Mengenal Tarbiyah

Realitinya, kehidupan kita ini dapat digambarkan seperti sebuah Garisan Kehidupan, ada permulaannya dan ada pengakhirannya. Ianya bermula daripada Alam Roh lagi, di mana kewujudan kita telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kemudian, kita masuk ke Alam Rahim selama sembilan bulan dikandung perut ibu.

           
           Setelah itu, kita dilahirkan memasuki Alam Dunia, meniarap, merangkak, seterusnya berjalan, berlari dan mula menerokai dunia ini. Di dunialah kita melakukan segala rutin harian, bekerja, bercucuk tanam, berniaga, bersenda gurau, berkeluarga, mengumpul harta dan sebagainya. Hinggalah tibanya saat tubuh mulai lemah longlai, kulit semakin kendur, nafas semakin lemah, dan uban kian menutupi kepala. Pada waktu ini, kita telah berada di penghujung kehidupan di dunia. Firman Allah ta’ala:

“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Ar Ruum: 54)

Muncul pula selepas itu, detik yang sangat mencemaskan, Malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Lalu, terpisahlah ruh daripada badan dan kita memasuki Alam Barzakh, suatu alam ghaib yang cukup mengerikan bagi mereka yang melakukan banyak dosa di dunia, juga alam yang sangat mengembirakan bagi mereka yang melakukan amal soleh.

Terakhirnya, semua manusia akan dibangkitkan kembali ke Alam Akhirat yang kekal abadi. Di sana, adanya Hari Pembalasan yang menentukan kesudahan kita, sama ada Syurga ataupun nauzubillah min zalik, Neraka yang sangat menakutkan. Adapun, bagi mereka yang soleh sangat merindui detik bertemu dengan Tuhannya yang selamanya ini diidam-idamkan. Dan tiadalah nikmat yang paling besar selain memalingkan wajah memandang tepat pada wajah Allah aza wajalla.


Hakikat Hidup Muslim

            Apabila diamati kembali Garisan Kehidupan tadi, sebenarnya, satu-satunya waktu untuk kita membuat kebaikan ialah ketika mana kita berada di Alam Dunia. Pada waktu yang sangat singkat inilah, manusia perlu berusaha meningkatkan amal yang akan menjadi penentu antara kesudahannya di Syurga mahupun di Neraka.

            Hakikatnya, di Alam Dunia ini, terdapat 2 persoalan utama yang berlegar-legar dalam kehidupan manusia. Persoalan pertama ialah berkaitan dengan Keperluan seorang Manusia untuk hidup. Inilah satu-satunya persoalan yang sering difikirkan oleh manusia secara keseluruhannya, tidak kiralah dalam bentuk perlukan kepada makanan, tempat tinggal, udara, pakaian, air dan sebagainya. Dan rata-rata kesemua keperluan ini berhajat kepada wang ringgit. Justeru, manusia berlumba-lumba untuk mencari pekerjaan yang terbaik, dan berusaha untuk mengumpul harta bagi memperoleh kesenangan hidup. Boleh jadi, kitar hidup seseorang manusia itu hanyalah untuk memenuhi persoalan ini sahaja sepanjang hayatnya.

            Adapun persoalan yang kedua adalah berkaitan dengan Bekalan seorang Muslim dalam kehidupan. Apabila mengetahui hakikat ini, barulah seorang Muslim itu akan mengenal matlamat dia dihidupkan di atas dunia ini iaitu untuk mencari Mardhatillah atau pun Redha Allah s.w.t. Dengan kesedaran terhadap hakikat inilah, seorang Muslim akan menjadikan dunianya ini sebagai tempat untuk membuat amal, dan bukan semata-mata untuk bersenang lenang. Hidup seorang Muslim tidak sepatutnya mengejar apa yang dikejar oleh seorang Kafir kerana dia jelas dengan tujuan disebalik penciptaannya.

Sabda Rasulullah s.a.w.; “ Dunia itu adalah penjara bagi orang Mukmin, dan syurga bagi orang Kafir… Dan Akhirat itu adalah syurga orang Mukmin, dan penjara bagi orang Kafir.”

Inilah yang membezakan antara seorang Muslim dan seorang Kafir. Inilah juga yang menjadi persoalan penting dalam hidup mereka melebihi daripada persoalan yang pertama tadi. Malangnya, hakikat ini hanyalah disedari oleh sejumlah kecil sahaja di kalangan umat Islam itu sendiri.


Tujuan Hidup 1: Mengabdikan diri kepada Allah

Berbalik kepada persoalan Bekalan Muslim tadi, kita akan dapati bahawa tujuan penciptaan manusia di atas bumi ini ialah berdasarkan 2 ayat al Quran. Ayat yang pertama berbunyi;
“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)

Iaitu untuk u’budiyyah ilallah, mengabdikan diri hanyasanya kerana Allah ta’ala dalam erti kata lain Tarbiyah. Dan ayat yang kedua pula;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…" (Al-Baqarah: 30)

Tujuan penciptaan yang kedua pula, iaitu untuk menjadi Khilafah di atas bumi ini, memakmurkan bumi agar mengikut segala yang ditentukan oleh Syariat Islam, dalam erti kata lain Dakwah. Tujuan hidup yang kedua ini akan kita huraikan pada masa yang akan datang.

            Jadi, kembali kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t atau dalam definisi lainnya Tarbiyah. Pengabdian kepada Allah s.w.t ini mestilah difahami bahawa kita meletakkan diri ini hanyalah diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah ta’ala dengan cara mengenal makrifatullah, tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. Ini boleh dicapai sama ada dengan menerokai ayatollah al Maqra’ (kehebatan Allah yang dibaca) dan ayatollah al Mandzur (kehebatan Allah yang dilihat) iaitu melalui mukjizat al Quran dan mentadabbur alam buana. Akhirnya, akan timbul dalam diri betapa hebatnya kekuasaan Allah s.w.t. yang berupaya menjadikan apa sahaja yang diinginkanNya.

Ciri-ciri u’budiyyah yang perlu difahami juga perlulah menyeluruh (syumul) dan secara sempurna, bukan dengan menjuzuk-juzukkan kepada beberapa sudut sahaja. Maksud saya,  tidaklah menganggap ibadah itu tempatnya hanya di mihrab semata-mata, bahkan setiap tutur kata, pergaulan, muamalat, berjalan, berdiri dan duduk, kehidupan sejak mula mengangkat kelopak mata sehingga tertutupnya kembali adalah ibadah ataupun pengabdian diri kepada Allah ta’ala. Bahkan, saat tertutupnya mata kita juga adalah seharusnya ibadah kepada Allah s.w.t. FirmanNya;

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang kamu yang nyata.” (Surah al Baqarah: 208)

            Kita dituntut untuk masuk ke dalam Islam itu secara keseluruhan, dituntut untuk sentiasa mengingati dan beramal untuk Allah s.w.t. Melaksanakan segala tuntutan yang terkandung di dalam al Quran dan meninggalkan hayat semata-mata untuk kepentingan peribadi, kesenangan nafsu dan berfoya-foya, kepentingan memenuhi periuk nasi, dan melancong mengelilingi dunia bersuka-suka sahaja.


Tarbiyah yang tersusun

            Memahami keperluan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. secara keseluruhan juga bermaksud keperluan untuk menjadi Muslim Total, bukan sekadar muslim separuh-separuh. Malangnya, Allah s.w.t. juga telah mengingatkan bahawa di sana terdapat suatu makhluk yang akan bekerja keras untuk menghasut manusia supaya tidak menjadi Muslim keseluruhannya, dengan amaran janganlah mengikut jejak langkah Syaitan. Selain itu juga, keinginan hawa nafsu, orang-orang Kafir, dan munafiq juga menjadikan misi seorang Muslim itu menjadi Muslim Total hampir-hampir mustahil.

            Di sanalah perlunya orang-orang yang beriman kepada kekuatan sistem sokongan yang mampu menangkis semua serangan, hasutan dan godaan itu. Hidup berjemaah, dalam bi’ah yang solehah itu akan menjadikan misi akhir untuk menjadi hamba yang benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. lebih mudah dan sempurna.

            Seseorang yang mempunyai pertemuan mingguan di dalam bulatan kecilnya, mabit bulanan dalam katibah besarnya, bedah buku atau pembentangan ilmiyyah dalam daurahnya, riadah dan mukhayyam bagi keperluan jasadnya, serta muktamar atau nadwah yang mengasah kepimpinannya mampu membentuk seorang muslim yang kuat segala aspeknya bukan sudut-sudut tertentu sahaja. Malahan, manhaj al Quran dan as Sunnah, sirah Nabi s.a.w, para sahabat dan salafussoleh serta ulamak muktabar mampu membangkitkan kembali ruh semangat dengan kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu. Selain bi’ah murabbi, mutarabbi dan sokongan ikhwah-ikhwah lain untuk kita menjadi Muslim hakiki melengkapkan sepuluh sifat yang sepatutnya ada pada seseorang individu Muslim itu.


Kesedaran juga ada Maqamnya

“Tuhan dulu pernah, aku menangih simpati,
Kepada manusia, yang alpa juga buta,
Lalu terheretlah, aku di lorong gelisah,
Luka hati yang berdarah, kini jadi kian parah.”

Apabila kita mula memahami hakikat kehidupan di dunia ini, seharusnya kesedaran itu timbul, dan cepat-cepat bertaubat memohon keampunan pada Allah ta’ala atas dosa silam.

“Semalam sudah sampai ke penghujungnya,
Kisah seribu duka, ku harap sudah berlalu,
Tak ingin lagi, ku ulangi kembali,
Gerak dosa yang menghiris hati.”

            Tiadalah maqam yang lebih bermakna bagi seseorang yang culas itu selain munculnya kembali kesedaran jauh dari lubuk hati. Lalu disahut kesedaran itu dengan sahutan amal soleh.

“Tuhan dosaku menggunung tinggi,
Tapi rahmatmu melangit luas,
Harga selautan syukurku,
Hanyalah setitis nikmatMu di bumi.”

            Kemudian hati itu kembali bercahaya, sinarannya mengalahkan kegelapan maksiat. Hatinya tunduk berzikir, langkahnya penuh yakin untuk kembali ke barisan perjuangan.

“Tuhan, walau taubat seringku mungkir,
Namun pengampunanmu tak pernah bertepi,
Bila selangkah kurapat padaMu,
Seribu langkah kau rapat padaku.”

            Perasaan dan semangat langkah-langkahnya yang bersama dengan Allah ta’ala menjadi bekal sepanjang perjalanan umur dakwah ini...



Human Brain Analysis

1. MULTI-TASKING

Women - Multiple process
Womens brains designed to concentrate multiple task at a time.
Women can Watch a TV and Talk over phone and cook.
Men - Single Process
Mens brains designed to concentrate only one work at a time. Men can not watch TV and talk over the phone at the same time. they stop the TV while Talking. They can either watch TV or talk over the phone or cook.

2. LANGUAGE


Women can easily learn many languages. But can not find solutions to problems. Men can not easily learn languages, they can easily solve problems. That's why in average a 3 years old girl has three times higher vocabulary than a 3 yeard old boy.

3. ANALYTICAL SKILLS


Mens brains has a lot of space for handling the analytical process. They can analyze and find the solution for a process and design a map of a building easily. But If a complex map is viewed by women, they can not understand it. Women can not understand the details of a map easily, For them it is just a dump of lines on a paper.

4. CAR DRIVING.


While driving a car, mans analytical spaces are used in his brain. He can drive a car fastly. If he sees an object at long distance, immediately his brain classifies the object (bus or van or car) direction and speed of the object and he drives accordingly. Where woman take a long time to recognize the object direction/ speed. Mans single process mind stops the audio in the car (if any), then concentrates only on driving.

5. LYING


When men lie to women face to face, they get caught easily. Womans super natural brain observes facial expression 70%, body language 20% and words coming from the mouth 10%. Mens brain does not have this. Women easily lie to men face to face.
So guys, do not lie face to face.

6. PROBLEMS SOLVING


If a man have a lot of problems, his brain clearly classifies the problems and puts them in individual rooms in the brain and then finds the solution one by one. You can see many guys looking at the sky for a long time. If a woman has a lot of problems, her brain can not classify the problems. she wants some one to hear that. After telling everything to a person she goes happily to bed. She does not worry about the problems being solved or not.

7. WHAT THEY WANT


Men want status, success, solutions, big process, etc... But Women want relationship, friends, family, etc...

8. UNHAPPINESS


If women are unhappy with their relations, they can not concentrate on their work. If men are unhappy with their work, they can not concentrate on the relations.

9. SPEECH


Women use indirect language in speech. But Men use direct language.

10. HANDLING EMOTION


Women talk a lot without thinking. Men act a lot without thinking.

Hidup yang Indah



kita ingin melakar hidup yang indah,
hidup seorang bermaruah,
hidup sebagai seorang pejuang,
tak kenal erti rebah..
bila benar syaratnya, janjiNya pasti tiba
bila tiba saatnya, jangan mudah alpa
kemenangan adalah anugerah
buat mereka yang khusyuk,
dan juga mereka yang kenal,
hidup berjuang bermaruah dan tak kenal rebah,
hidup yang indah.

Nota buat Si Kecil

Bagi sesiapa yang pernah mendengar kisah Nabi Zakariya, pasti kagum dengan apa yang berlaku. Pertamanya, semasa baginda mula menjaga Maryam anaknya Imran, dan mendapati di sana, terdapat keajaiban yang ditakdir oleh Allah s.w.t. Setiap kali Nabi Zakariya menziarahi Maryam, baginda mendapati buah-buahan yang berlainan daripada musim yang sepatutnya. Buah-buahan musim sejuk semasa musim panas dan buah-buahan musim panas ketika musim sejuk. Inilah keajaiban yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hambaNya yang soleh.

Atas dasar inilah, Nabi Zakariya bersungguh-sungguh berdoa untuk dikurniakan seorang anak yang bakal menjadi waris menyambung perjuangan dakwah yang digalas oleh baginda alaihi salam. Ajaibnya juga, kerana umur Nabi Zakariya sudahpun lanjut dan isterinya pula seorang yang mandul. Tetapi, pemahaman yang sangat kuat terhadap perlunya lanjutan kepada tugasan dakwah ini memaksa Baginda meminta sesuatu yang agak tidak masuk akal. Sesetengah Salaf menceritakan, Baginda bangun pada tengah malam, dan berdoa secara khusyuk dan perlahan-lahan supaya tiada yang mendengari selain Allah ta’ala. Lalu Allah mengurniakan Nabi Zakariya, anaknya Yahya yang sangat hebat dan patuh kepada orang tua.

Dan ingatlah kisah Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.”

Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung..” (Surah Al Anbiyak: 89, 90)

Begitu juga Maryam ketika sarat mengandung dan mengadu pada Tuhannya, lalu dijadikan anak sungai di bawahnya. Juga, dengan menggoyangkan sahaja akar pokok kurma, maka terjatuhlah buah kurma yang ranum untuk dimakan khasiat buat diri dan kandungannya. Menariknya, terdapat 3 keajaiban yang berlaku, keajaiban Maryam seorang wanita, keajaiban seorang yang sedang mengandung dan ketiganya, keajaiban seorang yang sedang sarat mengandung 9 bulan berupaya menggoncangkan akar pokok kurma dan berhasil mendapatkan makanan buat diri dan kandungannya.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya”

Lihatlah kesungguhan Nabi Zakariya berdoa, memohon hajat kepada Allah s.w.t dan bagaimana Maryam mengadukan rintihannya kepada Tuhannya. Kemudian mereka diajar untuk mengambil sebab syarat doa itu diterima. Nabi Zakariya disuruh untuk tidak bercakap dengan sesiapa selama tiga hari kecuali dengan isyarat manakala Maryam pula disuruh untuk menggoyangkan akar pokok kurma dan tidak perlu bimbang akan mereka berdua yang dijaga rapi oleh Tuhan.

Sungguh, bagi mereka yang betul-betul bersungguh, dan memikirkan tentang Tuhan, pastinya akan dipermudahkan segala jalan untuk menuju Tuhannya. Firman Allah ta’ala dalam surah al-Ankabut; “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Isunya adalah kesungguhan itu, yang kedua mengambil syarat-syarat yang memenuhi kesungguhan itu, dan yang ketiga berdoa, menginsafi diri bahawa tiadalah yang dapat melengkapkan segala tuntutan itu, selain Allah s.w.t. Menangis, merintih dan mengadu kepada Allah ta’ala adalah suatu simbolik bagi mereka yang benar-benar melalui jalan Allah s.w.t. Tepatlah lirik sebuah nasyid;

“Air mata keinsafan, yang mengalir, di malam sepi,
Inilah dia pelembut jiwa, bagi mendapat Kasih ilahi.
Deraian air mata ini, titisannya paling berharga,
Buat menyimbang api neraka, moga selamat di titian sirat,
Bahagia menuju Syurga Abadi.
Setiap kekasih Allah, menempuhi jalan ini,
Untuk mereka memiliki kejayaan,
Ayuh bersama kita susuli, perjalanan kekasih Allah,
Agar kita tiada rugi di dalam meniti hidup ini.”


Sebuah Pembukaan

Sepertimana Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah.
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata..” (Surah Al Fath: 1)

Sepertimana juga hebatnya doa Nabi Zakariya untuk mendapat zuriat;
“Di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa." (Surah ali Imran: 38)

Seseorang Muslim itu perlu bersungguh-sungguh untuk membuka keluarganya, dengan pembukaan yang jelas. Membina keluarganya, agar menjadi suatu sel daripada sel-sel masyarakat yang memberikan impak yang baik. Mengisi taman perumahannya sebagai qudwah kepada tetangga yang lain. Menghasilkan natijah diri, isteri dan anak yang soleh. Semua ini, perlulah bermula dengan kesungguhan yang hebat untuk memperoleh anak-anak yang hebat sepertimana yang diidamkan oleh Nabi Zakariya alaihi salam. Kemudiannya mengambil segala syarat-syarat yang baik untuk melengkapkan keluarganya.

            Berlakunya keajaiban dalam penaklukan Kota Mekah, seakan-akan musuh sudahpun tertewas sebelum memulakan serangan lagi. Hal ini, disebabkan kesungguhan dan kepaduan umat Islam yang telah diterapkan oleh Nabi s.a.w. kepada kaum muslimin sejak pertemuan awal di Madinah lagi. Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar serta ayat-ayat Madaniyyah, yang diturunkan semasa di Madinah berjaya membentuk penduduk Madinah sebuah masyarakat yang menonjolkan kehidupan Islamik dari pelbagai segi. Akhirnya, terbentuklah sebuah umat yang sangat mendokong perjuangan Nabi s.a.w. dan membantu Baginda ke mana sahaja Baginda berada.

            Ingatlah ketika Perang Badar Kubra hendak tercetus, maka Nabi s.a.w. mengadakan mesyuarat dengan majlis tertinggi tentera, di mana Rasulullah melaporkan kedudukan terkini. Di dalam sidang ini, masing-masing mengemukakan pandangan dan sumbangan pendapat masing-masing.  Kemudian Allah s.w.t menurunkan ayat al-Quran bagi menenangkan sesetengah hati yang bergoncang dan ketakutan untuk menghadapi perang.

            Kemudian, Rasulullah bertanyakan; “berikanlah pandangan kalian wahai kamu semua?” Abu Bakar menyahut. Rasulullah s.a.w. menanyakan soalan yang sama untuk kali kedua dan ketiga seterusnya disahut oleh Umar dan Miqdad. Kemudian, Rasulullah sekali lagi menanyakan pertanyaan yang sama “berikanlah pandangan kalian wahai kamu semua?” Pada pertanyaan inilah, baru semua memahami bahawa sesungguhnya pertanyaan itu ditujukan untuk kaum Ansar yang mana Baiah Aqabah sebenarnya tidak menuntut untuk mereka berperang di luar Madinah.

            Lalu Sa’ad bin Muaz pantas menyahut, “.. Demi Tuhan yang mengutuskan tuan hamba dengan kebenaran, seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi lautan nescaya akan kami harungi, tak seorangpun akan terkecuali, kami bersenang hati engkau membawa kami untuk menemui musuh pada esok hari…”

            Dimanakah lagi boleh dijumpai kesungguhan seperti ini? Dimanakah lagi boleh dicari jiwa-jiwa yang hebat seperti ini? Sanggup mendokong perjuangan Rasulullah s.a.w. walau dimana sahaja, mereka inilah yang membawa panji Muhammadiyah, panji perjuangan Baginda s.a.w.


Memori Ustaz Fathi Yakan

Dengan mengambil kesungguhan tersebut, dan juga dengan memperingati seorang tokoh perjuangan harakah Islam, Ustaz Fathi Yakan, kami menamakan anak sulong kami, Fathi Mukmin, insya allah –  mohon doa mustajab kalian semua.

Juga kerana merujuk kepada ayat-ayat daripada Surah al Fath, yang berulang-ulang memperingatkan tentang ketenangan yang diturunkan ke atas orang-orang beriman untuk menambahkan lagi keimanan mereka. Di situ, adanya doa Ummu Fathi dan Abu Fathi kepada anakandanya, dan seluruh umat Islam amnya.

“..Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka..” (Surah al Fath; ayat 3-ulangan maksud yang sama ayat 18 dan 26)

Kembali kepada Ustaz Fathi Yakan. Siapa yang tidak pernah mendengar buku ‘Mengapa Saya Menganut Agama Islam’ yang ditulis oleh beliau. Buku ini mengandungi banyak panduan dan penerangan kepada seorang muslim  tentang hakikat dirinya bergelar seorang Muslim. Tambahan, buku ini juga dijadikan silibus-silibus bulatan kecil di sekolah-sekolah.

Sheikh Fathi Yakan rahmatullah ‘alaih pernah menulis dalam buku “Bahtera Penyelamat”: 
“… Para pendakwah Islam patut insaf bahawa pendokong-pendokong dakwah ialah para mujahid dan para syuhada’. Mereka bukan sekadar sebagai seorang ahli falsafah atau tukang pidato penggegar pentas semata-mata!! 
… Keimanan bukan sekadar omong kosong. Malah beriman bukan sekadar iman teori; menggembur-gemburkan tentang Tarbiyyah Rabbaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak kedengarannya di lidah sahaja.  
… Sesungguhnya berjihad dengan lisan memang mudah. Ramai yang melakukannya tanpa mengenal lelah. Malah jihad seperti ini mungkin disertai oleh ramai di kalangan orang yang tamakkan populariti serta kemahsyuran di kalangan orang ramai. Akan tetapi jihad dengan harta amat sukar bagi jiwa yang berpaut kepada dunia, takut miskin dan bimbang untuk menderma.” 

Moga-moga, perginya Ustaz Fathi Yakan, Jun 2009 akan melahirkan lagi lebih ramai anak-anak pejuang Islam yang meletakkan cita-cita tertinggi mereka untuk menjadi Mujahid dan Syuhada’ atas jalan ini.

Keberhasilan

            Kisah Nabi Zakariya tadi tidaklah berakhir di situ sahaja. Kerana seadilnya kita memerhatikan hasil didikan baginda sejak mula meminta daripada Allah s.w.t untuk dikurniakan zuriat sehinggalah lahirnya Yahya a.s. di atas muka bumi ini.

            Suatu perkara yang boleh kita hayati bersama iaitu, Nabi Yahya alahi salam diangkat menjadi rasul sejak usia kanak-kanak lagi. Baginda seorang yang sangat cerdik meskipun masih di usia budak. Abdullah ibn Mubarak menceritakan Ma’mar berkata; “beberapa kanak-kanak berkata kepada Yahya ibn Zakariya, “marilah bermain bersama kami.” Lalu Yahya menjawab, “ Tidaklah kita ini diciptakan untuk bermain-main!”

Ma’mar mengatakan, inilah yang dimaksudkan, “..Dan kami berikan kepadanya hikmah(kecerdikan) sewaktu ia masih kanak-kanak.” (surah Maryam: 12). Kecerdasannya sejak usia kanak-kanak  lagi terpancar dengan fikirannya jauh lebih matang dan cerdik berbanding kanak-kanak kebiasaannya.

            Tiga kali, janji Allah s.w.t. untuk melindungi Nabi Yahya alahi salam dalam sepanjang hayatnya. Perlindungan ketika dilahirkan, perlindungan pada hari ia meninggal dunia dan perlindungan ketika ia dibangkitkan kembali.

            Pernah suatu hari, Nabi Zakariya tidak menjumpai anaknya Yahya selama 3 hari. Jadi, Baginda pergi ke padang pasir untuk mencarinya. Alangkah terkejutnya Baginda kerana menjumpai Yahya di dalam kubur yang digalinya untuk diri sendiri, dan sedang bersedih ketika duduk di dalamnya.

Kata Nabi Zakariya,”Wahai anakku, aku telah mencari engkau selama 3 hari, rupa-rupanya di sini, di dalam kubur yang kau galinya sendiri? Lalu Yahya menjawab, “Wahai bapaku, bukankah engkau memberitahuku bahawa di antara Syurga dan Neraka ada satu titian yang tidak dapat dilepasi kecuali bagi mereka yang mengalirkan air mata keinsafan.” Nabi Zakariya pun berkata, “Nangislah anakku.” Kemudian mereka berdua pun menangis bersama, mendambarkan ampunan daripada Tuhannya. Allah s.w.t berfirman;
“Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.”

            Mereka selalu bersegera melakukan perbuatan baik, bersegera dalam melakukan dakwah, berdoa dengan penuh pengharapan dan menyeru manusia menuju Allah ta’ala. Itulah anak-anak yang kita impikan. Itulah dia keluarga yang kita idamkan. Itulah dia para pejuang yang kita harapkan untuk menyambung mata rantai perjuangan supaya Islam tetap menjadi landasan rujukan masyarakat hari ini.

Sebuah Percintaan


Ayat 89: “Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik." 

Ayat 90: Maka Kami memperkenankan doanya,... 

Bismillahirahmanirrahim..

Cinta seorang laki-laki kepada wanita dan cinta wanita kepada laki-laki adalah perasaan yang manusiawi yang bersumber dari fitrah yang diciptakan Allah s.w.t. di dalam jiwa manusia , yaitu kecenderungan kepada lawan jantinanya selepas mencapai kematangan tertentu.

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri , supaya kamu cenderung dan merasa tentram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir (Ar Rum ayat 21) 

Cinta pada dasarnya bukanlah sesuatu yang kotor, kerana kekotoran dan kesucian tergantung dari bingkainya. Ada bingkai yang suci dan halal dan ada bingkai yang kotor dan haram.

Cinta mengandung segala makna kasih sayang , keharmonisan , penghargaan dan kerinduan , disamping mengandungi persiapan untuk menempuh kehidupan dikala suka dan duka, lapang dan sempit.

"Tidak terlihat diantara dua orang yang saling mencintai (sesuatu yang sangat menyenangkan) seperti pernikahan" (Sunan Ibnu Majah)

Pernikahan dalam islam merupakan sebuah kewajiban bagi yang mampu. Dan bagi insan manusia yang saling menyintai pernikahan seharusnyalah menjadi tujuan utama mereka.

Percintaan tanpa didasarkan oleh tujuan hendak menikah adalah sebuah perbuatan maksiat yang diharamkan oleh agama. Kerana  batas antara cinta dan nafsu pada dua insan yang saling menyintai sangatlah tipis sehingga pernikahan adalah sebuah jalan keluar paling tepat untuk mengubatinya.

Pernikahan adalah sebuah perjanjian suci yang menjadikan Allah s.w.t. sebagai yang mempersatukannya. Dan tidak ada yang melebihi ikatan ini.  Dan inilah puncak segala kenikmatan cinta itu dimana kedua orang yang saling menyintai itu memilih untuk hidup bersama dan saling berjanji untuk saling mengasihi dan berbagi hidup baik suka maupun duka.


....

“Maka Kami memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.” (Al-Anbiyak:90)

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurata a'yun, waj'alna lil mutaqina imama... amin ya rabb

Benarkah saya Bahagia selama ini?

Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ta’ala tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi s.a.w.


Ikhwah, sahabat yang saya kasihi sekalian,


Analogi sebuah rumah yang dimamah oleh api kebakaran di malam hari merupakan suatu bahasa yang mudah menggambarkan situasi yang menimpa umat Islam zaman kita hari ini. Sedar tidak sedar sesungguhnya, kita tak lari daripada menjadi salah satu dari 3 golongan ini, iaitu golongan yang terjaga pada hari kejadian dan berusaha menyelamatkan diri, adapun golongan yang kedua mereka yang tertidur nyenyak dibuai mimpi sementara api menjilat selimut mereka, dan juga golongan yang ketiga, iaitu orang yang terjaga daripada tidur dan berusaha mengejutkan orang lain yang sedang tidur.

Fitnah yang menimpa umat Islam adalah suatu bala yang tidak terangkat selagi mana muslimin masih lagi tiada kesedaran dalam jiwa masing-masing. Penyakit pentingkan diri sendiri dan terpengaruh dengan keduniaan banyak menjerat manusia ke lembah kehinaan. Hinggakan ada segelintir umat Islam yang beranggapan apa yang berlaku pada dunia hari ini tiada kaitan dengan fitnah yang melanda umat. Masih ada yang merasakan situasinya berlainan daripada kebakaran yang berlaku tetapi situasinya hanyalah lalat yang menghinggapi hidung mereka. Hidup tetap berjalan seperti biasa dan semuanya ini hanyalah suatu lumrah atau ketentuan semulajadi sahaja. 

Tak kurang juga mereka yang memahami hakikat fitnah yang menimpa ke atas diri mereka, tetapi merasakan putus asa terhadap kekuatan yang ada pada umat Islam hari ini. Penyelesaian yang lebih popular ialah dengan bersahabat karib dengan kaedah yang ditunjukkan oleh barat dan cara yang lebih mudah dan pantas berbanding melaksanakan tuntutan jihad. Kebanyakannya menjadikan ruang maya, kebebasan bersuara, hak kesamarataan sebagai prinsip yang digenggam erat dalam diri mereka. 

Ada juga segolongan umat Islam yang menggambil langkah menjauhi diri daripada melibatkan diri dengan apa-apa yang membebankan kehidupan mereka. Cukuplah sekadar bekerja untuk memenuhi keperluan asasi dan tambahan sedikit kehendak dan perhiasan dalam rumah. Kitar hidup kebiasaannya berputar pada rutin kehidupan yang sama dan memikirkan bagaimanakah cara untuk mendapatkan kesenangan dalam kehidupan. Dalam erti kata lain kebahagiaan dalam kehidupan. 

Walau dimanapun golongan yang dimaksudkan, yang lebih utama ialah golongan yang sedang tidur dan menanti sambaran api kebakaran masih lagi lena dan enak dibuai mimpi. Dalam mimpinya terbayang memiliki segala bentuk kekayaan, berkahwin dengan sang puteri dan menjadi Maharaja di bumi bunian entah di mana.. Bayangannya ia sedang berbahagia bersama yang tercinta dan yang dicintai. Benarkah itu Bahagia?


Tubuh Umat 


Berbalik pada alam nyata, sekujur tubuh yang terlentang melecur kehangusan, hilang segala fungsi asalnya. Masih lagi berbahagia bertemankan mainan syaitan dan angan-angan palsu.

Kita satu jasad, saling menguatkan dan membantu. Tidak timbul bangunan ini kepunyaan aku, rumah ini tuan miliknya saya, tapi yang lebih utama apakah yang kita lakukan untuk melaksanakan hak terhadap rumah ini. Siapakah yang lebih mengimarahkan rumah ini dan apakah kita mengajak ahli rumah untuk menghidupkan rumah ini supaya mengingati Allah ta’ala. 

Berlumba-lumbalah kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah ta’ala. Bertolong-tolonganlah, janganlah memusuhi selain musuh Allah s.w.t. Ingatlah bahawasanya kita satu tubuh, hebatnya umat Islam kerana satu hati, hebatnya umat Islam kerana wujudnya kelompok satu hati.

Saidina Abu Bakar r.a. pernah berkata, “Adakah jatuhnya (umat)agama ini semasa Aku masih hidup?” Mungkinkah maknanya, adakah aku berada pada fatrah mundurnya agama Islam? Atau adakah aku tidak termasuk dalam golongan yang cuba membangkitkan agama ini? Atau yang lebih tepat lagi adakah culas aku terhadap agama ini menjadikan azab yang bakal menimpa diriku ini sangat dahsyat? Wallahua’lam, api kebakaran yang sangat dahsyat dan mengerikan di dunia ini tak sedikitpun setanding dengan azab api neraka yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana anak Adam sekalipun. 


 Katakan, Saya Bahagia!


Apabila bercakap tentang kebahagiaan, tak ramai yang mengambil masa yang lama untuk memikirkannya. Oleh itu, apa-apa sahaja yang berasa enak pada diri sendiri dikira sebagai suatu bentuk kebahagiaan. Boleh jadi, kebahagiaan itu dalam bentuk wang ringgit yang berjaya diperoleh, dalam bentuk suatu kedudukan yang akhirnya dicapai, dalam bentuk berhasil mendapat kerjaya yang selama ini diimpikan dan berkahwin dengan gadis yang menjadi rebutan ramai. Happy ending story atau Happily ever after seperti dalam novel cintan cintun atau filem cerekarama. 

Hakikatnya, jurang yang sangat besar bezanya diantara makna sebuah kebahagiaan yang sepatutnya menjadi cita-cita yang satu dalam kalangan para penggerak dakwah dengan makna tenggelamnya seseorang dengan nafsu syahawat yang menguasai diri. 

Pakar Psychology mengatakan berdasarkan kajian ke atas seluruh penduduk manusia, menunjukkan bahawa seseorang yang bahagia itu adalah apabila adanya rasa tenang, tenteram dan yakin dalam jiwanya. Hal ini bukanlah semata-mata merujuk kepada nilai capaian atau perkara yang berputar pada sekelilingnya, tapi apa yang lebih penting apa yang dirasainya dalam hatinya. Sebab itu, ada manusia yang rasa bahagia meskipun dalam kemiskinan. Ada manusia yang tenang walaupun tidak berkahwin sehingga menemui ajal, masih bahagia. Jadi ini adalah statistik yang dijalankan oleh manusia, ke atas manusia yang lain. Tetapi masih lagi belum tepat memenuhi makna sebuah kebahagian yang sepatutnya diidami oleh seorang makhluk bergelar Muslim. 

Sikap suka bermudah-mudahan dan keseronokan juga menjadikan sebilangan manusia lebih gemar mengambil lebihan manisan atau pembuka selera berbanding mengambil pemakanan yang mengandungi gizi yang sihat dan seimbang. Boleh jadi, manusia itu suka kepada Aiskrim Le Cremarie’ yang disaluti sos coklat yang lazat berbanding khasiat sebiji kurma. Boleh jadi, manusia itu cenderung kepada Ice Blended Frupe Strawberry yang menyegarkan berbanding khasiat segelas susu segar. Sikap suka kepada pandangan hawa dan kehendak peribadi menjadikan kita gagal menyingkap dan memerhatikan hakikat sebuah kebahagiaan sebenarnya. 


Nikmat Kebahagiaan


“Banyak perkara yang telah saya lihat, banyak perkara yang telah saya lalui, banyak suasana yang telah saya alami, banyak peristiwa yang telah saya saksi. Melalui pengalaman dalam tempoh yang singkat tetapi jauh langkahnya ini saya beroleh suatu keyakinan yang tidak akan goyah iaitu kebahagiaan yang dicitakan oleh seluruh manusia sebenarnya lahir dari dalam jiwa dan hati mereka sendiri, bukan sama sekali datang daripada luar. Malapetaka yang mencengkam dan menghambat manusia sebenarnya berpunca dari dalam jiwa dan hati mereka. Perkara ini diakui dan dijelaskan oleh al-Quran. Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Al-Ra’d: 11)

Tepat sekali teori sosial yang diungkapkan oleh seorang penyair: “Demi sesungguhnya, sebuah negara tidak akan terasa sempit kerana penduduknya Namun akhlak manusia yang akan menjadikannya terasa sempit.”

Saya amat yakini hakikat ini. Saya juga yakin bahawa tidak ada satupun sistem atau ajaran yang dapat mencurahkan kebahagiaan ke dalam jiwa manusia dan membimbing mereka secara praktikal dan jelas ke arah mencapai kebahagiaan ini sepertimana yang ditonjolkan oleh ajaran suci Islam; Agama yang bertepatan dengan fitrah, jelas dan praktikal. Namun di sini bukanlah ruang untuk menghuraikan segala kandungan ajaran ini. Di sini juga bukan tempat untuk membuktikan bahawa ajaran ini menjanjikan hasil tadi dan membawa ke arah kebahagiaan seluruh manusia. Perbincangan ini memerlukan ruang yang lain. Apatah lagi saya yakin kita semua sebulat suara menerima kesahihan kenyataan ini. Malah ramai di kalangan bukan Islam yang mengakui hakikat ini. Mereka mengakui keindahan dan kesempurnaan Islam.

Atas dasar inilah, semenjak dahulu lagi saya wakafkan diri saya untuk mencapai satu sahaja matlamat iaitu membimbing manusia ke arah Islam yang sebenar, agar mereka mengamalkan Islam.”

Ucapan Dasar Muktamar Kelima oleh Imam Hasan al-Banna – Ya, itulah dia yang saya maksudkan. Ya, itulah dia yang saya ingin kemukakan tentang tafsiran kebahagiaan yang sepatutnya yang diimpikan oleh setiap muslim iaitu membimbing manusia ke arah Islam yang sebenar, secara praktikal agar mereka dan khususnya diri kita ini mengamalkan seluruh ajarannya. Tiada yang lebih membahagiakan selain mewaqafkan diri, menjunjung beban taklifat sepertimana yang ditanggung oleh para nabi dan rasul-rasul, seterusnya para salafus soleh, tabi’, tabi’en dan barisan saf syuhada’ dan para ulamak yang mati-matian meletakkan diri untuk agama ini.


  Harapan Muslimin 


Dengan lahirnya umat Islam yang berusaha mengejar kebahagiaan ini, maka umat Islam pastinya tidak akan ketandusan pejuang. Menegakkan kalimah ilahi, mengejutkan manusia tentang hakikat kebahagiaan ini merupakan suatu gerak kerja yang sepatutnya difikirkan bersama. Suatu harapan buat muslimin bahawa kami pasti bangkit, untuk mengajarkan manusia erti kebahagiaan walaupun ditentang oleh pelbagai bentuk musuh.


“Umat kini diibaratkan , 
Buih yang terapung di lautan, 
Dihanyut terhempas di pukul gelombang,
 Dan lenyap bila dihembus oh angin. 
Pada siapa nak diharapkan, 
Yang tinggal cuma sebatang tubuh, 
Mulakan dari langkah yang pertama, 
Biar putih tulang jangan putih oh mata. 
Gunalah falsafah si cengal emas, 
Simbol tiang seri utama, 
Gagah berjuang di tengah umat, 
Cahayamu pasti gemilang. 
ISLAM PASTI BANGKIT LAMBAT LAUN, 
Janji TUHAN pasti terlaksana, 
Waktu jangan lagi dibuang sia-sia, 
OBOR SEMANGAT AYUH KITA NYALAKAN…”

Saya Juga Salafi Seperti Anda

Oleh: Ust Fauzi Asmuni
Naib Presiden II, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Isu salafi sekali lagi menjadi buah mulut sebahagian dari pendakwah sejak kebelakangan ini. Ini mungkin disebabkan perbincangan semula terhadap kesahihan beberapa amalan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang berlaku pada peringkat nasional pada tahun lepas. Mungkin juga disebabkan beberapa pertikaian yang ditimbulkan oleh sebahagian pihak terhadap kaedah, pendekatan dan uslub dakwah Ikhwan yang mula mendapat tempat di dalam hati sebahagian aktivis dakwah dan beberapa gerakan Islam di tanahair. Perbincangan tentang isu salafi ini banyak berkisar di sekitar dua isu ini; amalan masyarakat Melayu Islam yang merupakan khilaf fiqhi dan manhaj dakwah.

Persoalan akidah yang sebenarnya salah satu dari asas isu salafi ini kita dapati tidak begitu ketara dibincangkan di Malaysia. Sebaliknya isu yang ditimbulkan adalah isu tahlil, talqin, bacaan Yasin di malam Jumaat, bacaan Qunut di dalam solat Subuh, penyelewengan Sayyid Qutb, bid’ah usrah, kesalahan-kesalahan di dalam tafsir fi Zilal al-Quran, bid’ah ta’wil nas dan lain-lain isu seumpamanya.

Takrif Salafi Yang Kurang Tepat

Banyak pihak mendakwa mereka adalah salafi. Sebahagian kecil sahaja dari kalangan mereka yang memahami apakah yang dimaksudkan dari kalimah salafi tersebut. Manakala bakinya melakukan dakwaan tanpa sandaran ilmu. Dengan berpandukan ilmu yang sedikit itu mereka mula menuduh pihak lain ‘tidak salafi’ atau ‘kurang salafi’ berbanding mereka.

Sebahagian dari mereka mengatakan salafi adalah pengikut ‘madrasah an-nas’, iaitu satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum secara langsung dari zahir nas tanpa banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas). Dengan itu mereka berpegang kepada zahir nas dari al-Quran atau hadis dan menolak methodologi yang digunakan oleh ulama’ yang lain. Mereka mengambil jalan mudah dengan mempraktikkan Islam terus dari al-Quran dan Sunnah tanpa merujuk kepada tafsiran dan pendapat ulama’-ulama’ berkenaan tafsiran nas tersebut, satu amalan yang sebenarnya bertentangan dengan praktik pelopor madrasah an-nas itu sendiri.

Sebahagian yang lain mengatakan salafi adalah sesiapa yang mempraktikkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan itu mereka memaksakan beberapa pendapat mazhab Hanbali kepada umat Islam di Malaysia yang majoritinya adalah bermazhab Syafie. Hujah mereka kerana fiqh mazhab Hanbali ‘lebih salafi’ dari mazhab-mazhab yang lain.

Sebahagian yang lain pula mengatakan salafi adalah pendekatan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab, pelopor gerakan Wahabi di Arab Saudi. Malangnya apa yang mereka fahami dari gerakan Wahabi ini hanyalah sebahagian dari perjuangannya sahaja. Mereka tidak mengkaji keseluruhan gerakan tersebut. Dengan itu mereka menyimpulkan bahawa gerakan Wahabi adalah gerakan membenteras bid’ah yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab satu kurun yang lepas. Itulah yang cuba mereka lakukan di Malaysia. Alangkah baiknya jika mereka mengkaji jihad Muhammad bin Abdul Wahab dan usaha-usaha pembaikan sistem khilafah yang dilakukan oleh beliau ketika itu. Moga-moga kajian itu dapat menyingkap hakikat salafi yang sebenarnya kepada mereka dan menjelaskan perbezaan di antara gerakan Muhammad bin Abdul Wahab dengan apa yang disebut sebagai Wahabi pada hari ini.

Takrif Salafi Mengikut Manhaj Salafi Kami

Kami meminta maaf kerana menggunakan istilah ‘salafi kami’. Ini bukan dengan tujuan untuk memperkecilkan sebahagian yang mendakwa mereka salafi atau untuk menidakkan ‘salafi’ mereka. Kami juga berusaha seperti mereka untuk menjadi salafi. Jadi penggunaan istilah ini lebih bertujuan untuk menjelaskan beberapa perbezaan di antara kami dan mereka di dalam beberapa isu berkaitan salafi. Istilah ini sudah tentulah lebih baik dan lebih lembut dari istilah sebahagian penulis di dalam blog-blog yang menggunakan istilah ‘salafi lapok’ dan sebagainya.

Mereka yang mengaku salafi sering mengajak kita semua untuk kembali kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan merujuk segala masalah kepada nasnya. Ini adalah pendekatan yang kami persetujui dan kami juga mengajak semua orang Islam ke arah yang sama; kembali kepada nas.

Dengan itu di dalam mentakrifkan ‘salafi’ kami ingin mengajak mereka dan semua pembaca untuk mengembalikan istilah ini kepada nasnya. Dari manakah datangnya istilah ‘salafi’ ini?

Ia adalah hasil kefahaman yang digabungkan dari beberapa buah hadis. Di antaranya sabda Rasulullah s.a.w.:

“Telah terpecah orang-orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasrani menjadi tujuh puluh dua golongan. Akan terpecah umatku menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam neraka, kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang yang berdiri di atas apa yang aku dan para sahabatku berdiri di atasnya.” (Riwayat Abu Daud)

Satu lagi hadis mutawatir menyempurnakan makna ini: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian generasi sesudahnya dan kemudian generasi sesudahnya.”

Daripada hadis-hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan salafi adalah satu kelompok yang dikenali di dalam sejarah perundangan Islam sebagai salafussoleh. Mereka adalah kelompok terbaik di dalam sepanjang sejarah Islam. Mereka adalah tiga generasi Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. dan berakhir di pemerintahan al-Makmun di zaman Abbasiah. Itu adalah pendapat sebahagian ulama’ hari ini termasuklah seorang ulama’ Mesir, Dr. Jum’ah Amin Abdul Aziz.

Apa yang ada pada mereka sehingga mereka digelar golongan salafussoleh?

Mereka adalah generasi manusia yang hidup di tiga generasi pertama Islam. Mereka mempunyai manhaj tertentu di dalam akidah. Dengan manhaj itu mereka menafsirkan alam, kehidupan dan manusia berpandukan sumber Islam yang asli iaitu al-Quran dan Sunnah, jauh dari pengaruh falsafah Yunan dan falsafah-falsafah tamadun lain. Mereka membangunkan sistem ibadah di atas manhaj yang syumul dan umum hasil dari aqidah yang sejahtera dan praktik sunnah yang tepat. Mereka hanya memberikan wala’ kepada Allah dan Rasul serta berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi dengan manhaj dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mempunyai manhaj haraki berpandukan manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. yang mampu mengumpulkan seluruh umat di dalam satu kesatuan.

Adakah istilah salafi merujuk kepada zaman atau manhaj?

Jika istilah salafi merujuk kepada zaman, maka ianya sudah berlalu. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka adalah salafi. Bahkan dakwaan bahawa mazhab Hanbali lebih salafi dari yang lainnya juga adalah tidak tepat. Sumbangan setiap pengasas mazhab yang hidup di zaman itu kepada umat adalah sama. Mereka saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Bahkan jika Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup sekarang, kami yakin dia juga bersetuju dengan kesalafian imam-imam yang lain.

Jika istilah salafi merujuk kepada manhaj, maka sesiapa yang mengikuti manhaj tiga generasi tersebut di dalam praktik Islam maka merekalah salafi sebenar. Manhaj itu merangkumi tasawwur di dalam akidah, ibadah dan harakah dakwah.

Jadi persoalan seterusnya adalah apakah manhaj yang dipraktikkan oleh generasi itu?

Madrasah an-Nas dan Salafi

Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada manhaj madrasah an-nas sahaja atau kepada mazhab Ahmad bin Hanbal sahaja. Sesiapa yang mengikuti manhaj tersebut maka merekalah salafi. Itu yang menjadi punca sebahagian dari pendakwah Islam hari ini berusaha dengan usaha yang sungguh-sungguh untuk mengembalikan umat Islam kepada manhaj ini dan mengajak umat untuk menolak manhaj selainnya. Dengan erti kata lain mereka mula menolak ta’wil, menolak untuk menafsirkan nas berdasarkan ilal nas, menolak untuk membuat imbangan antara ruh nas dan lafaz, menolak untuk membuat imbangan antara zahir nas dan maqasid, menolak untuk membuat imbangan antara wasilah yang berubah dan hadaf yang thabit daripada nas, tidak meraikan perbezaan di antara lafaz majazi dan lafaz hakiki, tidak mengambil kita perubahan madlul lafaz dengan perubahan zaman dan lain-lain methodologi istinbat hukum dari nas yang digunapakai oleh aliran-aliran lain di dalam fiqh Islami.

Kami tidak bermaksud untuk merumitkan pembaca dengan istilah-istilah usul yang memeningkan. Apa yang ingin kami terangkan di sini adalah madrasah an-nas adalah satu aliran dari pelbagai aliran di dalam fiqh. Apa yang menjadi methodologi madrasah an-nas ini juga tidaklah tepat seperti mana yang mereka fahami. Kalau sekiranya mereka mengikuti aliran madrasah an-nas ini dengan betul, mereka tidak akan menolak aliran-aliran yang lain kerana pelopor madrasah an-nas ini juga tidak pernah menolak methodologi aliran lain.

Dengan itu kami tegaskan di sini bahawa manhaj tiga generasi awal Islam itu tidak hanya terbatas kepada madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya ia merangkumi kesemua aliran di dalam fiqh Islami.

Di sini mungkin membantu pembaca untuk memahami aliran-aliran fiqh pada tiga generasi itu dengan membentangkan sedikit ringkasan sejarah aliran-aliran fiqh sehingga membawa ke pembentukan mazhab-mazhab.

Sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w., para fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. bertebaran di negara-negara Islam. Ibnu Abbas r.a. menetap di Mekah dan mempunyai murid-muridnya yang tersendiri. Abdullah bin Omar r.a. menetap di Madinah dan membentuk madrasahnya dan anak-anak muridnya. Ibnu Mas’ud r.a. tinggal menetap di Kufah dan mempunyai murid-muridnya sendiri. Setiap mereka mempunyai pendekatan yang tersendiri di dalam ijtihad dan istinbat hukum.

Fuqaha’ dua tanah haram, Mekah dan Madinah lebih berpegang kepada nas dan jarang melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) berbeza dengan fuqaha’ Iraq yang lebih melihat kepada maqasid. Mungkin disebabkan tidak banyak masalah baru yang timbul di dua tanah haram berbanding Iraq, bumi baru yang dibuka oleh orang Islam dengan majoriti masyarakatnya adalah orang-orang yang baru memeluk Islam, menjadikan mereka mengambil pendekatan sedemikian.

Dari situ muncullah madrasah an-nas yang dipelopori oleh fuqaha’ dua tanah haram dan madrasah ar-ra’yu (satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum tidak secara langsung dari zahir nas tetapi banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) yang dipelopori oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. di Kufah.

Selepas itu di zaman tabi’ien, muncul beberapa orang fuqaha’. Di antara mereka adalah Said bin al-Musayyib di Madinah, Ato’ bin Rabah di Mekah, al-Nakhaie dan as-Sya’bi di Kufah, Hasan al-Basri di Basrah, Makhul di Syam dan Towus bin Kaisan di Yaman. Setiap mereka dipengaruhi pendekatan fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. di tempat masing-masing. Said bin al-Musayyib misalnya lebih cenderung kepada fuqaha’ dua tanah haram. Manakala al-Nakhaie lebih cenderung kepada aliran ijtihad dan istinbat Abdullah bin Mas’ud di Iraq.

Fuqaha’ di zaman tabi’ tabi’ien pula membentuk ranting-ranting aliran fiqh dan mengembangkannya dari keadaannya di zaman tabi’ien. Lahirlah fuqaha’ di negara-negara Islam dalam bentuk yang lebih luas seperti al-Laith bin Saad di Mesir, al-Auza’ie di Syam, Imam Malik dan Ibnu al-Majisyun di Madinah, Ibnu Juraih di Mekah, Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Ibnu Abi Laili di Kufah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Syafie.

Di atas perbezaan methodologi seorang imam dengan seorang yang lain, lahirlah mazhab-mazhab Islam di dalam Islam. Ulama’ Islam tidak pernah menghadkan istilah golongan salafussoleh itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal atau mana-mana fuqaha’ dari madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya semua mereka mengiktiraf kesemua aliran di dalam fiqh tersebut.

Dengan itu adalah amat tidak tepat apabila seseorang melabelkan dirinya salafi hanya kerana dia berpegang dengan madrasah an-nas dan melabelkan orang lain tidak salafi hanya kerana orang itu berpegang dengan madrasah ar-ra’yu. Kedua-dua aliran ini adalah aliran yang diiktiraf di dalam Islam.

Pengikut Aliran Madrasah ar-Ra’yu Tidak Salafi?

Sememangnya terdapat satu syubhat yang ditimbulkan kepada aliran madrasah ar-ra’yu ini. Di antaranya adalah syubhat yang dilemparkan kepada Imam Abu Hanifah yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak 17 hadis sahaja dan Imam Malik yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak lebih kurang 300 hadis sahaja di dalam Muwatto’. Mereka membandingkannya dengan Imam Ahmad bin Hanbal yang meriwayatkan di dalam Musnad sebanyak 30,000 hadis. Dengan itu mereka mengatakan bahawa aliran madrasah ar-ra’yu tidak salafi kerana terlalu banyak bergantung kepada kajian maqasid dengan menggunakan akal dan tidak bersandar kepada hadis.

Dakwaan kelemahan Imam Abu Hanifah dan imam-imam lain di dalam ilmu hadis bukanlah dakwaan yang tepat. Apa yang mereka katakan adalah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukadimahnya. Riwayat itu kemudian disangkal sendiri oleh Ibnu Khaldun. Beliau mengatakan: “Imam Abu Hanifah tidak banyak meriwayatkan hadis kerana beliau ketat di dalam syarat riwayat dan tahammul. Beliau juga akan mentadhiefkan hadis apabila ianya bertentangan dengan akal secara qat’ie. Dengan itu beliau tidak banyak meriwayatkan hadis. Bukan kerana beliau sengaja tidak meriwayatkan hadis. Jauh sekali dari beliau melakukan demikian. Di antara bukti bahawa beliau adalah di antara mujtahid agung di dalam ilmu hadis adalah ulama’-ulama’ hadis bersandar kepada mazhabnya.”

Begitu juga jika sekiranya kita menyelusuri susur galur madrasah ar-ra’yu ini kita akan mendapati bahawa ianya lahir dari ulama’-ulama’ hadis juga.

Ketika Abdullah bin Mas’ud r.a. mengasaskan aliran ini di Kufah, menetap di Kufah bersama-sama dengan beliau beberapa orang sahabat r.a. yang lain seperti Saad bin Abi Waqqas r.a., Huzaifah r.a., Ammar r.a., Salman r.a. dan Abu Musa al-Asyari r.a. Bahkan ketika Saidina Ali r.a. berpindah ke Kufah, beliau gembira melihat keadaan Kufah yang dipenuhi oleh fuqaha’. Generasi sahabat seperti mana yang kita ketahui adalah generasi yang menerima hadis secara langsung dari Rasulullah s.a.w.

Generasi selepas itu adalah generasi yang menghimpunkan di antara aliran fuqaha’ Kufah dan aliran madrasah an-nas dari Abdullah bin Abbas r.a. di Mekah. Di antaranya adalah Said bin Jubair.

Daripada generasi inilah Ibrahim bin Yazid al-Nakhie, seorang tabi’ien menuntut ilmu. Beliau adalah seorang ulama’ hadis yang dikatakan oleh al-A’masy, seorang ulama’ hadis: “Setiap hadis yang aku bentangkan kepada Ibrahim aku akan dapati pada beliau sesuatu ilmu.” Al-Nakhie juga pernah berkata: “Tidak akan betul pendapat tanpa hadis dan tidak akan betul hadis tanpa pendapat.”

Anak murid al-Nakhie adalah Hammad. Beliau adalah anak murid yang diiktiraf oleh al-Nakhie sebagai pewaris ilmunya. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai: “Kepada siapakah kami akan bertanya selepas Tuan.” Beliau menjawab: “Tanyalah Hammad.”

Imam Abu Hanifah adalah anak murid Hammad. Dengan itu kita simpulkan bahawa ilmu Abu Hanifah adalah ilmu yang diwarisi dari Hammad, dari al-Nakhie dan dari fuqaha’ Kufah dari kalangan sahabat r.a.

Lalu dari manakah terletaknya kekuatan hujah mereka ketika mereka mendakwa bahawa pengikut aliran madrasah ar-ra’yu sebagai tidak salafi?

Memerangi Bid’ah dan Salafi

Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada praktik Islam dalam bentuknya yang asli tanpa sebarang campur aduk. Keaslian tersebut ditafsirkan sebagai praktik Islam sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa ada sebarang tambahan. Jadi mereka berusaha untuk mematikan sebarang amalan dan praktik umat Islam yang tidak pernah ada pada pandangan mereka di zaman Rasulullah s.a.w.

Kemungkinan ini mempunyai kaitan dengan sejarah hidup Imam Ahmad bin Hanbal yang terpaksa berhadapan dengan bid’ah golongan Muktazilah di zaman Khalifah al-Ma’mun. Golongan Muktazilah mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk dan Imam Ahmad bin Hanbal bermati-matian berusaha melawan bid’ah tersebut sehingga beliau dipenjarakan. Ia juga kemungkinan mempunyai kaitan dengan usaha mematikan bid’ah yang dilancarkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab di Semenanjung Tanah Arab.

Daripada kedua-dua mereka, difahami bahawa memerangi bid’ah dan menyucikan Islam dari sebarang campuran adalah salah satu unsur yang penting di dalam manhaj salafi.

Terdapat nas yang jelas di dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan kita menjauhkan diri dari bid’ah dan mempraktikkan Islam dalam bentuknya yang bersih dan tidak bercampur baur. Di antaranya adalah firman Allah: “…oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur: 63). Di antaranya lagi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: “Sesiapa yang melakukan amalan baru yang tidak ada dalam agama ini maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)

Bid’ah mula timbul di zaman Saidina Ali r.a. Dengan masalah yang menimpa umat Islam sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Osman r.a., berlakunya peristiwa Unta dan peristiwa Siffin lahirlah golongan Khawarij, Syiah dan Murjiah. Setiap golongan ini membawa bid’ah yang mewakili kumpulan masing-masing. Di akhir zaman Bani Umayyah, muncul Ma’bad al-Jahni dengan fahaman qadariah (segala yang berlaku dengan ketentuan manusia). Ini disambung pula oleh anak murinya, Jahm bin Sofwan yang mencipta bid’ah ta’til (menafikan nama dan sifat bagi Allah). Kemudian datang pula giliran Muktazilah yang membawa lebih banyak bid’ah kepada umat setelah mereka terkesan banyak dengan falsafah Yunan.

Selepas dari itu satu demi satu bid’ah muncul dengan bentuknya yang pelbagai. Sehinggalah pada hari ini, umat Islam mempraktikkan Islam yang sudah bercampur dengan pelbagai bid’ah. Di antaranya percampuran lelaki perempuan dengan batasan yang terlalu longgar, fesyen-fesyen yang mendedahkan aurat, berhukum dengan hukum lain dari syariat Islam dan takrifan semula terhadap jihad dengan satu takrifan yang mengelirukan. Semuanya sudah diterima sebagai budaya dan cara fikir. Ini semua adalah bid’ah.

Kami amat-amat bersetuju jika golongan yang mendakwa mereka salafi ini memerangi bid’ah-bid’ah di atas. Kami menyokong sepenuhnya usaha mereka. Bahkan kami juga sedang berusaha ke arah yang sama seperti mereka.

Apa yang mendukacitakan adalah apabila takrif bid’ah itu diluaskan sehingga dimasukkan sekali di dalam takrif tersebut beberapa amalan seperti sambutan maulid Nabi, bacaan Yasin di malam Jumaat dan lain-lain. Amalan-amalan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam kategori bid’ah yang sepatutnya diperangi. Ia mungkin bukan amalan yang afdhal, tetapi khilaf ulama’ di dalam membincangkan amalan-amalan ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Lahirnya pandangan yang mengatakan harus dan sebagainya mengajak kita untuk bersikap berlapang dada dan menghimpunkan umat Islam di dalam satu kesatuan bukannya melahirkan pemisahan di antara pengikut pandangan yang pelbagai.

Itu yang kita dapati berlaku di sepanjang sejarah Islam dalam usaha ulama’-ulama’ Islam memerangi bid’ah. Apa yang mereka perangi adalah bid’ah yang sudah disepakati hukum haramnya. Manakala mana-mana amalan yang masih khilaf mereka tidak memeranginya sebaliknya mereka mengambil sikap berlapang dada di dalam masalah itu.

Bid’ah di dalam Islam tidak dikategorikan kepada satu kategori sahaja. Ini adalah pendapat ulama’ salaf sendiri. Di antara mereka adalah Imam Syafie yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah saiyi’ah (buruk). Itu juga adalah pendapat Abdullah bin Omar r.a., di antara pelopor madrasah an-nas sebagaimana yang kami ceritakan sebelum ini. Di dalam satu athar yang diriwayatkan oleh Mujahid katanya: “Aku, Zubair dan Urwah memasuki masjid. Abdullah bin Omar r.a. ketika itu berada di tepi bilik Aisyah r.a. dan orang ramai sedang mengerjakan solat Dhuha secara berjemaah. Kami bertanya kepadanya tentang solat mereka lalu beliau r.a. menjawab: “Itu adalah bid’ah yang baik.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)(rujuk nota kaki)

Dengan tasawwur inilah kami melihat pemikiran salafi yang sebenarnya. Ramai lagi ulama’ lain yang mengambil pendekatan yang sama di dalam mengkategorkan bid’ah tetapi kami tidak kemukakan pandangan mereka di sini kerana mereka adalah ulama’-ulama’ yang kemungkinan tidak diterima oleh golongan yang mendakwa mereka salafi.

Tiada Taqlid: Praktik Islam Secara Langsung Dari Nas Tanpa Rujuk Kepada Fuqaha’

Ini juga kemungkinan adalah salah satu pendekatan yang difahami oleh golongan ini sebagai manhaj salafi yang sebenarnya. Sesiapa yang tidak mengambil pendekatan ini, mereka bukan salafi. Dengan itu mereka berusaha untuk menghapuskan budaya taqlid kepada mazhab tertentu yang menjadi amalan majoriti umat Islam pada hari ini. Mereka melaung-laungkan slogan tidak bermazhab dan mendesak umat untuk mengkaji al-Quran dan hadis secara langsung.

Kami menyetujui usaha mereka untuk meningkatkan kemampuan seseorang sehingga sampai ke peringkat ijtihad dan mampu mengeluarkan fatwa. Tetapi di masa yang sama kami tidak menolak keperluan taqlid kepada majoriti umat Islam pada hari ini.

Ingin kami kongsikan di sini, ijtihad dan fatwa bukanlah kemahiran yang boleh dicapai dalam sehari dua. Ia adalah proses yang panjang dan tidak mudah. Ibnu Solah, seorang ulama’ hadis yang terkenal pernah ditanya adakah Imam al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Imam Abu Ishak sampai ke peringkat ijtihad mutlak atau pun tidak? Beliau menjawab: “Mereka tidak sampai ke peringkat ijtihad mutlak. Sebaliknya mereka hanya sampai ke peringkat ijtihad muqayyad di dalam mazhab Syafie. Ijtihad mutlak adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mampu mengeluarkan hukum syarak dari dalilnya tanpa taqlid. Ijtihad muqayyad adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mahir di dalam mazhab mana-mana imam sehingga dia mampu untuk mengeluarkan hukum terhadap sesuatu yang tidak disebut oleh imam itu setelah dikiaskan dengan hukum yang disebut oleh imam itu berdasarkan kaedah dan usul mazhab imam tersebut.”

Dari kata-kata beliau kita dapat fahami kesukaran untuk menjadi seorang mujtahid. Itu juga adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal ketika beliau berkata: “Tidak seharusnya seseorang itu mengeluarkan fatwa sehinggalah dia memiliki lima perkara: Hendaklah dia mempunyai niat (ikhlas) kerana jika dia tidak berniat, dia tidak akan mendapat petunjuk dan kata-katanya juga tidak akan mendapat petunjuk. Dia hendaklah berilmu, lembut dan tenang. Dia hendaklah mempunyai kekuatan terhadap masalah fatwanya dan mempunyai ilmu terhadap masalah tersebut. Dia hendaklah mempunyai kemampuan jika tidak dia akan diperdaya oleh manusia. Dia hendaklah mengenali manusia.”

Kesukaran berfatwa dan ijtihad inilah sebenarnya yang membenarkan taqlid kepada mana-mana mazhab dipraktikkan di dalam umat hari ini. Bahkan amalan taqlid itu juga sebenarnya dipraktikkan oleh generasi umat sebelum ini.

Al-Amidi di dalam kitab al-Ihkam berkata: “Ada pun ijma’ terhadap masalah ini adalah kerana orang awam di zaman sahabat r.a. dan tabi’ien terus menerus bertanyakan fatwa dari kalangan mujtahid dan mengikut pendapat mereka di dalam permasalahan hukum syara’. Ulama’ di kalangan mereka bersegera menjawab segala pertanyaan tanpa mendatangkan dalil. Ini adalah ijma’ bahawa seorang awam harus bertaqlid kepada seorang mujtahid mutlak.”

Penduduk dua tanah haram mempraktikkan mazhab Abdullah bin Omar r.a. dan anak muridnya untuk satu tempoh yang panjang tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu. Seterusnya Ato’ bin Robah dan Mujahid memberi fatwa kepada penduduk Mekah untuk satu tempoh yang panjang. Wakil khalifah pada masa itu melaungkan: “Tidak ada seorang pun yang akan berfatwa kepada orang ramai selain dari dua orang imam ini.” Keadaan tersebut berjalan tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu.

Imam Ibnu al-Qayyim, anak murid Ibnu Taimiyah, seorang ulama’ yang menjadi rujukan golongan ini berkata: “Harus bertaqlid bagi seseorang yang belum sampai ke peringkat ijtihad. Dia hendaklah mengikuti seorang imam, meminta petunjuk darinya dan bertaqlid kepadanya di dalam masalah halal dan haram. Orang seperti ini tidak boleh mengeluarkan fatwa kepada manusia walau pun dia mempunyai banyak kitab hadis.”

Ini adalah pendapat yang tepat. Pendekatan memaksa umat Islam; yang cerdik dan tidak cerdik untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis adalah satu bebanan yang tidak perlu ditanggung oleh umat. Bagaimana mampu rakyat Malaysia mengeluarkan hukum untuk amalan dirinya sendiri secara langsung dari al-Quran dan hadis sedangkan dia masih lagi tidak mampu untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan membaca hadis dengan baris yang betul?

Kesimpulan

Banyak lagi isu berkaitan salafi ini yang boleh dibincangkan. Kami belum lagi menyentuh tentang salafi dan Ikhwan Muslimin. Ia juga merupakan satu topik yang panjang diperdebatkan di Saudi satu ketika dahulu dan baru-baru ini bahangnya sampai ke tanah air kita ini. Ia berkait dengan isu bai’ah, konsep amal jama’ie, fikrah haraki dan isu-isu lain yang terlalu banyak untuk ditulis di sini.

Apa yang dapat kami simpulkan di sini adalah istilah salafi sebenarnya telah disalah gunakan oleh sebahagian pihak. Penyalahgunaan istilah tersebut telah membawa kepada munculnya khilaf fiqhi yang panjang dan budaya salah menyalah di antara satu sama lain. Masing-masing akan mempertahankan kebenaran yang dilihatnya ada pada pihaknya dan tidak ada pada pihak lain.

Alangkah baiknya jika sekiranya kita semua mampu untuk berlapang dada di dalam masalah-masalah furu’ dan melakukan perbincangan ilmiah yang bersih dari sebarang sentimen dan emosi. Penyatuan dan penerimaan methodologi berfikir juga adalah jalan yang perlu kita rentasi bersama untuk mencapai kesatuan pemikiran dan umat. Berikanlah hak kepada semua pihak untuk mempraktikkan apa yang dilihatnya sebagai Islam selagi mana ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Amalkanlah Islam yang syumul dan umum yang mampu menyatukan bukannya Islam yang sempit yang hanya melahirkan kumpulan-kumpulan.

Wallahu al-Musta’an
Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template