The Secret behind the Great Warrior

(gambar sekadar hiasan)

1400 tahun yang lalu, seorang satria agung dan terlampau hebat telah menemui rahsia kekuatan yang tiada tolok bandingnya. Rahsia ini belum berjaya dirungkai sepenuhnya oleh mana-mana pahlawan, pendekar, ninja, panglima, agent perisik, samurai atau sesiapa sahaja di atas muka bumi ini. Ada yang mengatakan resepi itu ini, kunci itu ini, dan rahsia itu ini, tetapi masih tidak berjaya mengumpulkan rahsia sebenar untuk memiliki kekuatan satria itu. Dan sebahagiannya telah hampir-hampir mahir ilmu disebalik kekuatan ini, tetapi masih lagi tidak menguasai sepenuhnya mana-mana kekuatan tersebut.

Dikatakan sesiapa sahaja yang beroleh rahsia yang hebat itu mampu menguasai dunia sepenuhnya. Mampu menguasai cakerawala, angkasa lepas dan seluruh kekuatan satria yang wujud di alam ini. Kekuatan yang mampu menempelak mana-mana penguasa jahat dan mengembalikan keadilan di dunia ini. Ya, penegak keadilan di bumi ni.

Pada hari ini, saya akan berkongsi mengenai kekuatan yang dimaksudkan. Kekuatan yang sebahagian orang memahami dalam konteks yang kurang jelas atau tidak sepenuhnya. Mungkin, keterlaluan melebihkan suatu elemen melebihi elemen-elemen yang lain. Elemen-elemen yang dimaksudkan bukanlah elemen api, tanah, daun, emas, pucuk paku dan sebagainya. Sebaliknya, elemen itu lebih dekat pada diri kita. Elemen yang sebahagian orang hanya memandang pada salah satu eleman dan menutup sebelah mata pada satu yang lain.






Elemen-elemen itu ialah Minda, Tubuh dan Nurani. Minda atau Akal perlu dipenuhkan dengan pengetahuan, maklumat, ilmu dan thaqafah dsb. Dengan bertambah ilmulah, sesuatu kelompok manusia beroleh kekuatan teknologi dan pemikiran. Dengan bertambah ilmulah, sesuatu kelompok manusia beroleh ketamadunan. Dengan kekuatan ilmulah, sesuatu kelompok manusia mampu melawan segala musuh alam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;
”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”(Riwayat al-Bazzar)


Manakala, sebahagian manusia melihat kekuatan Tubuh hanya pada mereka yang menceburi bidang tersebut. Askar, tentera, pemain bola, pelatih jungle trekking, pemain ping pong, bola jarring dll. Tetapi hakikatnya, semua orang yang ingin bangkit dengan kekuatan, perlu pada kesempurnaan fisikal. Bukanlah yang dimaksudkan terbatas pada lengkap anggota badan, sebaliknya, kesempurnaan itu merujuk pada stamina dan kekuatan jasad. Sihat tubuh badan untuk membantu beribadah, untuk mampu konsisten berdakwah tanpa semput atau mudah longlai dan futur. Tambah lagi, menuntut ilmu juga perlu pada badan yang segar bugar dan mampu untuk menerima ilmu dengan lebih optimum.

Sabda Rasulullah saw;
"..sesungguhnya tubuhmu ada haknya yang wajib engkau tunaikan,..."(Hadith Sahih,Riwayat Bukhari)






Dan terpenting sekali ialah untuk menghidup hati-hati kita. Hati kita ibarat stesen jana kuasa. Apabila berfungsi stesen itu, cerahlah seluruh Bandar itu, gembiralah penduduknya, bertebaran menjalankan aktiviti masing-masing di malam hari. Apabila hidup hati-hati kita, hiduplah seluruh masyarakat di sekeliling dalam sinar suasana iman. Terasa lazatnya beribadah kepada Allah. Bukan sekadar ibadah yang biasa difahami. Tetapi ibadah yang lebih luas pemahamannya. Yakni, seluruh kehidupan kita. Terasa suasana sepertinya suasana yang wujud ketika Dakwah Ar-Rasul bersama sahabat-sahabat ridwanullah anhu.

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya." (Surah al Fajr;28)

Jadi, pembongkaran rahsia ini bukanlah beerti terus lahirnya seorang satria unggul yang mampu berjuang habis-habisan merempuh si penjajah. Namun, yang lebih utama ialah untuk merancang dan melatih diri utk bersugguh-sungguh mengisi setiap elemen-elemen tadi dengan amal bukan sekadar bermadah bicara atau bermadah di atas papan kunci sahaja. Akhirnya, generasi harapan yang diimpikan berjaya terhasil dan kita bolehlah berbicara tentang langkah-langkah yang seterusnya.. insyaallah..

oh, lupa nak bagitahu.. nama satria tadi.. ialah..

Muhammad..~

1 comments:

pembaca said...

artikel yg menarik. semakin maju ye kamu

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template