktazilah mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk dan Imam Ahmad bin Hanbal bermati-matian berusaha melawan bid’ah tersebut sehingga beliau dipenjarakan. Ia juga kemungkinan mempunyai kaitan dengan usaha mematikan bid’ah yang dilancarkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab di Semenanjung Tanah Arab.

Daripada kedua-dua mereka, difahami bahawa memerangi bid’ah dan menyucikan Islam dari sebarang campuran adalah salah satu unsur yang penting di dalam manhaj salafi.

Terdapat nas yang jelas di dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan kita menjauhkan diri dari bid’ah dan mempraktikkan Islam dalam bentuknya yang bersih dan tidak bercampur baur. Di antaranya adalah firman Allah: “…oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur: 63). Di antaranya lagi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: “Sesiapa yang melakukan amalan baru yang tidak ada dalam agama ini maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)

Bid’ah mula timbul di zaman Saidina Ali r.a. Dengan masalah yang menimpa umat Islam sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Osman r.a., berlakunya peristiwa Unta dan peristiwa Siffin lahirlah golongan Khawarij, Syiah dan Murjiah. Setiap golongan ini membawa bid’ah yang mewakili kumpulan masing-masing. Di akhir zaman Bani Umayyah, muncul Ma’bad al-Jahni dengan fahaman qadariah (segala yang berlaku dengan ketentuan manusia). Ini disambung pula oleh anak murinya, Jahm bin Sofwan yang mencipta bid’ah ta’til (menafikan nama dan sifat bagi Allah). Kemudian datang pula giliran Muktazilah yang membawa lebih banyak bid’ah kepada umat setelah mereka terkesan banyak dengan falsafah Yunan.

Selepas dari itu satu demi satu bid’ah muncul dengan bentuknya yang pelbagai. Sehinggalah pada hari ini, umat Islam mempraktikkan Islam yang sudah bercampur dengan pelbagai bid’ah. Di antaranya percampuran lelaki perempuan dengan batasan yang terlalu longgar, fesyen-fesyen yang mendedahkan aurat, berhukum dengan hukum lain dari syariat Islam dan takrifan semula terhadap jihad dengan satu takrifan yang mengelirukan. Semuanya sudah diterima sebagai budaya dan cara fikir. Ini semua adalah bid’ah.

Kami amat-amat bersetuju jika golongan yang mendakwa mereka salafi ini memerangi bid’ah-bid’ah di atas. Kami menyokong sepenuhnya usaha mereka. Bahkan kami juga sedang berusaha ke arah yang sama seperti mereka.

Apa yang mendukacitakan adalah apabila takrif bid’ah itu diluaskan sehingga dimasukkan sekali di dalam takrif tersebut beberapa amalan seperti sambutan maulid Nabi, bacaan Yasin di malam Jumaat dan lain-lain. Amalan-amalan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam kategori bid’ah yang sepatutnya diperangi. Ia mungkin bukan amalan yang afdhal, tetapi khilaf ulama’ di dalam membincangkan amalan-amalan ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Lahirnya pandangan yang mengatakan harus dan sebagainya mengajak kita untuk bersikap berlapang dada dan menghimpunkan umat Islam di dalam satu kesatuan bukannya melahirkan pemisahan di antara pengikut pandangan yang pelbagai.

Itu yang kita dapati berlaku di sepanjang sejarah Islam dalam usaha ulama’-ulama’ Islam memerangi bid’ah. Apa yang mereka perangi adalah bid’ah yang sudah disepakati hukum haramnya. Manakala mana-mana amalan yang masih khilaf mereka tidak memeranginya sebaliknya mereka mengambil sikap berlapang dada di dalam masalah itu.

Bid’ah di dalam Islam tidak dikategorikan kepada satu kategori sahaja. Ini adalah pendapat ulama’ salaf sendiri. Di antara mereka adalah Imam Syafie yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah saiyi’ah (buruk). Itu juga adalah pendapat Abdullah bin Omar r.a., di antara pelopor madrasah an-nas sebagaimana yang kami ceritakan sebelum ini. Di dalam satu athar yang diriwayatkan oleh Mujahid katanya: “Aku, Zubair dan Urwah memasuki masjid. Abdullah bin Omar r.a. ketika itu berada di tepi bilik Aisyah r.a. dan orang ramai sedang mengerjakan solat Dhuha secara berjemaah. Kami bertanya kepadanya tentang solat mereka lalu beliau r.a. menjawab: “Itu adalah bid’ah yang baik.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)(rujuk nota kaki)

Dengan tasawwur inilah kami melihat pemikiran salafi yang sebenarnya. Ramai lagi ulama’ lain yang mengambil pendekatan yang sama di dalam mengkategorkan bid’ah tetapi kami tidak kemukakan pandangan mereka di sini kerana mereka adalah ulama’-ulama’ yang kemungkinan tidak diterima oleh golongan yang mendakwa mereka salafi.

Tiada Taqlid: Praktik Islam Secara Langsung Dari Nas Tanpa Rujuk Kepada Fuqaha’

Ini juga kemungkinan adalah salah satu pendekatan yang difahami oleh golongan ini sebagai manhaj salafi yang sebenarnya. Sesiapa yang tidak mengambil pendekatan ini, mereka bukan salafi. Dengan itu mereka berusaha untuk menghapuskan budaya taqlid kepada mazhab tertentu yang menjadi amalan majoriti umat Islam pada hari ini. Mereka melaung-laungkan slogan tidak bermazhab dan mendesak umat untuk mengkaji al-Quran dan hadis secara langsung.

Kami menyetujui usaha mereka untuk meningkatkan kemampuan seseorang sehingga sampai ke peringkat ijtihad dan mampu mengeluarkan fatwa. Tetapi di masa yang sama kami tidak menolak keperluan taqlid kepada majoriti umat Islam pada hari ini.

Ingin kami kongsikan di sini, ijtihad dan fatwa bukanlah kemahiran yang boleh dicapai dalam sehari dua. Ia adalah proses yang panjang dan tidak mudah. Ibnu Solah, seorang ulama’ hadis yang terkenal pernah ditanya adakah Imam al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Imam Abu Ishak sampai ke peringkat ijtihad mutlak atau pun tidak? Beliau menjawab: “Mereka tidak sampai ke peringkat ijtihad mutlak. Sebaliknya mereka hanya sampai ke peringkat ijtihad muqayyad di dalam mazhab Syafie. Ijtihad mutlak adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mampu mengeluarkan hukum syarak dari dalilnya tanpa taqlid. Ijtihad muqayyad adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mahir di dalam mazhab mana-mana imam sehingga dia mampu untuk mengeluarkan hukum terhadap sesuatu yang tidak disebut oleh imam itu setelah dikiaskan dengan hukum yang disebut oleh imam itu berdasarkan kaedah dan usul mazhab imam tersebut.”

Dari kata-kata beliau kita dapat fahami kesukaran untuk menjadi seorang mujtahid. Itu juga adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal ketika beliau berkata: “Tidak seharusnya seseorang itu mengeluarkan fatwa sehinggalah dia memiliki lima perkara: Hendaklah dia mempunyai niat (ikhlas) kerana jika dia tidak berniat, dia tidak akan mendapat petunjuk dan kata-katanya juga tidak akan mendapat petunjuk. Dia hendaklah berilmu, lembut dan tenang. Dia hendaklah mempunyai kekuatan terhadap masalah fatwanya dan mempunyai ilmu terhadap masalah tersebut. Dia hendaklah mempunyai kemampuan jika tidak dia akan diperdaya oleh manusia. Dia hendaklah mengenali manusia.”

Kesukaran berfatwa dan ijtihad inilah sebenarnya yang membenarkan taqlid kepada mana-mana mazhab dipraktikkan di dalam umat hari ini. Bahkan amalan taqlid itu juga sebenarnya dipraktikkan oleh generasi umat sebelum ini.

Al-Amidi di dalam kitab al-Ihkam berkata: “Ada pun ijma’ terhadap masalah ini adalah kerana orang awam di zaman sahabat r.a. dan tabi’ien terus menerus bertanyakan fatwa dari kalangan mujtahid dan mengikut pendapat mereka di dalam permasalahan hukum syara’. Ulama’ di kalangan mereka bersegera menjawab segala pertanyaan tanpa mendatangkan dalil. Ini adalah ijma’ bahawa seorang awam harus bertaqlid kepada seorang mujtahid mutlak.”

Penduduk dua tanah haram mempraktikkan mazhab Abdullah bin Omar r.a. dan anak muridnya untuk satu tempoh yang panjang tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu. Seterusnya Ato’ bin Robah dan Mujahid memberi fatwa kepada penduduk Mekah untuk satu tempoh yang panjang. Wakil khalifah pada masa itu melaungkan: “Tidak ada seorang pun yang akan berfatwa kepada orang ramai selain dari dua orang imam ini.” Keadaan tersebut berjalan tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu.

Imam Ibnu al-Qayyim, anak murid Ibnu Taimiyah, seorang ulama’ yang menjadi rujukan golongan ini berkata: “Harus bertaqlid bagi seseorang yang belum sampai ke peringkat ijtihad. Dia hendaklah mengikuti seorang imam, meminta petunjuk darinya dan bertaqlid kepadanya di dalam masalah halal dan haram. Orang seperti ini tidak boleh mengeluarkan fatwa kepada manusia walau pun dia mempunyai banyak kitab hadis.”

Ini adalah pendapat yang tepat. Pendekatan memaksa umat Islam; yang cerdik dan tidak cerdik untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis adalah satu bebanan yang tidak perlu ditanggung oleh umat. Bagaimana mampu rakyat Malaysia mengeluarkan hukum untuk amalan dirinya sendiri secara langsung dari al-Quran dan hadis sedangkan dia masih lagi tidak mampu untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan membaca hadis dengan baris yang betul?

Kesimpulan

Banyak lagi isu berkaitan salafi ini yang boleh dibincangkan. Kami belum lagi menyentuh tentang salafi dan Ikhwan Muslimin. Ia juga merupakan satu topik yang panjang diperdebatkan di Saudi satu ketika dahulu dan baru-baru ini bahangnya sampai ke tanah air kita ini. Ia berkait dengan isu bai’ah, konsep amal jama’ie, fikrah haraki dan isu-isu lain yang terlalu banyak untuk ditulis di sini.

Apa yang dapat kami simpulkan di sini adalah istilah salafi sebenarnya telah disalah gunakan oleh sebahagian pihak. Penyalahgunaan istilah tersebut telah membawa kepada munculnya khilaf fiqhi yang panjang dan budaya salah menyalah di antara satu sama lain. Masing-masing akan mempertahankan kebenaran yang dilihatnya ada pada pihaknya dan tidak ada pada pihak lain.

Alangkah baiknya jika sekiranya kita semua mampu untuk berlapang dada di dalam masalah-masalah furu’ dan melakukan perbincangan ilmiah yang bersih dari sebarang sentimen dan emosi. Penyatuan dan penerimaan methodologi berfikir juga adalah jalan yang perlu kita rentasi bersama untuk mencapai kesatuan pemikiran dan umat. Berikanlah hak kepada semua pihak untuk mempraktikkan apa yang dilihatnya sebagai Islam selagi mana ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Amalkanlah Islam yang syumul dan umum yang mampu menyatukan bukannya Islam yang sempit yang hanya melahirkan kumpulan-kumpulan.

Wallahu al-Musta’an

Beit Muslim Qudwah

marilah membina sebuah masjid kehidupan..



Kadang-kadang dalam benak fikiran terbayangkan betapa ramai orang di dunia ini yang sudahpun berkahwin dan berjaya sahaja menikmati hidup yang tenang dan bahagia bersama-sama anak-anak dan saudara mara. Jadi, kekusutan dan resah gelisah sesetengah orang yang di ambang gerbang perkahwinan kelihatan amat tak relevan sekali. Semua manusia pun berjaya berkahwin, semua manusia pun berjaya menimang cahaya mata dan bahagia dalam kehidupan tak kira dia tu bergaji besar atau miskin, umur muda atau sudahpun lanjut usia…

Tapi, dari sudut yang satu lagi pula, kita bayangkan pula, di samping tingginya bilangan orang-orang yang berkahwin, tak kurang juga statistic menunjukkan sejumlah besar mereka yang bercerai berai, suami pukul isteri dan anak-anak, sumbang mahram, rumahtangga yang pecah -harmoninya, anak-anak tidak menjadi, ibu bapa sibuk dan tak sempat mendidik anak, dan banyak lagi..

Jadi, di situ pentingnya, INTILAQ atau permulaan yang baik bagi membina sebuah rumahtangga, lagi-lagi rumahtangga yang kita impikan bukanlah sekadar rumahtangga biasa-biasa sahaja tapi yang kita impikan ialah Rumahtangga Contoh atau Beit Muslim Qudwah sepertimana yang disebutkan oleh Hasan al Banna. Bergunung lagilah persediaan yang kita perlu genggam padat dan sematkan dalam jiwa sebagai bekalan menempuh perjalanan jauh dalam Beit Muslim ini.

Ya, aku janji perkahwinan kita bukanlah sekadar berseronok-seronok, melompat kegembiraan, dan berkumpul-kumpul di hujung minggu, tapi hadaf kita besar, misi kita jelas, kita perlu membina Ummah ini. Kita perlu mendidik dan melahirkan para pejuang dan duat illah ta’ala.


"Tanggungjawab suami memimpin ahli rumahnya,ia memikul tanggungjawab kebendaan dan pendidikan di dalam serta di luar rumah. Di luar rumah, ia berusaha mencari keperluan-keperluan rumahtangga di atas jalan yang mulia lagi halal bagi menjamin kehidupan yang baik bagi mereka yang berada di rumah.." (Islam dan Rumahtangga)

Di sini, pemilihan bakal isteri dan suami adalah yang terpenting sekali. Pemilihan yang dibuat bukan sekadar dari segi dzohiri/luaran tapi pilihlah isteri yang akhirnya menghormati fikrah Islam yang kita bawa, menjaga setiap adat-adat Islam dalam segenap sudut kehidupannya, serta melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab dalam berumahtangga.

"Isteri yang solehah itu adalah 'ruh' kepada rumahtangga, dengannyalah tenangnya jiwa, dengannyalah teraturnya kehidupan. Wanita solehahlah yang bangun mengatur rumah, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka di atas kemuliaan.." (Islam dan Rumahtangga)



Tidak berhenti di situ, tarbiah anak-anak amatlah penting dan melengkapkan mereka dengan segala prinsip dan asas-asas Islam.." Stamina mendidik anak perlulah tinggi", tak terhenti meskipun hayat sudah memakan usia. Tidak menyerahkan tugas memimpin dan mendidik anak-anak kepada sesiapa pun, secara bulat-bulat tapi mengambil peranan utama mengasuh mereka dalam celupan Islam. Ibu bapa perlu menyediakan medium untuk anak-anak membesar. Mengajar kisah-kisah para anbiyak, sahabat dan sahabiat dan para pejuang Islam seluruh dunia serta menunjukkan contoh yang terbaik kepadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

Di sini pula sedikit bingkisan, coretan kecil buat mereka yang bakal memasuki gerbang perkahwinan, moga-moga kita diberikan oleh Allah swt hidayah dan kekuatan istiqamah dalam melengkapkannya.

Pertama, penuhi diri dengan ilmu-ilmu dan bacaan yang berkaitan dengan Fiqh Rumahtangga. Hak-hak dan tangungjawab sesama suami Isteri, halal dan haram dlm urusan rumahtangga, dan perkara-perkara yang berkaitan ilmu kekeluargaan.

Kedua, meneliti intilaq dan mentajdid semula niat kita khusus dalam pembinaan Beit Muslim. Bahan-bahan fikrah dan taujihat rabbani sesama akh al daie penting, supaya pembinaan rumahtangga kita bukan terputus sekadar keseronokan semata-mata tapi misi kita jelas, dakwah memerlukan kita bergerak secara teamwork: Suami sebagai Pemimpin, Isteri sebagai Pengurus dan pembantu, anak-anak sebagai capaian, kaki dan tangan kita dalam mendekati masyarakat.

Ketiga, ilmu-ilmu tentang psychology antara lelaki dan perempuan. Memahami corak pemikiran dan tabiat serta symbol-simbol kedua-dua gender ini penting untuk mematangkan kita, memudahkan keselarasan maklumat dan dapat sinergi kekuatan rumahtangga kita dalam mengesani masyarakat. Rata-rata anak-anak muda kehadapan dalam meningkatkan persediaan dari sudut ini. Tak hairan di rak-rak buku bagaikan tidak lengkap tanpa buku-buku mengenal tabiat lawan jantina mereka.

Keempat, persediaan untuk menguruskan kewangan. Rancangan financial bukan sekadar untuk 2-3 tahun tapi lebih jauh daripada itu. Apakah masa depan kita dan apakah perancangan dan langkah-langkah yang patut ambil? Kedudukan kewangan yang stabil serta keimanan yang teguh dengan fikrah mampu melonjakkan sesebuah rumahtangga muslim ke persada dakwah yang sangat hebat.




Kelima, pentingnya tawasi dan saling menasihati di ambang perkahwinan. Di sini pentingnya, sistem sokongan dan galakan untuk melalui transisi penting dalam perjalanan kehidupan. Dari persendirian kepada berkeluarga, dari pemikiran individu kepada pemikiran yang lebih luas, dari permasalahan yang berada di tangan kepada permasalahan boleh kawal dan tak terkawal. Al aslu, paling penting adalah perhubungan dengan Allah ta’ala.. moga Allah menthabatkan kita atas jalan dakwah ini.

Apapun, semua ini tak mungkin sama dengan pengalaman yang dirasai ketika permulaan perkahwinan. Mungkin-mungkin debaran itu juga tak dirasai lagi oleh mereka yang sudahpun jauh dalam alam perkahwinan, apatahlagi mereka yang belum berkeinganan untuk berumahtangga..

Fi kulli yaumin fihi sya’ (pada setiap hari itu, ada urusannya tersendiri)
Sepertimana, menanyakan kepada kita susahkah peperiksaan SPM? Atau susahkah menjawab soalan 1 + 1 = 2? Urusan itu hanyalah ditujukan semasa umur kita 6 tahun atau ketika berumur 17 tahun kita mengambil SPM itu, bukan sewaktu kita sudahpun bergelar mahasiswa atau sudah berkerjaya. Perasaan itu adalah ketika itu, dan sesiapa yang mampu mengambarkan seolah-olah berada pada garis umur yang sama, itulah sebaik-baik manusia yang menasihati.

Berdoa kepada Allah ta'ala moga Allah permudahkan segala urusan dan Allah berikan kepada kita taufiq dan hidyah serta istiqamah dalam perjalanan menuju redanya..

Jazakallah khairan kathira kerana sudi membaca..

Wallahua’lam..

Selembut Ibadat Ahli Sufi

"Rahib di waktu malam, Penunggang kuda saatnya siang.. "


Pernah tak tuan-tuan hadapi saatnya terasa amat susah hendak tunaikan Ibadah?

Pernah atau tidak kakak-kakak dan abang-abang berada dalam suatu fatrah terasa amat jauh sekali daripada Tuhan ?

Pernah tak saudara-saudara sekalian, yang celik mata hatinya, yang kuat ruh imannya, merasakan detik waktu begitu sukar khusyuk di dalam Solat?


Ya pasti sekali, kita sebagai manusia yang sangat lemah ini, lagi-lagi apabila tidak bersama sahabat-sahabat soleh yang saling mengingatkan, akan mudah terjerumus dalam fatrah lemah longlai futur serta lesu keletihan iman.

Dalam sebuah kata-kata masyhur menyebut;
“Al fatrah ba’dal mujahadah min fasadil ibtida’- Kelesuan sesudah bermujahadah timbul kerana kefasadan permulaan”

Dari situlah kita lihat kembali bagaimanakah detik bermulanya kita melakukan sesuatu ibadat. Kita renung dan fikirkan kembali apakah sebenarnya kita sudah bersedia sebenarnya untuk melaksanakannya.

Sebab itulah para ulama’ meletakkan kunci(miftah) kepada kekusyukan seseorang dalam solatnya adalah ketika saat khusyuknya dia di dalam berwuduk lagi. Ya, kemudiannya ketika saat kita mengangkat takbiratul ihram, melepaskan segala urusan dunia jauh-jauh sekali dari benak fikiran kita. Hanya menundukkan kekhusyukkan khas hanyasanya kepada Allah swt.

Perhatikan sahabat-sahabat sekalian, bagi kita yang merindui tangisan , linangan air mata tahajud di malam hari,




Bagaimanakah sebenarnya persediaan kita?
Adakah sekadar berazam dan menampal motto “saya mesti bangun qiamullail” sahaja?

Ataupun kita sudahpun memperSEDIAkan diri kita semenjak laungan azan Subuh lagi. Kemudiannya, memenuhkan ruang seharian kita dengan zikir-zikir yang membasahi lidah kita. Kemudiannya, menahan diri dan kekuatan syahwat daripada makan yang berlebihan dan senda gurau yang mengeringkan jiwa serta melupakan akhirat. Pada malamnya pula, seusai iftor, memperdengarkan kalam-kalam berharga mengingatkan diri tenang hakikat jiwa dan tujuan kewujudan kita. Pada akhirnya, sebelum tidur sekali lagi mengikhlas hati tulus niat untuk mencapai kelazatan qiamulail di malam nanti. Allah! manisnya hayat dalam lingkungan katibah imani membina kembali ruh dalam diri..

Firman Allah swt:
“Barangsiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati” (Surah al Hajj: 32)




Ustaz Sayyid Qutb mengatakan dalam tafsir surah Mujadilah: “sesungguhnya, sebuah pasukan tentera yang sudah mengetahui tabiat jiwanya, dan tabiat jiwa musuhnya, sebenarnya sudahpun memenangi separuh daripada peperangan itu…”

Ya, pastinya untuk mengetahui tabiat jiwa diri serta musuh memerlukan analisis menyeluruh yang sangat teliti. Inilah yang dikatakan PERSEDIAAN!

Kita duduk sejenak, hayati bagaimana Rasulullah saw menyambut ketibaan bulan Ramadan semenjak bulan-bulan sebelum itu lagi, dengan doa “… Allahumma baligna Ramadan ya Allah, Allahumma baligna, Allahumma baligna..”. Persediaan yang dibuat berbulan-bulan sebelum itu lagi supaya dapat rasai kemanisan suasana imani (jau imani)bulan Ramadan itu.

Umar al Khattab pula menyambut pengakhiran ramadan dengan tangisan air mata. Memikirkan berpisahnya beliau dengan bulan penuh kerahmatan, pelepasan Allah subhanahu wata’ala ke atas hambaNya daripada azab Neraka yang mengerikan. Harapan, moga-moga bertemu pada Ramadan yang berikutnya.

Begitulah diri kita yang mendambarkan khusyuk dalam sesebuah ibadat. Pastinya perlu meNYEDIAkan diri terlebih dahulu, supaya bekalan sentiasa mencukupi, stamina iman sentiasa berpanjangan dan istiqamah sentiasa dalam amalan.

Seperti membina sebuah bangunan mencakar langit yang tinggi, CERUCUK binaan juga, jika tak kurang sama tingginya, pasti lebih tinggi lagi seperti bangunan tersebut..

Dalam sebuah kata-kata:
“Al istiqamatu khairun min alfu karamah-Istiqamah itu lebih bagus daripada seribu Keramat”




Sesungguhnya, Allah mencintai seseorang itu, apabila melakukan sesuatu amalan, sedikit tetapi berterusan..

Wallahua'lam..

Indahnya Menahan Marah

oleh Sakinah Yaakob

Sunnatullah bagi seorang manusia untuk diuji dalam menjalani kehidupannya. Kadangkala dia diuji dengan ujian kesenangan dan kadangkala dia diuji dengan ujian kesulitan dan kesempitan hidup, sebagai pembuktian ‘ubudiyah’nya (kehambaan) kepada Allah dan sebagai menguji tingkat keimanan dalam dirinya.

Kadar seseorang manusia menghadapi kesulitan hidupnya adalah berbeza bergantung kepada kekuatan dirinya. Yang dimaksudkan disini bukanlah kekuatan tubuh badannya tetapi kekuatan jiwanya yang dipandu oleh akal yang sejahtera berlandaskan tingkatan iman dan aqidah dalam dirinya.

Justeru, reaksinya apabila berhadapan dengan kesulitan hidupnya mencerminkan kekuatan iman dan aqidah dalam dirinya. Adakah dia mampu bersabar dan bertahan dalam menempuhi ujian tersebut atau sebaliknya dia akan bertindak di luar batasan normal akal dan fikirannya ?

Bagi seorang daie yang mengajak manusia kepada Allah, sudah menjadi suatu ketetapan Allah bahawa dia akan menghadapi penolakan,tentangan,cacian,makian dan berbagai-bagai lagi ujian dalam merintangi jalan dakwah ini. Dia meyakini hakikat jalan dakwah ini adalah jalan yang sukar dan panjang, jalan yang ditaburi dengan duri-duri yang tajam,dan bukanlah ditaburi dengan bunga-bunga di sepanjangnya lalu bagaimana reaksinya sendiri apabila berdepan dengan ujian kehidupannya?

Saat dia ditinggalkan mad’unya…

Saat dia dipulaukan oleh rakan-rakannya…

Saat dia dihina dengan dengan kata-kata yang keji oleh manusia sekelilingnya…

Saat dia berselisih pendapat dengan akh/ukht seperjuangnnya…

Saat dia menghadapi masalah dengan keluarganya…

Saat dia menghadapi masalah kewangan, pelajaran dan lain-lain masalah yang besar dalam hidupnya..

Setiap saat dia merasa diuji dalam hidupnya…..

Bagaimana dia berdepan dengan ujian tersebut ? Adakah dia sabar atau marah ? Adakah dia tenang atau serabut ? Betapa hikmah dari sebuah ujian itu adalah untuk menyingkap kekuatan ma’nawiyah/ keimanan seorang daie. Jom bermuhasabah diri.

Sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut tentang sifat menahan amarah

(كظم الغيظ) :

من كتم غيظا وهو قادر على أن ينفذه ، دعاه الله على رءوس الخائق حتى يخيروه من الحور العين ، يزوجه منها ما شاء
Siapa yang menahan marah, padahal ia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk. Kemudian, disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (HR. Abu Dawud - At-Tirmidzi)

Yang dimaksudkan dengan menahan marah di sini adalah seseorang itu cuba menelan marahnya, menahannya daripada terzahir serta bersabar dengannya semata-mata kerana takutkan Allah dan mengharapkan keredhaanNya sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya !

Bukanlah dia menahan kemarahan itu kerana mencari redha manusia atau kerana dia tidak mampu melaksanakannya (lemah) tetapi dia meletakkan redha Allah dihadapannya,membatasi setiap tindakannya dalam berinteraksi dengan manusia dan ujian kehidupannya.


Lantas kelak Allah memanggilnya pada Hari Kiamat dihadapan seluruh makhluk, dan dia berhak untuk memilih mana-mana bidadari syurga yang dia ingini untuk dikahwininya dan menjadi isterinya di dalam syurga Allah yang kekal abadi..Subhanallah,betapa besar ganjaran yang Allah sediakan buat orang yang menahan marahnya hanya keranaNya..

Inilah penolak buat seorang daie untuk memelihara marahnya, kerana dia tahu betapa besar ganjaran yang Allah sediakan di Syurga kelak berbanding mujahadah dirinya untuk menahan marah pada saat dia ingin melepaskannya, lalu dia berusaha menahan dirinya, membatasi akal fikirannya dengan kekuatan iman,bertindak dengan rasional saat dia diuji dan akhirnya mengharapkan redha Allah dalam berhadapan dengan ujian kehidupannya.

Allah menggariskan sifat menahan marah ini sebagai sifat dan ciri-ciri orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 133-134:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنْ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Yaitu) orang-orang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Juga firman Allah Taa’la di dalam surah al-Furqan ayat 63 tentang ciri-ciri ‘ibadurrahman:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰ نِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُم ُ الْجَاهِلُ ونَ قَالُوا سَلَامًا

Dan hamba-hamba al-Rahman (Yang Maha Mengasihani) itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil menegur mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata “salam”.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis

ليس الشديد بالصُّرَعةِ ، إنما الشديد الذى يملك نفسه عند الغضب
Kekuatan itu bukanlah ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar apabila dapat menahan diri dari kemarahan.

Hakikat kekuatan sebenar itu adalah apabila kita berjaya menahan diri dari kemarahan. Justeru, secara amalinya bagaimana untuk seorang daie itu mentatbiqkan hakikat ini dalam dirinya?

Dengan memikirkan ganjaran dan pahala yang Allah sediakan buat dirinya di akhirat kelak hasil daripada menahan marahnya.

Memikirkan bagaimana dia akan berdiri di hadapan Allah kelak dengan digelar seorang yang pemarah?

Sebesar mana kemarahnnya kepada makhluk Allah di dunia ini, maka sebesar itu juga kemarahan Allah padanya di akhirat kelak. Dan disisi Allah azab yang sangat pedih..
Maka, dia akan bersegera memberi kemaafan untuk megharapkan kemaafan dan keredhaan Allah ke atas dirinya.

Juga memikirkan betapa sifat amarah inilah yang menjadi permulaan kepada permusuhan dan terputusnya silaturrahim dengan manusia lain di dunia ini.

Dan banyak lagi akibat-akibat buruk untuk difikirkan dan disenaraikan, akhirnya membawa seorang daie itu menjauhi sifat marah ini, senjatanya paling ampuh adalah beristi’azah (memohon perlindungan) dari Allah setiap saat, dan tatkala sifat marah mula menguasai dirinya, dia bertenang dan berfikir dengan rasional. Dia memenangkan imannya ke atas dirinya..


Semoga kita dapat mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam memaafkan manusia. Bagaimana dalam peristiwa Taif Rasulullah S.A.W dibaling dengan batu hingga baginda luka-luka dan cedera serta dimaki dengan kata-kata yang kesat, namun baginda bersabar dengan ujian tersebut malah mendoakan kaum Taif:
‘Ya Allah! Beri olehmu petunjuk pada kaumku ini sesungguhnya mereka tidak mengetahui’.

Inilah sebaik-baik akhlak yang ditunjukkan oleh sebaik-baik qudwah, maka ikutilah akhlak baginda kerana kitalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk beramal dengannya.

‘Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang dapat menahan kemarahan mereka, dan jadikanlah kami orang orang yang suka memberi kemaafan dan perdamaian. Kategorikanlah kami bersama orang-orang yang beramal dengan mengikut apa yang diperintah oleh Allah, mengikuti penghulu segala nabi-nabi dan rasul-rasul iaitulah penghulu kami Muhammad Salailah 'Alaihiwassalam. Ya Allah! terimakanlah doa kami.’

Ketegasan Abu Bakar Memerangi Murtad

Setelah kewafatan baginda SAW, Abu Bakar As-Siddiq dilantik memegang tampuk khalifah. Niat untuk murtad terjangkit ke beberapa kabilah yang goyah imannya, dan gerakan nabi palsu semakin menjadi-jadi. Namun begitu, Abu Bakar membuat keputusan untuk menumpukan bala tentera Muslim supaya berhadapan dengan Rom yang diketuai oleh Usamah bin Zaid kerana itulah peperangan terakhir yang diatur Rasulullah.

Ramai yang menyangka Abu Bakar tersilap perhitungan kerana Usamah bin Zaid terlalu muda untuk mengetuai peperangan menentang Rom. Tambahan pula, jika tentera Usamah bin Zaid tewas, tiada tentera yang dapat mempertahankan Madinah dari serangan luar. Ini menyebabkan orang ramai semakin meragui percaturan Abu Bakar.

Dengan ketiadaan bala tentera kedua yang dapat mempertahankan Madinah jika tentera Usamah bin Zaid kalah, dan Usamah sendiri yang terlalu muda untuk mengetuai peperangan menentang Rom, ramai menyangka Abu Bakar tersilap perhitungan.

Lalu Abu Hurairah bertanya: “Adakah kamu ingin menghantar semua bala tentera menghadapi Rom, sedang kaum Arab di sekeliling Madinah murtad?”

Tetapi selepas kemenangan tentera Usamah, ternyata kabilah yang ingin murtad, membatalkan niat mereka setelah mengetahui umat Islam masih kuat dan ternyata Abu Bakar mengetahui tiada ruang ijtihad dan syura ke atas perkara yang mempunyai nas yang jelas.

Merujuk kepada para muhaddithin (ahli hadith), golongan murtad di zaman Abu Bakar terbahagi dua:

1. Mereka yang murtad secara keseluruhan
2. Mereka yang enggan bayar zakat – golongan ini menyangka zakat hanya perlu dibayar pada Rasulullah sahaja berdasarkan surah At-Taubah ayat 103 dan menganggap kewajipan zakat gugur bersama kewafatan Rasulullah.

Tentang golongan kedua ini, Umar telah berdialog dengan Abu Bakar:

“Bukankah Rasulullah pernah bersabda – Aku menyeru untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap dua kalimah syahadah. Jika mereka telah menyebutnya, terlepaslah darah dan harta mereka kecuali hak-haknya.” tanya Umar.

Abu Bakar menjawab: “Sesungguhnya zakat itu hak bagi harta, dan aku akan memerangi mereka yang membezakan antara solat dan zakat.”

Umar membalas, “Dan aku tidak lihat kecuali Allah telah lapangkan dadanya untuk perang, dan aku ketahui bahawa ianya adalah benar.”

Abu Bakar telah mengutus sebelas pasukan ke seluruhSemenanjung Arab untuk memerangi kaum murtad.

1. Pasukan diketuai Khalid Al-Walid ke Bani Asad untuk berhadapan Tulaihah
2. Pasukan Ikrimah bin Abu Jahal ke Yamamah untuk menghadapi Musailamatul Kazzab
3. Pasukan diketuai Syurahbil juga ke Yamamah
4. Paasukan Turaifah bin Hajiz ke Bani Salim
5. Pasukan Amru bin Al-As ke utara Hijaz
6. Pasukan Khalid bin Said ke pinggir Syam
7. Pasukan Al-Alaa bin Hadrami ke Bahrain
8. Pasukan Huzaifah bin Muhsin ke Amman, Jordan
9. Pasukan Muhajir bin Umayyah ke San’a di Yaman
10. Pasukan Suwaid bin Muqrin ke Tihamah di Yaman
11. Pasukan Arfajah bin Hirthimah ke Perkampungan Mahrah

KETEGASAN ABU BAKAR DAN HIMPUN

Sesungguhnya isu murtad bukanlah isu yang boleh dipandang sebelah mata. Ia adalah isu yang membezakan iman atau kufur, ia adalah isu aqidah itu sendiri. Sesungguhnya Abu Bakar telah menunjukkan kepada kita sikap dan contoh dalam mendepani isu ini yakni bertegas kepada mereka yang cuba memurtadkan umat Islam.

Isu murtad di Malaysia amat membimbangkan apabila baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Jamil Khir memaklumkan bahawa Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan menukar status agama Islam dari tahun 2000 sehingga 2010.

Malah, berdasarkan kes Nor Aisyah Bukhari, Mohamad Syazani Yusof dan Fariz Ilham Mohd. Zulkifli boleh dijadikan indikator am menunjukkan betapa lemahnya aqidah umat Islam di Malaysia terutama golongan muda.

Peristiwa DUMC baru-baru ini telah membuktikan kewujudan gerakan terancang untuk mengkristiankan umat Islam dan perkara ini diakui sendiri oleh Exco negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Abu Bakar As-Siddiq telah mengucapkan kata-katanya yang terkenal tatkala terdengar khabar orang ingin murtad, padahal tanah kubur Rasulullah masih basah dengan berkata: “Adakah agama ini akan terus tempang, sedangkan aku masih hidup?”

Hadirkan diri anda ke HIMPUN, selamatkan aqidah ummat!

Oleh: Muhammad Assiddiq Fauzan, Tahun Dua, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah).

Merungkai Potensi Diri


Jika direnung kembali helaian sejarah silam, kita tak dapat menolak bahawa kekuatan sesuatu tamadun berpunca daripada padunya umatnya pada ketika itu. Umat atau Kaum yang hebat itu lahir drpd individu-individu kental dan punya nilai tersendiri yang mampu disumbang kepada umatnya.

Kita lihat saja pada individu-individu seperti Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya. Mereka semuanya ada kekuatan masing-masing yang mampu disumbangkan pada ketamadunan Islam. Malah, mereka berlumba-lumba untuk memberi sebelum dipinta.

Dikisahkan Abu Dzar al-Ghiffary adalah seorang sahabat yang memeluk Islam ketika Zaman Dakwah di Mekah lagi. Walaupun pada ketika itu, Rasul s.a.w. menggunakan pendekatan dakwah secara rahsia, Abu Dzar tetap berkeras ingin mengistiharkan Keislamannya. Baginya, kalau boleh, biar semua penduduk Quraisy tahu bahawa segala yang dibawa oleh Muhammad adalah benar-benar belaka. Namun, semangatnya ini ditegah oleh Rasul s.a.w. atas sebab-sebab keselamatan dan maslahah umat Islam ketika itu. Semangat Abu Dzar tidaklah terpadam begitu sahaja, malahan apabila diminta untuk pulang ke negeri Ghiffar (tempat asalnya), beliau berhasrat untuk mengislamkan seluruh penduduk Ghiffar.

Masa pun berlalu, dan Nabi Muhammad dan orang Islam sudahpun berhijrah ke Madinah. Pada suatu hari, datang barisan-barisan manusia memasuki Kota Madinah dan melaungkan “Allahu Akbar!” beramai-ramai. Maka, benarlah Abu Dzar al Ghifaary, beliau pantas berjaya membawa bukan hanya seluruh Bani Ghifaar,tetapi juga Bani Aslim ke Madinah sebagai Muslimin.


Begitulah hebatnya, individu yang dididik oleh Rasulullah saw. Malahan, bukan sahaja kekuatan mendidik yang biasa-biasa, tetapi Rasulullah berjaya merungkai kebolehan yang dimiliki oleh seseorang individu mengikut kekuatan tersembunyi yang ada dalam jiwanya. Kekuatan ini lahir daripada percikan Iman yang disentuh lembut oleh Nabi saw.

Nah, umat sekarang, siapakah kita? Pernah kita bermimpi untuk menyumbang untuk Islam? Bukankah mimpi sekarang merupakan reality pada masa akan datang?

Apa yang saya maksudkan, kita semua punya kekuatan untuk disumbang pada Islam. Kekuatan ini antara dua, bersifat tersembunyi ataupun terlampau berkobar-kobar mengatasi berisan saff yang lain. Oleh itu amatlah baik jika kekuatan yang hebat ini berjaya dikawal atau dirungkai oleh hasil didikkan sepertinya didikan Rasulullah saw.


Didikan yang mampu menghasilkan individu yang mampu menyebut dengan sepenuh hati;

Allah matlamat kami,

Rasulullah teladan kami,

Al Quran perlembagaan kami,

Jihad adalah jalan kami,

Dan Mati di jalan Allah adalah cita-cita Kami tertinggi!!

terima kasih daun keladi

Jazakumullah khairan kathira kpd semua yg mendoakan kebaikan dan perlindungan Allah atas perkahwinan ini. Ana mendoakan kalian beroleh pasangan yang saling memahami, berkasih, dan mencintai kerana Allah ta'ala.. krn hanyalah dengan intilaq rabbani yg bakal menjamin suatu itu kekal dalam redha Allah dan membawanya ke Syurga, insya allah.. amin ya rabb.






drpd Kami, Mukmin dan Sakinah.
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template